Followers

Sunday, November 25, 2012

Baru tahu................

Assalamualaikum, salam sejahtera buat semua yang membaca entri saya kali ini.

Alhamdulillah....dapat juga akhirnya saya menulis selepas 10 hari tidak dapat menulis bait-bait kata yang panjang lebar di dalam laptop kesayangan saya ini. Hendak meneruskan penulisan wajib pun tidak mampu, inikan pula mahu menulis karya kreatif. Tidak terdaya rasanya hendak mengadap muka laptop kesayangan. Anak-anak pula sangatlah suka hati sebab dapat guna laptop mama walaupun mama dah korbankan laptop lama untuk kegunaan mereka. Mama dah kata, ini laptop kerja mama tapi biasalah budak-budak, tengok mama tak duduk menghadap laptop, mereka pun tolong gantikan tempat mama diorang....anak-anak bertuah!!

Alhamdulillah, hari ke sepuluh saya sudah mula rasa segar. Masih tidak mahu ke klinik, kalau boleh tak mahu makan ubat doktor. Sesekali demam, batuk,selesema memang menguji kekuatan fizikal dan mental. Agaknya tubuh dah terlalu penat dengan rutin yang padat, lebih-lebih lagi apabila setiap minggu perlu berulang alik ke Batu Pahat, 3 kali seminggu untuk rawatan alternatif Haziq. Memanglah tak jauh mana tapi sesi rawatan yang semakin bertambah waktunya mungkin penyumbang kepada kesihatan tubuh yang kian merosot. Perjalanan pergi dan balik sudah hampir 4 jam, sesi rawatan 3 jam, waktu menunggu 1/2 jam, hampir lapan jam sehari dan 24 jam seminggu. Badan pun akhirnya memberi isyarat supaya berehat secukupnya...

Sebelum ni kalau demam, batuk mahupun selsema, biasanya akan diiringi oleh sakit kepala. Berdenyut-denyut. Kali ini pengalaman yang sangat berbeza kerana bukan sakit kepala yang menyerang, sebaliknya pening kepala. Ada beza kan sakit kepala dengan pening kepala? Encik suami pernah kata, biarlah demam asalkan jangan pening sebab memang tak larat nak buat apa pun.  Ha....kali ini bila saya diserang pening, batuk, demam dan selsema, barulah saya tahu penangan pening tu macam mana rasanya, nikmat sungguh!!! Sehinggakan saya terbaring hampir sepanjang masa! Digagahkan juga keluar ke taman mengeluarkan peluh tapi akhirnya terbaring juga! Buka mata nak bangun, rasa nak tumbang semula. Hurix, panadol soluble, vitamin C, semuanya sudah jadi santapan sang anak tekak tetapi masih juga tak larat nak buka mata. Hanya dua hari mampu makan nasi, itupun dipaksa-paksa. Hanya bubur yang selera di tekak selama 10 hari ini, alhamdulillah masih mampu untuk menerima makanan. Tidaklah tubuh terlalu lembik. Sudahnya, terlepas juga beberapa kali sesi rawatan Haziq kerana saya tidak sihat.

Hari ini, setelah 3 biji panadol saya telan, selepas 6 jam panadol soluble pula saya hadap, alhamdulillah saya berjaya menulis entri ini. Sekadar berkongsi kondisi saya selama hampir dua minggu ini dengan ujian kecil yang Allah berikan kepada saya. Alhamdulillah, rasanya semakin segar dan sihat. Mudah-mudahan agar terus sihat kerana nikmat sihat itu subhanallah!!Sangat tinggi nilainya bagi kita untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan kepada kita. Kenalah sentiasa beringat LIMA PERKARA sebelum datangnya LIMA PERKARA.....

Ingat:
Waktu SIHAT sebelum SAKIT
Waktu KAYA sebelum MISKIN
Waktu LAPANG sebelum SEMPIT
Waktu MUDA sebelum TUA
Waktu HIDUP sebelum MATI....

Sebelum datang LIMA PERKARA itu, LIMA PERKARA juga yang mesti kita gunakan dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tergolong dalam insan yang rugi. Apabila datang salah satu daripada LIMA PERKARA itu, banyak benda yang kita tak dapat lakukan. Masa tu dah tak ada gunanya penyesalan. Orang kata, masa sihat inilah masa yang paling berharga dan bernilai untuk kita lakukan kebajikan, justeru buatlah apa yang patut sebelum terlambat. Ingatan untuk diri sendiri yang selalu terlupa..........


No comments:

Post a Comment