Followers

Tuesday, November 20, 2012

Pergi tak kembali

Sesungguhnya maut yang bakal menjemput kita tidak terawal atau terlewat barang sesaat daripada apa yang telah ditentukannya. Pagi semalam mendapat perkhabaran pemergian bapa saudara terdekat ke rahmatullah kerana sakit tua. Meski dalam keadaan tidak sihat, digagahkan tubuh ini memandu ke Segamat untuk menziarah jenazah Arwah Siwo Man (bapa saudara sulung sebelah abah, abang abah yang tua) kerana kami antara anak saudara yang rapat dengan keluarga Siwo Man.

Sampai di sana jam 11.20 pagi, ketika itu jenazah sedang dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke kubur untuk dikebumikan. Hampa kerana tidak dapat menatap wajah jenazah buat kali terakhir. Hanya kak long dan adik bongsu yang sempat mencium dahi jenazah Siwo.

Apa yang membuatkan hati ini tidak begitu sedih apabila mendengar cerita di saat-saat akhir pemergiannya. Siwo dikatakan seolah-olah sudah tahu masanya hampir tiba. Anak-anaknya sudah disuruh menyiapkan wang untuk membeli kain kafan beberapa jam sebelum pemergiannya. Malah Siwo katakan malaikat maut sudah datang mahu mengambilnya pulang dan meminta bantalnya ditinggikan supaya mudah untuk malaikat maut mencabut nyawanya. Alhamdulillah, pemergiannya cukup mudah. Hilang sedikit gundah di hati.

Hilang seorang teman berbual bagi Siwo Temu (isteri arwah). Bakal keseorangan Siwo Temu kerana penemannya sudah pergi menghadap Sang Pencipta. Pergi yang tak akan kembali. Sayu hati tatkala melihat Siwo Temu yang seolah belum dapat menerima hakikat dan bertanyakan mengapa suaminya tidur dan tidak bangun-bangun? Sedih...namun apakan daya...itu janjiNya. Setiap yang dipinjamkan mesti akan dipulangkan kepada yang berhak.

Alfatihah.... untuk bapa saudaraku Othman bin Maimon yang telah kembali ke rahmatullah jam 5.25 pagi, 19 November 2012........

Al-Fatihah juga untuk adik kesayanganku Mohd Solehen bin Samian yang telah dipanggil bertemuNya pada 10 April 2007......

Semoga kalian ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat syurgaNya.....


No comments:

Post a Comment