Followers

Friday, July 12, 2013

Bicara Ramadhan 1434H

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman tinta jemari. Semoga pada Jumaat yang barokah ini semuanya berada di dalam lindungan, rahmat dan kasih sayangNya selalu...Diam tak diam, sudah 3 hari umat Islam di Malaysia berpuasa kan...Bagaimana dengan puasa Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian?

Bercerita tentang Ramadhan....tahun ni sudah 35 tahun saya menghirup udara pinjamanNya. Entah mengapa Ramadhan kali ini dirasakan mungkin Ramadhan yang terakhir. Tak tahu mengapa perasaan itu wujud. Setiap hari saya memanjatkan doa agar saya berpeluang bertemu Ramadhan akan datang. Terasa umur juga semakin singkat. Entah bila saya akan dipanggil bertemuNya....Rasa sayu bertandang tanpa henti, tanpa ada yang menyekat, tanpa ada batasan. Kalau mengenangkan entahkan sempat saya bertemu Ramadhan akan datang, pastinya ada air hangat yang tiba-tiba membasahi pipi. Allahu Akbar!!Temukanlah hambaMu ini dengan Ramadhan akan datang!!!!

Berbicara soal Ramadhan, pastinya bila sudah berkeluarga, banyak perkara nak difikirkan. Bila anak-anak dah bersekolah, ragam berpuasa memang menguji kesabaran hati seorang mama. Nak bersahur apa, nak berbuka apa, semuanya perlu ada dalam fikiran sebab nak melatih anak berpuasa. Kalau mak ayahnya dah tak perlu nak susah-susah, bersahur dengan tiga biji tamar pun sudah cukup untuk kekal cergas hingga ke petang tetapi bila bersangkut soal anak-anak, mahu tak mahu kena juga gagahkan diri untuk menyediakan makanan untuk alas perut mereka supaya tidak terlepek keletihan sebelum tiba waktu berbuka. Melayankan permintaan anak-anak, mengusahakan menyediakan apa yang diinginkan sebagai booster kepada mereka untuk terus bersemangat bukanlah perkara yang mudah. 

Ramadhan kali ini saya tetap berusaha untuk memujuk anak-anak agar mahu makan buah tamar atau kurma. Masih belum lagi berjaya walaupun telah dikatakan buah kurma itu makanan Rasulullah, rasanya manis dan sebagainya. Cabaran apabila buah tersebut seumpama racun saja gamaknya bila disuruh makan. Sedang memikirkan cara atau kaedah apakah yang terbaik agar anak-anak mahu menjamah buah kurma. Rasanya usaha ini sudah bertahun-tahun dicuba tetapi masih menuju di jalan buntu, mujur belum jumpa jalan mati atau terus patah semangat!! Cabaran tetap ada namun itulah Ramadhan, bulan yang bukan sahaja menguji kesabaran menahan lapar dan dahaga, kerenah anak-anak dan sebagainya, sebaliknya menguji mental dan spiritual secara holistik.

Sudah tiga hari berpuasa. Cepat sungguh masa berlalu kan...Kalau masa zaman kanak-kanak, kita selalu rasa lambatnya puasa hendak berlalu tetapi hari kian hari tanpa kita sedar sebenarnya masa terlalu pantas berlari meninggalkan kita. Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.  (Surah Al-Asr:1-2). Rugi kan kita kalau tak memanfaatkan Ramadhan yang hadir dengan menjaga lidah, hati dan perbuatan kita. Banyak lagi yang harus dijaga dan inilah peluang kita untuk sama -sama menggandakan amalan di penghulu segala bulan ini. Saya sendiri terasa terlalu banyak kekurangan diri yang harus diperbaiki dari semasa ke semasa. Terlalu banyak dosa yang dilakukan, entahkan terampun entahkan tidak, cuma doa dan doa dan hanya kepadaNya tempat untuk kita meminta.

Bila bercakap soal Ramadhan, pasti terjebak dengan bicara hari raya kan....takkan berpisah Ramadhan dan Syawal dalam hidup kita sebab Syawal adalah bulan meraikan kemenangan selepas berjaya melalui Ramadhan selama sebulan. Meskipun merindui Ramadhan yang pergi, Syawal tetap dinanti penuh bahagia. Berdebar-debar lebih-lebih lagi bila nak dengar pengumuman raya walaupun dah boleh agak dah raya bila kan. Syawal tahun ini Syawal yang seadanya. Belum berfikir sibuk nak beli kuih rayalah, baju raya anak-anaklah...cuma sampul duit raya dah beli...over kan? Kalau nak ikutkan persiapan rumah, hmmmm tak ada apa pun. Semuanya apa yang ada. Langsir? Tu ha...sejak masuk rumah ni tahun 2006/7, itulah langsir yang kami pakai pun...selagi masih elok, insyaAllah tak bertukar melainkan nanti kalau rasa kondisinya agak tidak menyelerakan, barulah fikir sama ada mahu berwajah baru atau pun tidak. Bila memikirkan sempat atau tidak mahu menjahit, biasanya impian, harapan dan angan-angan tu tetap menjadi angan-angan semata-mata.....

Apa yang diharapkan ialah agar Ramadhan kali ini penuh dengan 'makna' dan dapat dilalui dengan sempurna kerana belum pasti Ramadhan akan datang sempat untuk saya bertemunya. Semoga Ramadhan kali ini memberikan hikmah yang tiada taranya. Semoga saya dapat membahagiakan insan-insan kesayangan saya. Semoga saya dapat memberikan yang terbaik untuk semua yang mengenali saya. Mungkin belum terlambat untuk saya memohon kemaafan di atas segala salah silap saya, keterlanjuran bicara dalam gurau saya tanpa saya sedar, mungkin saya pernah mengundang rasa tidak senang di kalangan para sahabat, saudara mara dan sebagainya, halalkan makan dan minum saya dan keluarga dan semoga Ramadhan ini bukanlah Ramadhan yang terakhir buat saya.....................

Salam Ramadhan 1434H.......

No comments:

Post a Comment