Inilah kami...Sebuah keluarga yang bahagia (InsyaAllah......aminnnn...). Ayah yang sangat memahami, tapi tak romantik hihihhihi....ringan tulang, suka buat 'magic' yang mana magiknya memang mama tak boleh nak lawan. Bab jaga anak memang mama puji melambung-lambung. Bab kesihatan anak, ayah memang terer. Kalau anak-anak demam, biasanya ayah yang lebih berjaga tengah malam.....walaupun kami bergilir-gilir, tapi biasanya ayah yang lebih peruntukkan masa dengan anak-anak sebab mama ni jenis senang 'hanyut'....kejap je dah terlentok. Bab kemas rumah, kena thumbs up jugak kat ayah. Mama dah rasa macam mama ni puterilah pulak sebab tak reti nak mop rumah, vakum rumah atau pun basuh baju. Kalau mama buat pun, jarang sekali. Semuanya ayah yang uruskan. Kalau basuh baju, biasanya kerja mama lipat baju aje....Alhamdulillah....ringan sikit kerja mama....Cuma, satu je yang ayah tak buat, memasak. Sebab apa? ayah kata, kalau ayah pandai masak...nanti ayah 'pukul habis'...Makin manjalah mama nampaknya...kikikikiki.......
Mama....seorang yang sensitif..senang merajuk tapi tak pulak selalu kami ni bermasam muka. Memang kuat membebel. Kadang-kadang merasa jugak anak-anak dengan penangan mama dia...hihihi. Paling best, kadang-kadang ayah pun merasa. Biasanya kalau mama geram, ayahlah jadik mangsa jadi punching bag, tapi lepas tu kitorang gelak sama-sama. Alhamdulillah, kami bahagia sebagai suami isteri dan teman....Biasalah masam manis hidup sebagai suami isteri tu memang ada, kalau tak taklah ada pengalaman yang menarik kan...Tolak ansur dan saling berkomunikasi adalah kunci yang baik untuk sebuah perhubungan. Percaya juga bahawa pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita. Terima kekuatan dan kekurangannya dan kita akan saling melengkapi yang mana kurang...
Hasil usaha sama saya dan encik suami maka hadirlah tiga orang cahaya mata yang comel dan menjadi bukti kasih sayang kami. Diam tak diam tahun ini perkahwinan kami menginjak ke usia 9 tahun..tahun depan dah sedekad, mudah-mudahan...Anak yang sulung, Amirul Rahimi, pemimpin yang pengasih. Bakal menginjak usia 8 tahun pada April akan datang. Paling senang dilahirkan, sekali teran saja, keluarnya begitu mudah, kata arwah mak mertua sewaktu ada hayatnya. Tapi lahir selepas proses induce sebab dah melepasi tarikh jangkaan. Seorang yang sensitif, penyedih juga orangnya. Sekarang ni dah makin lasak, al-maklumlah dah besar katanya....Dah sunat, dah boleh solat sebelah ayah. Dah tak boleh nak main-main...dah ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Bercakap dengannya secara dewasa, tak macam cakap dengan budak-budak. Bercakap perlu ada sebab bagi setiap persoalan yang ditanya. Kadang-kadang mama bising jugak, banyak sangat yang nak ditanyanya...Senang diserang sakit. Sebab? Mama selalu kata sebab Rahimi tak dapat bekalan susu mama yang cukup sebab selepas dua bulan Rahimi lahir, mama kena pergi kursus induksi di Kelantan selama tiga minggu dan susu mama kering...kesian anak mama. Bila dah besar sikit, susah disuruh makan sayur...ha sebab tulah....tapi tak apa, dah besar nanti nak jadi angkasawan katanya.....angkasawan makan sayur tak???? heheehehe...
Puteri satu-satunya, Amira Sofiyah, puteri yang bersih, ikhlas,jujur. Dua kali teran baru nak menjengah dunia. Tapi indahnya dengan kelahiran ini sebab mama dapat rasa proses bersalin secara normal. Kontraksi yang datang berperingkat, sehinggalah proses melahirkan. Sangat indah pengalaman itu. Sebiji ikut macam mama, kata atuknya. Aduhai....dia punya manja, mengada-ngada...tak kuasa mama nak layan. Kadang-kadang mama memang tak mengaku mama 'semengada' anak dara yang seorang ni. Tapi nak buat macam mana, anak mama....Manja, suka bersolek, kadang-kadang degilnya ya ampun....dirotan pun selamba aje....cerdik, cuma vitamin"M" nya besar sikit. Kuat menjerit, bingit telinga kalau dengar jeritannya. Silap-silap boleh jadi pekak bila suka-suka hati dia menjerit di sebelah telinga. Suka kasi hangin mama...Kalau dapat gajet di tangan, jangan harap orang lain nak guna. Kalau bukak tv, jangan harap orang lain nak merasa tengok channel lain......Hari-hari 'paw' mama atau ayah...dah besar pun selalu nak dimandikan..memang beza betul dengan perangai si abang.....Kuat minum susu, pakai botol pulak tu....yang ni memang sebiji perangai mama yang masih minum susu botol sampai darjah satu. Anak dara pulak yang mengikut jejak langkah mama dia.....hihihihihihihi...Sekarang ni dok terpengaruh dengan cerita hantu kawan-kawan sampai nak pi bilik air yang sekangkang kera tu pun takut...tak kuasa mama melayannya......tapi tetap dialah buah hati pengarang jantung mama.......dialah madu, dialah racun........dialah penawar......
Cerita tentang si kecil yang mama panggil Aiman Haziq yang hebat, seorang anak istimewa. Kelainan sewaktu mengandungkanya rupa-rupanya petanda bahawa mama akan dianugerahkan sang kupu-kupu syurga yang comel, handsome dan memberikan mama ketabahan, kekuatan dan kesabaran yang bukan sedikit. Haziq adalah penguat kasih sayang sayang kami sekeluarga. Adanya Haziq menguji kekuatan kasih sayang kami. Allah hadirkan dia sebagai amanah yang perlu kami jaga dan kami sayangi dengan sepenuh hati. Adanya Haziq membuka jalan yang luas buat mama. Mama bertemu ramai insan yang berada dalam kasut yang sama, berkongsi rasa dan ilmu Allah yang bukan sedikit juga. Mama membentuk rangkaian di seluruh negara demi Aiman Haziq. Mama dianugerahkan rezeki yang tidak terjangka, pelangi yang indah walaupun awalnya mama ditimpa hujan di tengah hari. Indahnya perancangan Dia Yang Maha Kuasa.
2nd chromosome 2q duplication syndrome adalah sindrom yang dideritai Aiman Haziq, putera mama yang kini telah berusia 3 setengah tahun. Tahun ini masuk 4 tahun namun, perkembangannya masih seperti bayi 4-5 bulan. Mama tak mahu ceritakan perkembangannya di sini kerana semuanya telah dikongsikan di http://www.ceritahaziq.wordpress.com. Cuma apa yang mama boleh katakan, Haziq adalah anugerah terindah dalam hidup mama dan hadiah yang tidak ternilai buat mama dan ayah....
Ketiga-tiga cahaya mata inilah yang menjadi warna warni dalam kehidupan kami. Bergaduh, berperang, jerit-menjerit..semuanya ada namun kami BAHAGIA...
No comments:
Post a Comment