Followers

Monday, March 18, 2013

Cubaan bunuh diri!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca/follower blog saya yang budiman...

Hari ini saya melalui suatu pengalaman yang tak mungkin akan dapat saya lupakan seumur hidup saya. Ceritanya macam ni:

Saya sampai ke institusi lama saya bertugas dalam pukul sepuluh lebih, ada urusan untuk ke bahagian pentadbiran. Sedang molek saya masuk dan menuju ke kaunter, kecoh-kecoh cerita berkenaan ada student cuba membunuh diri dengan  duduk di luar tingkap di bangunan jabatan akademik dan mahu terjun. Tak perlulah saya ceritakan jabatan apa. Bila soal punya siasat dan selidik, rupa-rupanya student tu adalah student khas bermasalah pendengaran (kiranya anak aku lah tu.......) Tersentak sekejap. Pegawai di kaunter meminta saya ke jabatan tersebut untuk tengokkan apa yang patut. Maka berjalanlah saya dengan penuh sopan santun sebab saya yakin pasti sudah ada ramai pensyarah yang akan berada di sana dan kehadiran saya adalah secara kebetulan.

Tiba di sana, sudah ramai pelajar yang berkumpul. Saya cuba mencari di mana pelajar itu dikatakan mahu membunuh diri. Salah seorang pensyarah menunjukkan di mana keberadaan pelajar tersebut. Saya mendongak ke atas. Allah!!!!Tingkat 4!!Pelajar tu dah ada di luar tingkap, sebelah tangannya erat memegang tingkap, tanda tidak mahu sesiapa mendekatinya. Di satu tingkap yang berhampiran, sahabat saya seang cuba berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan memujuk pelajar tersebut agar tidak meneruskan niatnya. Gedebak gedebuk jugalah hati saya. Dalam masa yang sama, ramai pelajar lelaki sudah siap sedia dengan bentangan kanvas, takut-takut pelajar tersebut nekad dan terjun. Tak sampai lima minit, sebuah kereta polis dan kereta bomba sampai untuk menjalankan tugas mereka.

Perlahan-lahan saya mula mendaki anak tangga menuju ke kelas di mana pelajar tersebut berada. Ramai pensyarah di situ. Rupa-rupanya pelajar tersebut adalah pelajar dari jabatan yang berbeza. Pelik jugalah bagaimana pelajar tersebut boleh terfikir mahu membunuh diri, tetapi bukan di jabatannya walhal terdapat juga bangunan tinggi di jabatannya. Ah...lupakanlah soal itu. Yang penting, situasi genting yang sedang dihadapi ketika itu. Seorang pensyarah lelaki berbadan gempal bersedia di tingkap berdekatan sementara menunggu apakah perancangan yang akan dilakukan oleh pihak bomba. Tanpa banyak kerenah, ahli-ahli bomba cuba membuka tingkap dari dalam dan sepantas kilat pelajar tersebut di tarik ke dalam kelas yang kosong tu. Fuh, lega!!!!Pelajar tu berbadan besar dan tinggi, meronta-ronta dan akhirnya agak tenang apabila menerima sebiji pelempang daripada salah seorang anggota yang cuba menenangkannya. Tak sempat nak cakap jangan lempang sebab dia tak dengar, pelempang dah singgah di pipi pelajar tu. Ok, tersenyap seketika pelajar tu tapi sebelah tangan menutup matanya, dah sebelah tangan kuat menggenggam butang bajunya.

Pada masa itu juga, ramai pegawai atasan yang kebetulan turun ke institusi ada bersama-sama menyaksikan kejadian yang berlaku, Haruslah lepas ni kejadian ini akan menjadi buah mulut yang lama juga akan berhenti. Mau tidaknya, ada Timbalan Pengarah Operasi dari HQ, beberapa pegawai lain, Pengarah dan Timbalan Pengarah......HARI INI DALAM SEJARAH!!! Lebih bersejarah apabila saya yang kebetulan tengah cuti belajar pun tiba-tiba terbabit sama hanya kerana kebetulan saya datang ke institusi. Ramai juga pensyarah lain yang berada di luar kelas, pelajar-pelajar pula ada yang sibuk mengambil gambar dan video....Itu sekejap sahaja pasti akan diupload dalam youtube. kalau tidak pun hari ini pasti akan kecoh di wall muka buku masing-masing.

Sementara itu, pelajar tadi masih ditenangkan dan oleh  sebab enggan memberikan kerjasama untuk dibawa keluar  daripada lokasi kejadian walaupun setelah berjaya diselamatkan, akhirnya stretcher terpaksa digunakan untuk membawa pelajar tersebut ke pejabat pensyarah di tingkat satu. Di situ saya memainkan peranan membantu sahabat saya yang sejak dari tadi cuba memujuk sementara beliau masih berada di lokasi kejadian untuk sesi soal siasat dari pihak polis. Pelajar tersebut masih enggan membuka mata dan saya terpaksa berperanan sebagai ibu, memegang, memujuk dan cuba menenangkannya lagi. Begitulah cabaran apabila mendidik pelajar istimewa. Banyak cabaran yang perlu dilalui.  Perlu tahu bagaimana mahu'tackle' mereka, tak boleh marah sesedap rasa seenak perisa sebab mereka ini adalah kumpulan yang sangat sensitif. Kalau marah, perlu menyatakan sebab mengapa mereka dimarahi dan perlu tahu teknik dan cara untuk mengendalikan mereka. Alhamdulillah, pengalaman selama lebih 10 tahun mengajar dan menjaga kebajikan pelajar istimewa banyak mematang dan membantu saya untuk mengawal situasi. Akhirnya pelajar tersebut mahu mengangkat muka dan berkomunikasi.

Puncanya mungkin biasa bagi kita. Bergaduh dengan kawan, biasalah kan tetapi bagi golongan ini, apabila didesak / diprovok berkali-kali, mereka tidak tahu bagaimana mahu meluahkan apa yang mereka rasa. Mereka akan cuba pelbagai cara untuk menarik perhatian orang lain. Mereka akan cuba mengekspresi perasaan mereka dengan cara yang tidak dapat dijangka, salah satunya seperti inilah.....Mungkin mereka rasa inilah cara yang mungkin dapat meredakan masalah mereka. Mereka fikir dengan membunuh diri, selesai semua masalah. Cara mereka berfikir memang sukar nak dijangka dek akal kita manusia biasa ni. 

Puas memujuk, akhirnya datanglah seorang anggota polis yang mahu pelajar ini dibawa ke balai untuk membuat laporan polis berhubung kejadian. Namun alhamdulillah, berdasarkan pengalaman lepas ketika mengendalikan kes pelajar yang cuba membunuh diri dengan berjalan ke tengah laut, saya berjaya meminta kerjasama daripada pihak anggota polis tersebut agar laporan dapat dilakukan di institusi (lokasi kejadian) sahaja memandangkan kondisi pelajar yang pastinya akan enggan dibawa ke balai. Mujurlah pegawai atasan anggota polis tadi sudi memberikan kerjasama yang sangat diharapkan. Terima kasih encik polis!!!!

Mengikut prosedur kes cubaan bunuh diri sebegini, selain laporan polis, pelajar akan dibawa ke hospital bagi menilai keadaan mentalnya. Jika perlu dirujukkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, maka urusan akan dilakukan secara berperingkat selepas makluman diberikan kepada penjaganya. Mungkin juga pelajar ini tertekan dengan pengharapan keluarganya memandangkan beliau adalah anak sulung dan satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Mungkin. Saya tidak berani mengatakan itu sebagai sesuatu yang pasti. Apa yang pasti, setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Cuma bagaimana kaedah penyelesaian masalah itu yang berbeza mengikut individu.

Saya akui, sepanjang hampir 11 tahun mengajar dan berada di dalam lingkungan student khas bermasalah pendengaran ini, ia banyak mematangkan saya. Banyak mengajar saya erti sabar.Banyak mengajar saya erti kehidupan. Banyak memberikan pendedahan tentang budaya dan cara hidup mereka. Mungkin inilah kes paling besar saya hadapi. Ada lagi kes-kes lain, namun biarlah ianya menjadi sejarah dan kenangan yang hanya akan saya simpan dalam hati sanubari saya. Lega bila akhirnya berjaya melihat kelibat ambulan dari HSI yang tiba untuk membawa pelajar ini ke hospital diiringi oleh sahabat saya. Semoga semuanya berakhir dengan baik-baik sahaja.

Sesuatu yang mungkin boleh saya kongsikan ialah pelajar-pelajar khas ini adalah kumpulan yang sensitif dan sukar untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Walaubagaimanapun, apabila kepercayaan mereka berjaya diraih, lebih mudah pada kita untuk memahami gaya kehidupan mereka, apa yang mereka lalui dan apa yang mereka inginkan dalam sebuah kehidupan. Kalau mereka sayang kita, mereka akan ingat kita sampai bila-bila.......Mereka akan hormat kita betul-betul dan mereka akan dengar nasihat serta pandangan yang diberikan kepada mereka. Pendekatan untuk mendekati mereka perlulah betul. Letakkan ikhlas di tempat paling utama.In sha Allah semuanya akan mudah.

Sememangnya hidup saya penuh dengan warna warni. Hari pertama minggu ini dilalui dengan kisah cubaan membunuh diri. Hujung minggu nanti pula sesi terapi dan pertemuan dengan keluarga Celik Pipi selain urusan temujanji. Padat tapi seronok!!!! Janganlah ada lagi kes seperti ini. Tak larat rasanya nak menangani bila melibatkan pelajar khas. Bukan nak kata tak kuasa, sebaliknya bagaimana menangani itu yang seringkali menyebabkan saya dan rakan-rakan capek deh!!! Namun inilah yang dikatakan cabaran dan pengorbanan seorang guru..........Tak setanding dengan cabaran yang dilalui ibu bapa setiap hari dalam mendidik anak-anak syurga yang memiliki naluri yang sama, cuma terbatas dalam cara meluahkan rasa.

Begitulah cerita saya hari ini. Sekian Terima Kasih....Akhirnya dapat pulang ke rumah dengan hati yang sedikit tenang dan lega.......


No comments:

Post a Comment