Followers

Monday, March 4, 2013

Mereka perwira negara!!

Assalamualaikum,salam sejahtera...

Terpanggil hendak menulis mengenai situasi yang sedang berlaku di Lahad Datu. Sedih yang amat bila melihat 8 anggota keselamatan negara telah gugur demi mempertahankan negara. Kalau kita fikir-fikirkan, kita sedap-sedap duduk di rumah, boleh menonton Astro....boleh pergi shopping, boleh pergi tengok bola, boleh buat itu ini sedang dalam waktu yang sama, kita sendiri tak tahu berapa ramai anggota keselamatan yang menyahut panggilan perjuangan. Menggalas amanah dan tanggungjawab. Meninggalkan isteri, anak-anak, ibu bapa hanya kerana memberi peluang kepada kita untuk bersenang lenang walhal mereka di sana bergelut dengan situasi yang mengancam nyawa mereka.

Menangani penceroboh yang sememangnya pakar dengan taktik gerila, mahir dengan selok belok hutan malah taktik serang dan lari yang mereka praktikkan bukanlah suatu perkara yang enteng untuk didepani. Ada pula pihak-pihak yang cuba mempersendakan perjuangan perwira-perwira kita yang gugur di medan perjuangan. Ada juga yang memprovokasi mentaliti masyarakat dengan mengatakan ianya adalah konspirasi politik. Wallahuaklam. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Namun sekadar pendapat peribadi saya, tidak mungkinlah isu ini direka, dirancang dan diatur sebegini hebat hingga mampu menjadi bahan permainan politik. Ini isu keselamatan negara. Ini isu kehilangan nyawa. Ini isu pencerobohan yang bukanlah agenda yang seronok untuk direka. Kadang-kadang kita terlupa bahawa sebagai manusia, kita dikurniakan hati dan akal untuk berfikir setiap tutur kata dan tindakan kita. Saya langsung tak percaya ini adalah sandiwara. Hebat benarlah pengarah lakon layarnya seandainya ianya sekadar drama yang dilakonkan oleh watak-watak yang perlu membawakan watak secara realiti. Tak masuk akal kan?

Sepatutnya, kita angkat tangan, berdoa agar negara kita terus selamat. Berdoa agar mereka yang gugur ditempatkan di syurga. Berdoa agar kita tidak melalui suatu kehilangan sebagaimana yang dilalui oleh ahli keluarga mereka yang ditinggalkan. Kita memang akan meninggalkan dan ditinggalkan. Caranya bagaimana, kita sendiri tak tahu. Paling tidak, pemergian mereka adalah kerana mempertahankan negara dan kita tahu itu jihad mereka dalam perjuangan. Seandainya syahid sebagai hadiah/ganjaran mereka, syurga sudah pasti tempatnya sedang kita masih tidak tahu ke mana arah kita. Entah berapa ramai lagi yang sedang berada di barisan hadapan di Lahad Datu sana, kita sedang buat apa? Baca blog? Tulis blog? Hanya tengok berita kan? Apa sumbangan kita pada negara? Kalau kita sedar yang kita sendiri mungkin tak ada sumbangan pada negara, janganlah wujudkan 'perasan disorders' yang mengatakan kononnya kita ni lebih bagus daripada mereka yang berjuang di sana. Macam bagus kan........

Mari sama-sama kita doakan semua penceroboh akan dapat ditumpaskan. Mari sama-sama kita doakan benteng negara yang berada di barisan paling hadapan akan dapat menunaikan amanah dan selamat sepanjang misi di Lahad Datu. Mari sama-sama kita doakan agar hati kita terus bersih daripada buruk sangka. Kena ingat tugas mereka mempertahankan negara. Secara tak langsung, mempertahankan keselamatan kita sebagai warga sebuah negara yang merdeka. 

Inilah barisan kita
Yan Ikhlas Berjuang
Siap Sedia Berkorban
Untuk Ibu Pertiwi

Sebelum Kita Berjaya
Jangan Harap Kami Pulang
Inilah Sumpah Pendekar Kita
Menuju Medan Bakti

Andai Kata Kami Gugur Semua
Taburlah Bunga Di Atas Pusara
Kami Mohon Doa
Malaysia Berjaya
Semboyan Telah Berbunyi
Menuju Medan Bakti.............

Cuba bayangkan kalau kita berada di tempat mereka dan menyanyikan lagu ini. Saya pasti hilang semua ketakutan kerana ibarat berjuang di medan perang, kalah dan menang belum lagi pasti. Tertewas atau kembali semuanya tidak dapat dijangka. Mereka perlukan doa kita. Mereka pohon semangat daripada kita untuk mengiringi perjuangan mereka. Ayuh kita doakan yang terbaik buat mereka. Semoga mereka sentiasa dilindungi kerana MEREKALAH PERWIRA NEGARA!!!!!!!!

No comments:

Post a Comment