Followers

iklan..iklan......

Thursday, May 16, 2019

Amanah

Assalamualaikum dan salam sayang semua...

Sekian lama laman blog ini sepi. Diam tak diam, sudah lebih setahun tidak berentri walhal dalam setahun itu banyaknya hal yang dilalui. Mengapa sibuk nak menulis di blog? Kerana ini adalah platform untuk meninggalkan sesuatu yang baik andainya ada untuk dimanfaatkan secara berterusan.

Entah mengapa pagi yang hening ini, tiba-tiba mahu bercerita tentang amanah. Bukan sifat amanah, namun suatu hal yang dipertanggungjawabkan untuk dilaksanakan dengan sebaiknya. Adakah kita menyedari betapa banyaknya amanah dalam hari-hari kehidupan kita ini yang menuntut untuk disempurnakan dengan sebaiknya?

Ada ketikanya amanah itu datang kerana kita yang menjemputnya. Maka kita wajar bertanggungjawab dalam menyempurnakannya. Ada ketikanya juga amanah itu datang tanpa diminta. Ia datang di atas sebuah kepercayaan yang diberikan terhadap mereka yang bakal menjadi pelaksananya. Ada kalanya mahu mengelak, namun apa alasan mahu diketengahkan. Benarkah alasan itu, atau ia sekadar alasan bagi mengelakkan diri daripada bertanggungjawab?

Sukar sebenarnya hendak membahas soal amanah kerana ia melibatkan sejauh mana seseorang individu bersedia untuk memikul amanah tersebut, menggalas percaya dan menguji keupayaan diri sendir untuk melaksanakannya.

Sering sahaja amanah yang datang itu seakan tidak mampu ditanggung. Percayalah, setiap apa yang datang pasti bersebab. Terngiang-ngiang pesan salah seorang barisan pengurusan tertinggi d tempat saya bekerja suatu masa dahulu. "Orang beri kau tugas kerana dia percaya kau mampu melakukannya". Ia amanah yang bukan sedikit dan perlu digalas sebaiknya. Belajar sekiranya tidak tahu. Tidak perlu malu. setiap individu ada sisi kebaikan dan kelemahan masing-masing.

Berusahalah menunaikan amanah!

Saturday, March 31, 2018

I am back!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Lamaaaa sangat tak menulis di sini. Ammar Hariz, si comel yang jadi penyeri selepas pemergian Aiman Haziq pun sudah hampir dua tahun, tahun ini. Lasaknya ya ampuun....Tipulah kalau tak mengeluh penat. Sesekali terkeluar juga keluhan letih melayankan baterinya yang sentiasa full. Payah benar nak lowbat. Namun, apabila memikirkan jauh beza dirinya dengan Aiman Haziq, cepat-cepatlah si mak beristighfar.

Alhamdulillah dikurniakan anak yang sempurna sifatnya, cerdik, aktif dan semakin kreatif. Cuma itulah, mamanya tetap jugak tak kurus-kurus. Begitulah...kurusnya cuma di kuku, huwa......

Menanam azam untuk kembali aktif di blog, insya-Allah.

Walaupun dah nak masuk April, kalau nak disenaraikan azam memang masih banyak yang belum tertunai. Semoga Allah izinkan semuanya berlaku satu demi satu pada masa yang sesuai dan tepat. Iyalah, kita merancang namun Allah jua sebaik-baik perancang. Mohon doakan senarai impian saya tercapai antaranya:

1. Mahu menghabiskan pengajian yang sekian lama tertangguh. Selepas menghadapi masalah kesihatan pada 2014, kehilangan Aiman Haziq pada 2015 merupakan tamparan paling besar dalam hidup. Setahun selepas itu Ammar Hariz hadir. Masa tertumpu kepadanya. Tahun 2017 saya kehilangan tulang belakang paling kuat dalam hidup, abah.  Empat tahun pengajian entah ke mana. Mental block. Mohon doakan saya mampu keluar dari zon gelap secepatnya. Ya, sudah sangat lama. Benar, kejayaan menamatkan pengajian itu bukan bergantung kepada cepat atau lambatnya ia dicapai, sebaliknya proses itu yang mengajar erti hidup.

2. Mahu menunaikan impian melihat tulip berkembang di Turki, melawat Masjid Biru dan meneruskan minat mendaki walaupun kudrat mungkin tidak sekuat dulu.

3. Berusaha untuk menjauhkan diri daripada kelompok insan-insan yang membawa aura negatif dalam hidup.

4. Melihat ada hasil karya dapat diterbitkan dan memasang impian untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu karya pada 2018.

Ada banyak lagi sebenarnya namun biarlah ia disimpan sedikit untuk diri sendiri.

Semoga penulisan pertama di blog pada tahun ini dapat membantu memecahkan segala yang bersarang dalam minda dan dapat memperbaiki kualiti hidup dari semasa ke semasa.

Doakan ya! Terima kasih. Muah....


Wednesday, July 26, 2017

Ke mana menghilang?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam sayang buat semua pembaca yang masih sudi singgah di blog ini.

Punyalah lama tak menulis. Rasanya sejak pemergian Aiman Haziq pada 2015, saya mula memperlahankan penulisan di blog dan lebih menumpukan perhatian di facebook sebagai platform untuk bersosial atau saling berkongsi maklumat.

Tiba-tiba hari ini boleh terdetik untuk kembali ke platform blogspot untuk menulis. Sebenarnya, tak tahu pun apa yang hendak ditulis. Masih berfikir apakah point atau inti penting yang hendak dikongsikan. Kehidupan peribadikah, pekerjaankah, semuanya masih dalam pertimbangan.

Kali terakhir ialah pada Oktober 2016. Mungkin sebagai langkah awal, saya boleh menyambung perkongsian milestone si kecil, kan? Bagaimana perkembangannya serta cabaran mengendalikan anak yang aktif. Rasa nak pengsan pun ada!! InsyaAllah, berada di dalam senarai untuk diberikan pertimbangan awal.

Kita tunggulah ya sambungannya. Doakan tau!