Followers

iklan..iklan......

Tuesday, December 29, 2009

Dunia baru

Aku membayangkan sesuatu hari ini,
Dunia baru yang bakal aku tempuhi,
Mungkin penuh liku,
Mungkin berceracak onak duri,
Mungkin juga ada sinar menanti,
Aku masih lagi tidak pasti.

Aku melihat sekelilingku,
Muka-muka yang telah sebati dengan diriku,
Di depanku dia yang aku kenali,
Di belakangku teman yang sentiasa ceria menanti,
Di sisiku bukan asing lagi,
Aku betah di sini,
Dalam suasana baru yang pasti serasi.

Kalaulah aku bukan di sini,
Entah di mana tapakku berdiri,
Di sana menunggu di sini menanti,
Bilakah aku kembali ke lubuk ini,
Tempat aku mengenal erti sahabat sejati,
Titik di mana aku mencari kekuatan diri,
Mungkin noktahnya bukan di sini,
Namun aku terus berlari,
Mengejar pelangi mewarnai hari.

Dunia ini dunia yang bukan lagi sepi,
Terlalu luas untuk aku terokai,
Terlalu besar ruang untuk terus berpaksi,
Aku bukan yang dulu seenaknya dibuli,
Pengalaman mengajarku erti kehidupan ini,
Kedewasaan  membenihkan kecekalan pasti,
Aku akan terus berjuang di sini.

Saturday, December 19, 2009

KURSUS BAHASA ISYARAT

Salam Maal Hijrah 1431H buat semua teman-teman bloggers. Sudah lama rasanya entri ini kosong tanpa bahan tulisan baru. Hari ini sedang anak-anak mandi-mandi di dalam bilik air, kesempatan diambil sepenuhnya untuk menulis biarpun sedikit. Anak kecil di sebelah seakan mengerti mamanya begitu khusyuk di hadapan muka komputer untuk menulis. Bila sudah lama tidak menulis, rasa seakan kaku jari jemari hendak menaip bait-bait kata yang sesuai.

Dua hari lalu, satu kursus bahasa isyarat kepada rakan-rakan sekerja telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan dari Unit Pendidikan Khas. Saya hanya menjadi penyumbang kecil di dalam kursus tersebut namun berasa puas dengan hasilnya. Mungkin sebahagian para peserta yang hadir tidak sepenuhnya meletakkan minat menghadiri kursus 'terpaksa' ini namun, harus dipuji sebahagiannya kelihatan cukup teruja. Maklumlah, bila kita diarah melakukan sesuatu yang kita tidak suka, harus diakui akan terbit rasa tidak selesa dan kurang keseronokan.

Kursus ini dikendalikan khusus buat rakan-rakan yang masih kekurangan jumlah hari berkursus dalam setahun. Mungkin kursus ini tidak menepati keinginan rakan-rakan, tetapi penganjur amat berharap agar para peserta yang hadir akan memperolehi 'sesuatu'. Idea memberikan 'token' sebagai menghargai rakan-rakan yang sudi hadir rasanya menjadi satu wadah yang menaikkan semangat rakan-rakan untuk memberikan yang terbaik. Kita tidak mengharapkan para peserta menajdi mahir dalam masa dua hari tetapi, kita mengharapkan para peserta memperolehi sedikit asas dalam memahami dunia tanpa suara ini. Kami yakin matlamat itu berjaya dicapai pada kursus tersebut.

Bukan mudah juga orang nombor dua organisasi untuk bersama-sama di dalam kursus sebegini. Terima kasih dan TAHNIAH kepada En Sahul Hamed bin Hj Abdul Wahab, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik yang sama-sama berada dan melibatkan diri di dalam kursus ini. Kursus ini menggabungkan bukan sahaja staf akademik, malah staf sokongan seperti pegawai perhubungan pelanggan di pentadbiran, pemandu-pemandu, serta pegawai-pegawai unit-unit yang dikumpulkan di dalam satu kursus. Di sinilah tempat untuk saling mengenali antara satu sama lain. Setiap kumpulan mempunyai ahli yang berbeza bidang pekerjaan. Itulah yang kita mahukan. Tiada perbezaan gred mahupun status jawatan supaya kebersamaan itu dapat dirasai.

Kepada pemenang peserta lelaki dan wanita terbaik, Encik Muhamad Fadhil dan Puan Sharipah Rusni, TAHNIAH dan semoga terus istiqomah dengan apa yang telah dipelajari untuk dimanfaatkan pada masa-masa akan datang. Semoga usaha kecil ini dapat merapatkan jurang antara kita yang dianugerahkan nikmat pendengaran ini dengan golongan pekak tanpa sebarang rasa takut, kerana kita belajar, kita aplikasikan, kita faham, di situlah letaknya KEJAYAAN.


Tuesday, December 1, 2009

POLY FEST POLITEKNIK JOHOR BAHRU 2009

Pada 24 dan 25 November lalu, telah berlangsung program Polyfest PJB 2009 yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tn. Hj Zulkifli bin Md Salleh, Pengarah Bahagian Pembangunan Akademik, Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program ini julung kalinya diadakan sebagai satu usaha memperkenalkan produk-produk terbaik para pelajar semester akhir setiap jabatan induk kepada warga PJB sendiri khususnya dan warga luar amnya. Di samping itu, elemen keusahawanan diterapkan melalui pengendalian gerai-gerai jualan oleh para pelajar sesuai dengan fokus Kementerian Pengajian Tinggi yang ingin melaksanakan pembudayaan elemen keusahawanan di kalangan pelajar.

Program ini merupakan program PJB dan Unit Keusahawanan hanya bertindak sebagai pelaksana. Kerjasama dari setiap jabatan amat dihargai walaupun terdengar di telinga 'cakap-cakap belakang' yang kurang menyenangkan. Apa yang penting, prorgram ini berjaya dilaksanakan. Tahniah kepada para pensyarah yang memberikan komitmen sepanjang program ini dijalankan.


BANNER PERASMIAN
PERSIAPAN DI DALAM DEWAN


Pemasangan booth jabatan-jabatan


Erlia, tukang lipat itenary


 Apo den nak buek dongan belon-belon ni yo??


Pasang bang pasang...


Lawatan perasmi ke booth pameran


Inovasi pelajar-mesin pemotong pisang


Honda beat


Elegance of darkness


Pencipta robot dan robotnya


Dihasilkan daripada tepung.Anda percaya??


Tetap vogue!!!

Di luar dewan juga tidak kurang hebatnya dengan pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh Jawatankuasa aktiviti diketuai oleh saudara Charles Brilee. Ada karaoke, pameran, walk in interview, permainan dan sebagainya.