Followers

Saturday, December 19, 2009

KURSUS BAHASA ISYARAT

Salam Maal Hijrah 1431H buat semua teman-teman bloggers. Sudah lama rasanya entri ini kosong tanpa bahan tulisan baru. Hari ini sedang anak-anak mandi-mandi di dalam bilik air, kesempatan diambil sepenuhnya untuk menulis biarpun sedikit. Anak kecil di sebelah seakan mengerti mamanya begitu khusyuk di hadapan muka komputer untuk menulis. Bila sudah lama tidak menulis, rasa seakan kaku jari jemari hendak menaip bait-bait kata yang sesuai.

Dua hari lalu, satu kursus bahasa isyarat kepada rakan-rakan sekerja telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan dari Unit Pendidikan Khas. Saya hanya menjadi penyumbang kecil di dalam kursus tersebut namun berasa puas dengan hasilnya. Mungkin sebahagian para peserta yang hadir tidak sepenuhnya meletakkan minat menghadiri kursus 'terpaksa' ini namun, harus dipuji sebahagiannya kelihatan cukup teruja. Maklumlah, bila kita diarah melakukan sesuatu yang kita tidak suka, harus diakui akan terbit rasa tidak selesa dan kurang keseronokan.

Kursus ini dikendalikan khusus buat rakan-rakan yang masih kekurangan jumlah hari berkursus dalam setahun. Mungkin kursus ini tidak menepati keinginan rakan-rakan, tetapi penganjur amat berharap agar para peserta yang hadir akan memperolehi 'sesuatu'. Idea memberikan 'token' sebagai menghargai rakan-rakan yang sudi hadir rasanya menjadi satu wadah yang menaikkan semangat rakan-rakan untuk memberikan yang terbaik. Kita tidak mengharapkan para peserta menajdi mahir dalam masa dua hari tetapi, kita mengharapkan para peserta memperolehi sedikit asas dalam memahami dunia tanpa suara ini. Kami yakin matlamat itu berjaya dicapai pada kursus tersebut.

Bukan mudah juga orang nombor dua organisasi untuk bersama-sama di dalam kursus sebegini. Terima kasih dan TAHNIAH kepada En Sahul Hamed bin Hj Abdul Wahab, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik yang sama-sama berada dan melibatkan diri di dalam kursus ini. Kursus ini menggabungkan bukan sahaja staf akademik, malah staf sokongan seperti pegawai perhubungan pelanggan di pentadbiran, pemandu-pemandu, serta pegawai-pegawai unit-unit yang dikumpulkan di dalam satu kursus. Di sinilah tempat untuk saling mengenali antara satu sama lain. Setiap kumpulan mempunyai ahli yang berbeza bidang pekerjaan. Itulah yang kita mahukan. Tiada perbezaan gred mahupun status jawatan supaya kebersamaan itu dapat dirasai.

Kepada pemenang peserta lelaki dan wanita terbaik, Encik Muhamad Fadhil dan Puan Sharipah Rusni, TAHNIAH dan semoga terus istiqomah dengan apa yang telah dipelajari untuk dimanfaatkan pada masa-masa akan datang. Semoga usaha kecil ini dapat merapatkan jurang antara kita yang dianugerahkan nikmat pendengaran ini dengan golongan pekak tanpa sebarang rasa takut, kerana kita belajar, kita aplikasikan, kita faham, di situlah letaknya KEJAYAAN.


No comments:

Post a Comment