Followers

Thursday, December 30, 2010

Sesi terapi Aiman Haziq

Salam penulisan. Hari ini terasa hendak sambung menulis. Kali ini nak bercerita berkenaan proses terapi yang dilalui oleh Aiman Haziq, putera istimewa saya. Memandangkan Haziq merupakan pesakit GDD atau Global Development Delayed, memang banyak perkembangan fisiologinya yang jauh tertinggal kalau dibandingkan dengan kanak-kanak seusia dengannya. Pasukan perubatan pun tidak dapat memberikan kepada saya nama penyakit yang tepat yang dihadapi oleh Aiman Haziq. Apa yang pasti, pasukan perubatan mendapati bahawa Haziq merupakan pesakit genetik/metabolik. Kromosom ke2 nya abnormal, saiznya dua kali ganda daripada yang biasa. Nak cerita pun susah...kadang-kadang sulit nak memahaminya. Bila orang tanya sakit apa, terpaksalah kata dia memang dah bermasalah sejak dalam kandungan lagi. Kenapa? sebab tak tahu bagaimana nak menjelaskan pada setiap orang yang bertanya...Alhamdulillah, walaupun banyak perkembangan tertinggal, sekali pandang orang tak perasan yang Haziq bermasalah tapi kalau pandang berkali-kali mesti perasan kelainan yang ada padanya. Perasaan??? Jangan ditanya. Hanya ibu bapa yang mempunyai anak istimewa sahaja yang memahami apa yang kami rasai sepanjang 2 tahun setengah ini......apa yang boleh kami lakukan sekarang ialah meneruskan proses terapi cara kerja dan fisioterapi mengikut pertemuan yang ditentukan oleh pihak hospital.

Di rumah juga kami sediakan sedikit alat-alat yang dapat merangsang otot-otot atau saraf-saraf Haziq. Setiap bulan peruntukan untuk TF (transfer factor) Haziq sahaja sudah 3 ratus lebih tetapi tetap digagahkan demi anak kesayangan...Kena juga cari alternatif selain terapi.Alhamdulillah, sejak makan TF, Haziq kurang demam..kalau tak dulu..suka-suka hati je nak demam tiba-tiba. Nampak dia pun lebih sihat. Batuk-batuk sikit tu biasalah. Dah faham apa orang cakap...kena marah menangis, cakap nak buat susu dia diam...ajak jalan dia sengih-sengih. kadang-kadanglah. Kalau dia sihat, rajin senyum walaupun kita pun tak tahu apa yang disenyumkannya. Walaupun matanya rabun, nampak macam dah ada sikit peningkatan. Bila kita lalu di sebelah, dah nak paling-palingkan muka. Itu perkembangan yang cukup menggembirakan.....

Hmmm....hospital  tetap hospital. Bila sampai je sesi terapi cara kerja ke, fisioterapi ke...sahlah dia akan menjerit. Dah tau dah akan 'dikerjakan' padahal sejam lebih sahaja tapi menangisnya ngalahkan macam kena dera. Kadang-kadang rasa kelakar pun ada. 
 Ni sesi fisioterapi di HSI. Dia diam aje sebab 'aweks' cun yang buat kan...pandai betul budak ni kan.....

Bila kena berdiri di atas standing frame...dia mulalah menyanyi lagu Siti Norhaliza...dia ingat suara dia bestlah tu.....

Auntie tu tak buat apa pun, pegang aje...macam kena cubit menjeritnya....

Kalau orang lain, kesian agaknya tengok dia menangis-nangis masa terapi tapi mama dan ayah dia buat muka selamba je. Dah tau dah yang memang itulah yang perlu dilakukan. Kena paksa, kalau tak, manja...tak adalah sebarang perubahan dan perkembangan.

 Sesi merangsang otot...
 Tak nak!!!!! sama spesies!!! Baik nangis............

Ternganga-nganga bila tengok kamera....ini kerusi special dia kat rumah.....

Masih rasa macam mimpi bila ada anak istimewa. Macam mimpi........tapi sebenarnya inilah realiti. Ada sesetengah mak bapak malu bila ada anak istimewa. Tapi bagi kitorang...apa nak malukan. Ini anugerah....cuma kadang-kadang kesian kat Haziq, jarang dibawa berjalan-jalan melainkan pergi shopping complex. Kalau pergi tempat lain, pikir banyak kali nak bawak Haziq sebab sensitif panas. Karang tiba-tiba menjerit keras-keraskan badan, tak pasal-pasal semua orang memandang.......malas lagi nak menjawab......Kalau pergi tempat sejuk-sejuk tak ada masalah. Tidur malam pakai aircond dia guna seluar pendek pun tak kisah, makin nyenyak dia.....sebab tu bila nak balik kampung pun tak boleh lama-lama sebab dia memang confirm meragam sebab panas......anak..anak....pikir anak dulu baru pikir diri sendiri.....

Sambung pasal terapi.....bersyukur sangat sebab ada seorang kawan berbangsa Cina, ada anak yang ada masalah yang sama sanggup memberikan beberapa alat bantuan secara percuma. Kerusi hitam tu, kalau kat luar beribu-ribu harganya, susah nak dapat yang sama macam tu tapi member tu bagi percuma. Ada beberapa alat lagi. Tak kira bangsa..sama-sama membantu....


 ye..ye...naik buai.....nangis jugak.........

 1st time kena duduk kat sudut dinding......menjerit-jerit!!!!

 Penatlah.....tidur dulu..........

Auntie cari posisi nak betulkan posisi Haziq.....

Macam-macam kerenah Haziq semasa terapi. Kadang-kadang ada jugak parent lain yang pandang je bila kami biarkan Haziq melalak-lalak masa terapi....nak buat guano............buat tak tau je lah.....

 aha.....yang ini buat rangsang mata Haziq....

 Golek jangan tak golek......ada satu kat rumah tapi jarang pakai..huhuhu

Dengan abang-abang praktikal yang encem........

 sempat menjeling....

 complete dengan mata kedua...splint kaki tangan, duduk pulak atas kerusi khas......hmmm comellah anak mama nie........

penat............nangislah.....cepatlah keluar daripada kerusi ni......

Inilah cerita Aiman Haziq.....dengan adanya Aiman Haziq, mama dan ayah jadi insan yang lebih tegar, tabah, kuat dan lebih penyabar.....Semoga Haziq terus berjuang untuk kesembuhan, begitu juga mama dan ayah...mmmmmmuuuaaaahhhh my darling................

Thursday, December 23, 2010

Debaran hati ibu...

Hari ini genap sebulan lamanya tiada sebarang entri dipaparkan di dalam blog ini. Hari ini juga terdetik di hati untuk meneruskan bait-bait kata yang lama tidak diasah. Tiga hari cuti lebih awal diambil bagi menghadapi hari ini, 23 disember 2010. Kenapa? Hmmmm....menjalani dan melewati hari Orientasi Tahun 1 2011 bagi anak sulung yang baru hendak memasuki alam persekolahan. Diam tak diam dah hampir 8 tahun perkahwinan kami dengan tiga orang cahayamata. Anak yang sulung pun sedar tak sedar dah nak masuk darjah 1 dua minggu lagi. Begitu cepat dan pantasnya masa berlalu. Bak kata pepatah, sekelip mata berubah.....Cuti tahun ini masih berbaki 21 hari. Puaslah memikirkan hendak buat apa kalau cuti tidak dihabiskan, justeru amat tepatlah kiranya mengambil cuti di saat-saat sang anak memang memerlukan kehadiran dan perhatian sang ibu dalam menghadapi detik-detik pertama sebagai pelajar.

Rasanya dah hampir dua minggu jugalah fail kelengkapan dokumen dan peralatan sekolah anak diusung ke sana kemari supaya tidak ada satu pun yang tertinggal. Membeli kelengkapan sekolah, buku-buku tulis, seronok walaupun perlu mengeluarkan belanja yang agak besar. Masa nilah pendapat kawan-kawan yang dah ada pengalaman sangat berguna. Di mana nak dapat barang yang murah, semua dah kena belajar untuk survey...nanti-nanti senang untuk adiknya pulak. Kadang-kadang terasa semacam mamanya pula yang over excited. Si ayah belikan baju-baju, mama pulak tanggungjawabnya meneliti baju-baju yang dibeli, ubahsuai mana yang patut......kalau nak tempah mahal pulak, nak jahit sendiri ilmu tak cukup lagi, jadi kenalah survey dulu kedai-kedai yang tawarkan harga yang berpatutan dan bolehlah dianggap murah. Akhirnya.....BIG 10 Masai menjadi pilihan. Kualiti baju pun ok, harga pun tidaklah membebankan. Masih ada banyak ruang penjimatan...hehehehe....

Bila bercuti, semua orang ingat pergi rehat-rehat, jalan-jalan,hmmm....tak ada maknanya.....kalaulah setiap kali ambil cuti tu dapat betul-betul pergi holiday ke...enjoy-enjoy ke...ok jugak tu tapi semua tu cuma kehendak yang boleh jatuh ke kepentingan yang entah dah ke berapa dah dalam senarai.....pasti ada kepentingan bila ambil cuti. Pastinya keutamaan untuk anak-anak. Kali ini, mama dah bersedia untuk menghadapi bersama hari-hari pertama Rahimi di Sekolah Kebangsaan Kopok.

Hari ini, seawal pagi mama dah bangun, buatkan sarapan dan bergegas ke sekolah sebelum jam 8.00 pagi. Ada agenda yang perlu dihormati. Terserempak Wahyuni, Marina, Khalida, Enab, Johari dan Linda, Kak Shila dan ramai lagi. Selepas mengambil nombor giliran, kenalah beratur pulak untuk mendaftar. Suasana pula sejuk, hujan renyai-renyai, semua berpusu-pusu nak masuk ke dalam khemah. Mujur nombor giliran tak terlalu besar. Selepas mendaftar, anak-anak di bawa ke kelas-kelas sementara yang ditentukan untuk mengambil dua jenis ujian bagi menentukan kelas anak-anak apabila memulakan sesi persekolahan nanti. Rupa-rupanya ramai juga kawan-kawan seangkatan yang sama-sama menghantar anak ke sekolah buat kali pertama. Ibu bapa diberikan taklimat oleh guru besar sekolah Kebangsaan Kopok, Puan Rohaya. Taklimat yang simple, jelas dan mudah difahami. Anak-anak berhepas pulas menjawab soalan-soalan. Tepat jam 11.30 pagi, anak-anak dilepaskan dari kelas masing-masing selesai menjawab dua kertas ujian iaitu kertas Bahasa Melayu dan matematik.

Boleh jawab? senang tak? soalan diajukan kepada anak sulung yang keluar dari kelas. "senang jerr..." sangat lancar jawapan itu keluar dari mulutnya. Kita yang berdebar-debar dia tak kira.....ujian ini akan menentukan kelas mana akan diduduki bila sesi persekolahan dimulakan nanti. Harap-harap dapatlah menjawab soalan dengan baik. Soal di kelas mana diletakkan, itu hal nombor dua. Bayangkanlah, 12 kelas bagi darjah 1 tahun 2011 dan setiap kelas dalam anggaran 40 pelajar. Ramai juga tu pesaingnya nanti.........Selesai urusan di sekolah, bergegas pula ke Masai. Terpaksa carikan Rahimi kasut baru sebab kasut sewaktu tadika dulu dah sempit, kasihan pula tengok dia terpaksa pakai kasut ketat....ingatkan muat lagi tetapi pertumbuhan kanak-kanak memang tak terjangka. Rasanya terlalu cepat dia membesar...selepas tu terus balik ke rumah sebab dah tak tahan hendak tidur. Al-maklumlah kurang tidur malam sebelumnya disebabkan kodisi anak yang kecil tidak begitu menyenangkan. Hampir setiap 10 minit terjaga. Rasanya dah hampir pagi baru dapat melelapkan mata................

Selepas ini debaran akan terus bersarang di hati...bagaimana hari pertama anakku nanti, bagaimana pergaulan dengan guru dan rakan-rakannya, bagaimana jadual hantar dan mengambilnya dari sekolah dan macam-macam lagi tetapi penuh yakin anakku pasti akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Anak-anak zaman sekarang memang sudah terkehadapan dan kelihatan lebih cepat matang dan memahami persekitaran. Semoga terus menjadi anak yang cemerlang dan terbilang, membahagiakan kedua orang tua dan sentiasa berjaya di dunia dan di akhirat.........Hilangkan debar di hati mama, gantikan ia dengan bunga bangga, duhai anak belahan nyawa, pastikan jaya membina bahagia...............

Tuesday, November 23, 2010

JEMARIKU KEMBALI BERAKSI...

Hampir sebulan jari jemari ini tidak mengetuk abjad-abjad di komputer ribaku ini. Petang ni sambil-sambil menonton drama bersiri di TV3,"seribu kali cinta", terasa pula gatal tangan ni nak menulis. Kalau dibiarkan terlalu lama tidak diasah kemahiran menulis, boleh jadi tumpul dibuatnya dan takut pula laman blog ini jadi bersawang. Puas memikirkan apakah bait-bait kata yang hendak ditulis, puas memulas akal fikiran untuk melontarkan baris-baris ayat yang indah namun nampaknya terlalu banyak otak kiri telah digunakan sehingga kemahiran otak kanan ini jadi sedikit terbatas, agaknyalah.....Memang telah lama menyedari bahawa kretiviti yang melibatkan seni yang dulunya berkembang telah semakin merudum. Mungkin dipengaruhi oleh corak kehidupan yang lebih menjurus ke arah aspek-aspek teknikal. Oh tidak.......tidak mahu kebolehan ini terhakis, nampaknya perlu mencari semula apa yang telah mula hilang.....

Tengah hari tadi berkesempatan menziarahi teman yang sedang berhempas pulas, berjuang menyiapkan proses mencanting rekaan batik bagi Pertandingan Piala Seri Iman yang bakal berlangsung minggu hadapan. Sangat mengujakan dan sangat mengkagumi semangat rakan-rakan yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir!!!!! Terasa ingin sekali bersama-sama mereka dalam majlis gilang gemilang itu namun apakan daya, tuntutan kerja lebih memerlukan aku di sini. Mungkin hanya tinggal satu semester buatku untuk mencurah sehabis baik segala sumbangan sebelum melangkah pergi menyambung perjuangan yang masih belum selesai. Satu lagi matlamat dalam hidup yang ingin dicapai. Meskipun agak tersasar daripada matlamat, alhamdulillah Allah masih menyayangiku, memudahkan perjalananku . Aku bersyukur padaMu Ya Allah....

Petang tadi aku memulakan suatu langkah yang hampir aku tinggalkan. Aku ingin kembali bergerak. Tak tahan rasanya duduk di tempat yang sama tanpa sebarang perubahan. Mulakan dengan langkah pertama, pasti akan menyusul kejayaan pada langkah-langkah berikutnya.............

Friday, October 29, 2010

MAJLIS MESRA JIRAN KIARA FASA 3

Apa khabar semua yang mungkin membaca catatan dalam blog saya ni? Mudah-mudahan kalian semua sihat dan sejahtera. Kali ni saya hendak bercerita dan berkongsi rasa berkaitan aktiviti di kejiranan saya. Minggu lepas telah berlangsung Majlis Mesra Jiran Kiara Fasa 3. Dah lama rasanya aktiviti yang menghimpunkan ahli kejiranan seperti ini tidak dilakukan. Kali terakhir rasanya pada tahun 2008 kalau tak silap saya. Ahamdulillah, tahun ini tanpa sebarang perancangan yang betul2 terancang program ini berjaya dilangsungkan dengan begitu berjaya. Kadang-kadang kena akui juga bahawa ada ketikanya aktiviti secara ad-hoc inilah yang akan membuahkan hasil yang tidak dijangka. Kadang-kadang.....kalau ada perancangan yang betul-betul lagi cantik.......

Bila ada anak kecil, lebih-lebih lagi yang semacam Haziq, ralat juga rasanya tak dapat bersama menghulur tangan berganding bahu dengan jiran-jiran menyediakan apa yang patut untuk program ini. Tolong tengok jelah nampaknya.....Bukan senang nak dapat berkumpul macam ni, setahun payah sekali. Raya tahun ini pun sedih tak berkesempatan beraya ke rumah jiran-jiran seperti kebiasaannya. Mana tidaknya, naik cuti raya, 3 minggu berturut-turut terpaksa ke luar daerah atas tuntutan kerja. Bila ada peluang sebegini, inilah peluang terbaik untuk beramah mesra dengan jiran-jiran...Sebelah petang sempat jugalah menjenguk aktiviti persiapan masak-memasak di rumah Saudara Supian. Meriah...ramai bapa-bapa yang turun padang. sejak pagi pasang khemah, sebelah petang rewang pula....

Sebelah malam, kononnya hendak memulakan majlis dengan marhaban tetapi terpaksa dibatalkan memandangkan jiran-jiran berbangsa India dan cina juga turut serta hadir. Tak sesuailah pula rasanya. Terasa macam tema satu Malaysia tu dapat dilihat di kejiranan kami. Seronok.....Tak percaya? Cuba lihat gambar-gambar ini....





Makanan pun boleh tahan sedapnya. Ada satay Wak Radol, nasi kerabu Kak Maziah ada nasi himpit, ikan bakar dan macam-macam lagi makanan sumbangan ahli-ahli kejiranan. Memang tak terlaratlah nak makan!!!!
                                                      Kan..banyak makanan kan...kan..... 


                                                      Ini dia Kak Maziah..sedap nasi kerabunya....

                                                        Ini orang-orang kuat majlis....

                                   Anak siapalah ni, baiknya tolong jaga adik bila mak tengah makan.............

Memang seronok. Budak-budak apatah lagi , lari ke sana ke sini. Ada main mercun lagi!!!. Berdentam dentum bunyi tapi tak kisahlah, bukan selalu pun... Yang penting ikatan kejiranan yang baik mesti dikekalkan tanpa mengira bangsa dan agama. Kalau aktiviti sebegini dapat diteruskan dari tahun ke tahun, pasti ianya akan menjadi budaya yang tidak dapat dipisahkan dalam masyarakat.

Saturday, October 23, 2010

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI 'BAHASA JIWA BANGSA' SEMPENA BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2010 NEGERI JOHOR

Hari ini 23 Oktober 2010 adalah hari yang mencabar dan menguji sejauh mana kemahiran yang ada dapat dimplimentasikan dalam usaha menyokong program yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Bertempat di DBP Wilayah Selatan, saya mencuba nasib menjadi salah seorang peserta deklamasi sayembara puisi. Kali pertamalah katakan, masih setengah tahun jagung, nak bertanding dengan peserta-peserta yang telah berpengalaman. Kalau tak cuba manakan nak tahu kemampuan diri, tak gitu?. Sebenaranya, teringat pada petikan ucapan Tuan Pengarah sewaktu Viscom yang baru saja berlangsung iaitu ada manusia yang tergolong dalam kumpulan right brain thinking dan left brain thinking. Nampak sangatlah saya tergolong dalam kumpulan right brain thinking di mana lebih menjurus ke arah sesuatu yang bersifat seni. Seni itu kan luas pengertiannya....

Sebenarnya tak ramai yang tahu saya terlibat dalam program ini. Adalah seorang dua teman-teman yang tahu. Malu hendak bercerita sebab dah lama sangat tak buat perkara-perkara begini, sejak sekolah menengah lagi ditinggalkan. Bila sampai satu tahap, kadang-kadang kita akan merasa bahawa kita perlu melakukan sesuatu yang menjadi 'passion' atau keghairahan kita yang dapat memberikan kepuasan yang tidak terkira. Soal menang atau kalah bukanlah fokus utama. Apa yang penting, sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan cuba melakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Malu rasanya sebagai insan yang mempunyai sedikit anugerah tetapi tidak mehu menggunakan anugerah yang diberikan. Bukan untuk membangga diri,sebaliknya menguji kemampuan diri sendiri.

Rasanya hampir dua minggu sudah menghantarkan borang. Menghafal?? Bila sempat sahaja. Hendak menghafal depan suami, malu....Bila naik kereta bersendirian, masa itulah dimanfaatkan sebaiknya untuk berlatih. Agaknya pelik orang di kanan dan kiri melihat. Kenapalah pemandu ni bercakap seorang, gila agaknya!!!! Kesibukan yang melanda juga membataskan had masa untuk menghafal. Tawakkal sahajalah....

Bila sampai di DBP, terkejut jugalah melihat senarai peserta kategori terbuka wanita. 33 orang!!!. Peserta lelaki, 38 orang dan peserta pelajar sekolah 51 orang. Sambutan yang sungguh menggalakkan dan teruja melihat kesungguhan peserta masing-masing. Satu Malaysia dapat dilihat di sini. Ada peserta Cina, India, Bumiputera dan Melayu sendiri. Pelbagai gaya dan nada yang keluar. Jelaslah, bukan tandingan saya. Nampaknya kena cuba dan terus mencuba........Paling mengkagumkan apabila melihat peserta yang menghampiri usia emas dan masih lagi mampu menewaskan anak-anak muda seperti saya. Alhamdulillah, walaupun saya tak menang tapi sangat puas kerana dapat memberikan persembahan tanpa sangkut-sangkut. Itulah yang sangat saya harapkan bila memasuki ruangan pertandingan.




Satu perkara lagi yang tak boleh dilupakan, kena SAMAN!!!!! Puncanya kerana tidak meletakkan kupon meletak kenderaan.Sudahlah kali pertama datang ke kawasan tersebut, kena saman pula!! Ibarat hari ini dalam sejarah jadinya. Bayangkanlah, sepanjang menjadi pemandu di atas jalan raya selama 9 tahun, belum sekalipun saya dikenakan sebarang bentuk saman, hari ini menjadi sejarah. Kebetulan rakan penguatkuasa yang menyaman kereta saya ada berdekatan, habis dia saya 'kerjakan'. Membebel jugalah tapi tidaklah dalam keadaan amarah. Kelakar pun ada dibuatnya, akhirnya apa nak buat??? Geleng kepala sahaja yang mampu sambil mentertawakan kesalahan sendiri......

Kerana memperjuangkan Bahasa yang menjadi jiwa bangsa....SAMAN pun samanlah..........hehehehe..

Di sini saya apresiasikan sajak yang telah di deklamasikan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010.

JIKA ESOK AKU TIADA
nukilan: Ishiba, Johor Bahru

Jika takdirnya esok aku tiada
Sirna, lenyap ditelan masa
Tiada lagi citra sebuah bangsa
Menjulang bangga keagungan bahasa
Bukan masanya aku membasahkan pipi
Air mata tidak guna mengalir lagi
Menyesal jangan sesekali

Jika takdirnya esok aku tiada
Jangan kau ungkit jahilnya para pemimpinmu
Sebab kacaunya pendirian dan pemikiran
Mereka benamkan aku ke dasar laut
Dilontarkan jiwa ke langit terbuka
Penuh dengan jerebu globalisasi
Lalu diapungkan lidah yang asing
Dipaksakan menjadi milikmu
Biar hilang peribadimu
Terhimpit di celah-celah batu
Sebuah negara berstatus maju
Mengungkap segugus ilmu

Jika takdirnya esok aku tiada
Bersemadi lesu bersama jiwamu
Usah kau usung lagi kisah pilu
Atau diheret erti rindu
Sebaliknya inilah sekepal hati
Lukanya tidak terperi

Jika takdirnya esok aku tiada
Tanyalah para pemimpinmu
Mereka yang petah bicara
Menghujah tanpa usul periksa
Erti sebuah ungkapan setia
Bahasa Jiwa Bangsa
Hilang perkasa dan wibawa.

BBK oh BBK............................

Saturday, October 9, 2010

Kembara mencari ubat masalah tulang.....

Hari ni saya ingin kongsikan berkenaan kembara untuk mencari tempat bagi rawatan masalah tulang. Mana tempat yang paling best nak buat rawatan tersebut berdasarkan pengalaman....Kita kena akui, bila bekerja,sedar tak sedar sebenarnya kita ni banyak juga bergerak, angkat barang-barang, kadang-kadang tak beringat. Kalau pergi kelas pulak, bangunan memang dah confirm tinggi. Kalaulah kelas tu di tingkat paling atas, tak ke gigil kaki dibuatnya naik ke atas tu. kalau ada lif lainlah cerita. Sampai-sampai tingkat atas, kena pegang palang yang ada di tepi laluan, dah tak 'balance'...hehehe...bila duduk lama pulak, nak bangun punyalah payah..pinggang terasa sangat sakit hinggakan kena berpegang pada sesuatu seperti kerusi atau meja supaya dapat berdiri tegak dan berjalan. Kalau bangun  tidur pun macam tu jugak, mesti terasa sakit pinggang yang amat. Alhamdulillah,semua tu cerita dulu dan penuh harapan moga-moga ianya tidak berulang. Ngeri rasanya menanggung sakit pinggang kerana punca yang kita tak pasti.. 

Raya keenam yang lalu, saya pergi ke Pulau Pinang, ke Ayer Itam membawa adik bongsu untuk mendapatkan rawatan berkenaan masalah 'sleep disc' yang dihadapinya. Kesian, anak dara baru 24 tahun, tangan dah menggigil, kaki dah tak berapa kuat, masalah dah naik hingga ke tengkuk. Doktor memang dah sarankan supaya jalani pembedahan tetapi kami 'hold'kan dahulu. Kebetulan, saya ada seorang teman yang mempunyai masalah yang sama, juga telah mendapat saranan supaya dibedah. Beliaulah yang mencadangkan saya ke tempat rawatan tersebut. Saya terkejut yang amat melihat teman tu dah boleh berjalan dengan laju!!!! Mengapa tidak saya mencuba?? Maka bermulalah perjalanan kami 7 beranak ke Pulau Mutiara...saya, adik (pesakit), nenek, abah, dua orang sepupu dan anak sulung saya. habis duit raya guna buat bayar tiket kapal terbang....Sebab tak pernah naik flight, siap tutup-tutup muka lagi anak bujangku itu!!!!

Kami sampai di Pulau Mutiara dah petang. Mujur dapat homestay yang murah, rumah 3 bilik, fully furnished dengan harga RM200 semalam. Pengangkutan disediakan cuma kena bayar ikut jamlah...Malam tu juga kami terus ke tempat rawatan. Di Flat 7E-G-06,Desa Intan, Ayer Itam. Kena tengok betul2 alamatnya sebab di aras yang sama ada 3 kedai. Nama kedainya HOR CHIN SENG Tradisional Massage and Bone Setting. Memang ramai orang. Kami pun suspen juga apa kaedah rawatan yang akan diberikan. Bila dah masuk tu, rupa-rupanya tak sakit pun. Memang betullah, mereka adjust tulang sahaja. Bab urut, kalau perempuan, ada perawat perempuan yang akan uruskan. Kos rawatan pun sangat berpatutan, paling mahal pun RM40.00 untuk satu badan. Kos nak ke sana lebih mahal daripada kos rawatan!

Orang datang memang tak putus-putus. Alang-alang dah sampai, saya pun ikut sekali buat rawatan. Mereka kata tulang-tulang saya perlu di 'set' semula. Relakan aje lah. Esoknya kami datang sekali lagi. . Kebetulan dapat jumpa owner pusat rawatan tersebut iaitu Uncle Hor tu sendiri. Dia kata rupa-rupanya tulang pinggang saya dah jauh terkeluar. Ni semua kesan-kesan terlalu aktif zaman-zaman sekolah, jatuh tak hengat.......angkat benda-benda berat pun tak kisah, bila dah meningkat umur baru terasa kesannya. Suspen, datang perawat yang tegap badannya tolong Uncle Hor tu rentap tulang pinggang. "Brak....", Hmm..tulang pinggang kamu sudah keluar.....kata Uncle Hor. Sekali lagi  Brak.......'Ok, sudah masuk,"...Macam tu aje dia betulkan tulang. Tapi tak sakit..............Dapat juga betulkan masalah tulang buku lali yang terseliuh dua kali sebelum tu. Siap kena pakai ankle guard, lebih-lebih lagi kalau banyak berjalan katanya.

Alhamdulillah, sejak rawatan tu hingga ke hari ini, masalah pinggang dah lenyap sama sekali. Macam tak percaya tapi itulah kenyataannya. Cuma sesekali tu kena juga pergi buat rawatan susulan, macam buat maintenance berkala. Datang hari tu buat overhaul, datang lain kali buat service sahaja, hihihihi....Pusat rawatan tu memang tak ada ambil temujanji. Konsepnya, first come first serve. Pesakit-pesakit yang datang pun dah tau rules and regulationnya. Tak akan jumpalah sesiapa yang berani potong barisan. Memang sangat berdisiplin...... Apa salahnya sebar-sebarkan tempat rawatan yang baik. Saya memang percaya kaum Cina adalah kaum yang memang terkenal pakar dalam membetulkan masalah tulang. Kalau mereka dapat membantu, mengapa kita takut untuk mendapatkan bantuan???? Sekadar berkongsi daripada pengalaman yang sedikit. Adik saya sendiri merasakan perubahannya tetapi keadaannya agak lewat untuk pulih kerana kondisinya yang sudah agak teruk. Maka, perlu membuat ulangan lagi ke sana. Mudah-mudahan masalah yang dihadapi akan beransur hilang sedikit demi sedikit. Doakanlah ye...

Banyak pengalaman yang dikutip sepanjang kembara tersebut. Saya juga berpegang kepada apa yang telah dinyatakan di dalam Kalam Allah iaitu setiap penyakit itu pasti ada ubatnya melainkan MATI. Maka kita wajib berusaha selagi ada daya untuk mencari penawar kepada penyakit yang datang selain sentiasa mengingati bahawa setiap penyakit yang datang itu adalah ujian atau kifarah atas dosa-dosa lampau kita atau Allah telah sediakan hikmat dan kemanisan yang kita tidak jangka. Percaya itu, insyaAllah kita bukanlah tergolong dalam golongan yang mudah berputus asa.....

Tuesday, October 5, 2010

Gara-gara PTK...

Hari ini tergerak lagi untuk menulis. Ketika entri ini ditulis, saya berada di Suria City Hotel Johor Bahru kerana menghadiri sesi penilaian untuk Penilaian Tahap Kecekapan Siri 2/2010 bagi Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi Gred DH41. Ramai juga teman-teman yang sama-sama sedang berjuang untuk memperbaiki keputusan PTK yang lepas. Kalau dahulu, proses penilaian hanya dibuat di atas kertas sama ada dengan menjawab soalan aneka pilihan dan menjawab soalan-soalan esei, kali ini bentuk pentaksiran telah berubah.

Bagi yang mengambil komponen fungsional dan generik, para calon diwajibkan untuk mempersiapkan diri membentangkan proses pengurusan kerja bagi tahun semasa untuk dinilai yang merangkumi 50% markah keseluruhan. 50% markah lagi akan dinilai melalui tugasan individu yang telah dibuat lebih awal. Selain itu, para calon juga tidak terlepas untuk dinilai melalui kumpulan perbincangan, penilaian personaliti dan juga menjawab soalan aneka pilihan.

Memang terasa hendak pecah kepala dibuatnya sementelah semua kerja dibuat pada saat-saat akhir. Macam-macam insiden yang berlaku. Kesibukan kerja luar selama 3 minggu berturut-turut menyebabkan saya GAGAL fokus dalam proses menyiapkan diri menghadapi PTK. Format tugasan salah, tugasan lewat siap, SKT lupa buat,...macam-macam. Nak marahkan diri sendiri rasanya tak berbaloi pula kerana semuanya bergantung kepada bagaimana pengurusan diri diimplimentasikan. Kalau dulu selalu marahkan pelajar supaya bijak membahagikan masa, rupa-rupanya kadang kala kita sendiri terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa ada masanya kita juga berada dalam kondisi yang sama.

Sang suami hanya boleh tertawa melihat kekalutan saya sebelum bergerak ke hotel di mana tempat kami menginap. Beliau hanya berkata, inilah keadaannya tatkala saya akan melakukan sesuatu perkara penting. Fenomena yang sama sahaja dilihat, kalut, kelam kabut dan tak tentu arah. Apa yang pasti di akhirnya semuanya dapat terlaksana. Mudah-mudahan kali ini juga begitu....

Sampai sahaja di hotel, terlihat ramai juga rakan-rakan sekerja dari institusi yang sama turut serta menyahut cabaran. Sayangnya, hanya dua calon dari Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual. Soalan bermain di fikiran, adakah mereka takut hendak menduduki penilaian ini atau adakah mereka culas hendak membuat tugasan yang dianggap remeh atau adakah mereka sudah tidak kuasa untuk mengambil peperiksaan berulang kali tetapi hasilnya tetap tidak memberangsangkan? Jawapan-jawapan tersebut hanya ada pada mereka dan mereka sahajalah yang lebih layak menjawab setiap persoalan tersebut.

Saya teringat kata seorang teman, apa yang kita buat ini adalah pengalaman yang mungkin tidak akan kita temui di mana-mana. Pada ketika inilah kita akan bertemu rakan-rakan baru, kita akan berkongsi-kongsi maklumat dan pengetahuan, kita akan cuba memberikan yang terbaik, justeru, nikmati momen-momen ini dan bergembiralah......Kata-kata itu nampak indah namun hakikatnya, calon-calon yang berada di sini sukar untuk ditebak apa yang bermain di minda mereka masing-masing. Saya percaya, ketakutan akan hilang apabila kita berjaya melalui atau melepasi apa yang kita takuti sebelum ini. Kemudian, selepas itu barulah kita akan merasakan kenikmatan dan kegembiraan tersebut....

Petang ini adalah giliran saya sebagai calon pertama untuk membentangkan pengurusan kerja bagi tahun semasa dan sebelah malam akan dimulakan dengan penilaian secara berkumpulan melalui sesi perbincangan berdasarkan tajuk-tajuk yang akan diberikan ketika itu juga. Doakan saya berjaya melalui situasi ini setelah beberapa kali slide pengurusan kerja yang dibuat diedit dan dibuat penambahbaikan....Saya ingin menikmati kegembiraan dan menghilangkan semua ketakutan yang bersarang di hati...Kejayaan hari ini  mungkin akan jadi pemangkin kejayaan untuk episod hari depan. Aminnn.....

Sunday, October 3, 2010

3 juta rakyat Malaysia merupakan pesakit "Split Personality"

Akhir-akhir ni macam-macam berita yang tersiar di akhbar membuatkan kita semakin rasa tak senang, bertambah rasa tak tenang dan semakin membimbangkan jiwa yang dulunya begitu aman dan damai. Mana tidaknya...macam-macam yang kita dengar dan kita tonton hari ini sama ada di akhbar atau di kaca televisyen membuatkan kita menjadi semakin takut dalam persekitaran kita sendiri. Terkini, kisah pembunuhan kejam insan berprofil tinggi. Suspek utama adalah seorang peguam yang secara zahirnya dikenali sebagai seorang individu yang baik di kaca mata masyarakat yang mengenalinya. Siapa sangka di dalam kebaikan yang dipancarkan itu, rupa-rupanya tersimpan sikap yang tidak dijangka dan membahayakan. Boleh dikatakan suspek utama mempunyai dua personaliti atau menghadapi masalah Split Personaliti. Mungkin pada satu ketika insan-insan yang menghadapi masalah ini dilihat sebagai individu yang stabil daripada pelbagai aspek seperti emosi, sosial dan rohaninya. Tetapi, pada suatu ketika pula boleh bertindak di luar jangkaan fikiran manusia yang waras.

Kalau dulu kita tidak asing dengan penyakit schizofrenia iaitu keadaan di mana berlaku ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak manusia, keadaan Split personaliti ini nampaknya mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa. Pesakit lazimnya akan menghidapi halusinasi, mendengar bisikan-bisikan yang mengarahkan untuk berbuat sesuatu, berada dalam keadaan kemurungan, sering bersendirian, bercakap seorang diri dan sering memendamkan segala masalah yang dihadapi.Pesakit juga sering berasa tidak selesa berada di dalam kumpulan yang ramai kerana menyangka semua mata memerhatikan mereka. Selain itu, pesakit akan lebih mudah berubah emosi dalam keadaan-keadaan tertentu.

Amat sedih apabila mendengar kes ayah mengelar leher anak, anak membunuh ibu bapa dan ahli keluarga malah insan yang tidak berdosa juga boleh menjadi mangsa. Kesemua kes yang terpapar ini boleh dikategorikan sebagai kes yang melibatkan pesakit-pesakit Split Personaliti. Angka 3 juta yang dikeluarkan melalui satu kajian yang dijalankan di Malaysia adalah jumlah yang begitu besar dan amat membimbangkan. Gender lelaki dan wanita mempunyai kemungkinan yang sama untuk menghadapi masalah Split Personaliti tetapi dikatakan lelaki lebih cenderung untuk menghidapnya. Semakin hari kes sebegini semakin meningkat. Usaha yang giat dan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berkenaan perlu dipergiatkan bagi membendung gejala Split Personaliti ini daripada terus menular, merebak dan menjadi barah yang sukar dikawal. Keteguhan pegangan agama, sikap individu dan sokongan keluarga amat penting dalam menghadapi saat-saat genting apabila ada ahli keluarga disahkan mengalami Split Personaliti. Usaha, doa dan tawakal akan menjadi senjata paling ampuh untuk mengekang segala gejala yang tidak diingini dalam masyarakat. Mudah-mudahan kita akan terhindar daripada segala bahaya, segala tipu daya dan hasutan syaitan serta sentiasa berada di landasan yang benar...

Tuesday, September 7, 2010

Raja oh Raja........

Malam Jumaat lepas, pergi menghantar dua orang pelajar khas ke stesen bas Pasir Gudang untuk pulang beraya di Kuala Terengganu dan Perlis. Bimbang nak lepaskan mereka pulang sendirian tambahan pula masih lagi dalam semester satu, belum cerdik lagi dengan selok belok Pasir Gudang mahupun Johor Bahru. Bila dah jadi mak angkat ni (penasihat akademik), nampaknya banyak perkara yang perlu diambil perhatian lebih-lebih lagi melibatkan pelajar khas. Bukan setakat mendaftarkan kursus di PMIS atau urusan-urusan lain berkaitan akademik, malah kebajikan, masalah peribadi dan keluarga pun kena ambil tahu. Apa-apa hal, PA juga yang dicari. Nak mintak cuti PA, pelajar tak datang kelas  pun PA kena cari dan macam-macam lagilah.Kadang-kadang naik kelakar pun ada, nak marah pun ada. tak tahulah kalau ada mana-mana IPTA lain yang melakukan tindakan seperti yang dipraktikkkan di Polteknik. Rasanya sistem yang diamalkan mengalahkan sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah....Kamilah pensyarah, kamilah PA, kamilah tukang buat surat, hantar surat,dan hampir semua hal perlu diketahui....alahai...

Berbalik pada cerita hantar student tadi, sedang elok je kami sampai di Komplek Pasir Gudang jam 9.00 malam. ternampak Suzana yang bekerja dengan koperasi PJB. Nampaknya sedang berhubung dengan seseorang menerusi teefon bimbit. Pergilah menegur dia,rupanya dia datang berdua dengan Lin, hantar Raja Rostam, pelajar kelasku. La....ingatkan si Raja ni dah sampai kampung, rupanya baru nak balik!!!!! al-kisahnya dia tertinggal bas!! Janji pagi Khamis pukul 7 tunggu kat parking depan poli, dia santak tertidur rupanya. Muka dah sedih x nak balik asrama, dengan bawak beg2 beso sampai 3  buah beg, buat le muka ala2 kesian...hish Raja ni......

Nasib baiklah Su ngan Lin nak tolong carikan tiket baru. Memang rezeki dialah nak dapat tiket untuk balik beraya. Kalau tak oh Raja........alahai....ko duduklah berhari raya di Pasir Gudang....maunya mak ayah dia datang ambik dia kat sini.....Raja...Raja...

Wednesday, August 18, 2010

Mengapa manusia makin hilang pertimbangan?

Hati bagai rasa disiat-siat, rasa tersayat melihat berita yang terpapar di dada-dada akhbar akhir-akhir ini. Marah, geram, benci, sedih, semuanya bergaul dan sukar diluahkan dengan kata-kata. Hati meronta-ronta inginkan kehadiran seorang lagi cahaya mata untuk menyerikan hidup berkeluarga tetapi apakan daya, sedikit halangan menyebabkan hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Bila melihat sekujur tubuh kecil yang tidak bermaya dan tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman ibu dan bapanya, meluap-luap rasa marah di dada. Bayangkanlah, kalau pasangan yang bermasalah mendapatkan zuriat akan berusaha sehabis daya untuk mendapatkan cahayamata, di satu sisi ada  manusia yang tergamak dan yang sanggup membuang anak yang dikandung dengan penuh pancaroba!!!!...Apa dah jadi pada dunia??????

Nampaknya manusia-manusia sudah hilang nilai moral dalam kehidupannya. Rasa kasih dan sayang serta belas ehsan telah terkikis dari jiwa manusia. Mana mungkin seorang ibu yang melahirkan anak dari hubungan yang sah dan halal di sisi agama akan sanggup menyingkirkan zuriat yang menjadi pengikat kasih sayang. Mungkinkah tubuh-tubuh kecil yang tidak berdosa ini adalah hasil daripada hubungan yang terlarang???? Masuk akal juga segala telahan dan anggapan masyarakat terhadap isu yang kian membimbangkan ini. Sebagai manusia yang dikurniakan hati yang dipandu oleh akal fikiran yang waras, tidakkah terbit perasaan sayu apabila melihat tubuh tubuh kecil yang masih bertali pusat ditinggalkan di tepi longkang, di dalam tandas, di hadapan rumah dan sebagainya? Apalah dosanya wahai manusia?????? Tangan ditadahkan memanjat syukur kerana ketika itu mereka jelas masih bernyawa. Bagaimana pula yang dicabut nyawanya tanpa sepalit dosa?? Bayi yang lahir fitrahnya suci, bersih tanpa sebarang dosa dan noda. Sungguh tidak faham sifat manusia bertopengkan hati haiwan durjana. Merasa nikmat melakukan dosa, tapi malu menanggung natijahnya. Hibanya hati melihat batang tubuh dipamkan ke lubang tandas, dibiarkan menjadi mangsa binatang liar, ditanam hidup-hidup malah ada yang berhati binatang sanggup membunuh dan membuang anak-anak ini ke sungai dan sebagainya. Ya Allah......apakah yang sedang berlaku????

Adakah manusia tidak takut dengan hukuman Allah? Hukuman dunia telah dikuatkuasakan namun seolah-olah tidak memberikan apa-apa makna. Apakah ini cara mereka mencabar perundangan negara dan perundangan yang jelas tercatat dalam Al-Quran? Setelah melakukan dosa, mereka menambah lagi dosa. Entah berapa ramai yang melakukan zina, menggugurkan anak, cuba membunuh anak yang dilahirkan, statistik yanga da mungkin bagi kes-kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa sahaja. bagaimana dengan kes-kes yang disembunyikan? MasyaAllah..Di manakah silapnya? adakah anak-anak muda hari ini terlalu cetek pengetahuan dan didikan agamanya? Atau adakah kerana terlalu taksub beragama sehingga terpesong akidah dan pemikirannya? Sukar benar hendak ditafsirkan bagi individu seperti penulis yang juga bukanlah ahli dalam bidang agama. namun sekurang-kurangnya sebagai manusia yang berakal, mendapat pendidikan agama, halal dan haram tahu dibeza, betul  atau salah boleh diletak di dua tempat yang berbeza. Adakah hanya pesalah yang bersalah? Adakah ibu bapa juga bersalah? Adakah rakan sebaya juga memberi pengaruh atau masyarakat juga bertanggungjawab? .....Cukup merasa gerun dengan fenomena hari ini memandangkan kita juga punya anak-anak yang mula menjengah alam kanak-kanak, akan menjadi remaja dan dewasa. Bagaimana hendak menangani isu ini apabila ditanya.....susah.......susah...

Kalau kita lihat hari ini, terlalu banyak sumber yang boleh mendedah serta menjerumuskan remaja dengan dosa dan zina. Internet tempat menjalin cinta. Mana boleh jauh, mesti nak jumpa. Bila nak jumpa? tetapkan lokasinya dimana. Night clublah paling havock, berjoget, bergoyang lupa dunia. Arak menjadi perkara biasa, bertepuk tampar lelaki dan wanita menandakan mesra, bergesel pipi menunjukkan hormat dan sayang, berpeluk pinggang menunjukkan eratnya hubungan, belum lagi berkucupan di khalayak ramai. Rasa malu makin menipis, pusat terkeluar mata pun tak bertapis. Di sana tersembul di sini terjojol. Bonggol melentik dipuji berbakul-bakul. Khayal dek kerana dadah adalah syurga dunia. Rempit dah bohsia boleh bertaruh suka-suka. Gua menang , itu " ayam" gua yang punya, kata mereka. Wanita makin seronok dibelai dan dimanja, ditabur kemewahan dan wang dah gelap mata. Mamat Afrika pun boleh aje. Yang penting seronok hidupnya ditaja. tak payah kerja pun dah macam orang kaya. Akhirnya dek kerana dah termakan budi, rela pulak tergadai body. "Ada aku kisah? yang penting happy!". Tup-tup sebulan dua benih pun jadi, apa nak buat ni? Jumpa mak bidan kandungan digugurkan. Boyfriend pulak lepas tangan. Mak bapak malu tak payah nak kata. Mulalah episod jadi buangan.Jadilah golongan anak derhaka yang tak mencium bau syurga. Takut digugurkan, tak pelah teruskan aje. Dah lahir boleh tinggal merata-rata. Bungkus-bungkus sikit, letak saja di mana suka. Boleh buang sana sini. Terang-terangan hatinya dah mati. Apalah nak jadi dunia hari ini?????????????.

Tanda-tanda akhir zaman makin jelas di hadapan kita. Sama ada kita sedar atau tidak, itu janji Allah bahawa akhir zaman adalah benar....Al-Quran adalah benar.....Apabila homoseksual berleluasa, zina di mana-mana, anak tidak menghormati ibu bapa, Al-Quran dijadikan barangan dagangan, fikrah sesat 72 banyaknya, dunia dijadikan barang yang diburu, muslimin disiksa dan dihina oleh tangan-tangan kafir durjana, manusia hilang malunya, ibu bapa dijadikan kuli atau sudah tidak lagi dipeduli. Ini hanya sebahagian daripada tanda-tanda yang berada di sekeliling kita hari ini. Belum lagi tregedi dan bencana yang lain menimpa. Sekelip mata seandainya dikatakan Jadi, maka jadilah ia.......adakah kita bersedia?

Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang maha mendengar rintihan hambanya...Ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Allah. Jauhkanlah kami dan keluarga kami dari bala bencana dan azabMu Ya Allah. Jauhkanlah kami dari godaan syaitan durjana Ya Allah. Lindungilah kami di bawah rahmat dan kasih sayangMu Ya Allah. Kau bukakanlah pintu-pintu hati kami dan hambamu yang terlalu leka, alpa dan berdosa untuk menuju jalanMu Ya Allah. Kau rahmatilah perjalanan kami. Kau Tetapkanlah iman kami. Janganlah kau palingkan hati-hati kami setelah kau kurniakan hidayahMu Ya Allah. Sesungguhnya kaulah yang Maha Mendengar rintihan hambamu....

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan menggamit lagi...

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana diberi peluang bertemu Ramadhan 1431 tahun ini. Dalam meniti hari-hari Ramadhan ini, kumohon kekuatan iman, ketetapan akidah, perlindungan, pengharapan dan hidayah Yang Esa agar dapat menjadi hamba yang baik, lebih baik dari sebelumnya. Bulan yang penuh berkat ini Allah janjikan pelbagai ganjaran, pengampunan yang seluas-luasnya, rahmat sebesar-besarnya kepada hambaNya yang bertakwa. Syaaban yang berlalu dirindui, Ramadhan yang ditempuhi adalah perjuangan, Syawal yang menanti adalah hadiah kemenangan.

Indahnya berpuasa bila berkeluarga. Telatah dan keletah anak-anak yang baru belajar berpuasa kadang-kadang melelahkan, kadang-kadang menyakitkan hati dan kadang-kadang nak marah pun tak jadi. Masa kecik-kecik dulu, sendiri pun lupa sejak bila belajar berpuasa tapi bila dah ada anak sendiri, hasrat mengajar anak berpuasa seawal mungkin memang tinggi.Macam-macam kaedah kena guna nak tarik perhatian anak untuk berpuasa. Janjikan ganjaran paling power punya tarikan....kalian setuju tak???

Suasana berpuasa di bandar memang berbeza. Tak sama macam di kampung. Nak balik kampung alang-alang pula rasanya kerana cuti hanya sehari. Sudahnya, menyambut puasa di rumah sendiri. Nak masak banyak pun, bukannya ramai yang makan, membazir pula. Kuih muih pun beli dalam seringgit tak terhabis. Paling seronok, ikut sunnah Rasulullah....bersahur sekadar 2 biji kurma pun alhamdulillah, cukup untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Tapi, sekarang ni bila anak-anak dah mula belajar berpuasa, sahur kenalah juga memasak dan makan dengan anak-anak.....

Hari pertama puasa berjaya dilalui dengan rasa gembira. Cuaca pun redup. Sebelah petang hujan lebat. Tanah yang gersang dan kontang mula basah dan disirami hujan. Penat juga tidak terasa. Budak-budak biasalah, kejap-kejap laparlah, penatlah, banyak alasan yang timbul, maklumlah baru-baru nak belajar....masalahnya, pantang letak kepala, hanyut.....mudah benar melelapkan mata..Tak sabar menunggu hari esok dan hari-hari seterusnya. Semoga hati dan nafsu dapat dikawal sepanjang Ramadhan dan dapat bertemu al-qadr...........

Monday, July 19, 2010

SEMINAR CELIK ISU-ISU CEREBRAL PALSY PART 2

Alhamdulillah....17 Julai (Sabtu) lepas, kami Jawatankuasa Kumpulan Sokongan Ibu bapa Anak-anak CP atau glamornya team kami dipanggil "Team Celik CP" telah berjaya menganjurkan seminar di atas buat kali kedua. Kali pertama bulan Jun yang lepas, success juga. Kali ini adalah kesinambungannya. Nak jadikan cerita, sepatutnya seminar kedua ni difokuskan kepada sesi praktikal atau amali, mcm mana nak buat therapy untuk anak2, mcm mana nak ajar anak-anak duduk dan sebagainya. Oleh kerana banyak permintaan untuk membawakan wakil dari JKM dan KPM, maka kami pun berusaha memenuhi permintaan ibu-ibu dan bapa-bapa yang senasib jugak dengan kami ni. Bukan mereka aje akan dapat manfaatnya, kami pun tompang berkaki-kaki dapat faedah. Makanya..dua minggu terakhir sebelum seminarlah baru kami ni bekerja keras. Al-maklumlah masing-masing bekerja, tinggal pun jauh-jauh, merata-rata, jadi siapa yang sempatlah bekerja. Tak boleh nak kata orang tu orang ni x beri kerjasama sebab kita faham kondisi masing-masing. Yang penting sampai hari event semua dah tahu apa yang perlu dilakukan.

Kali ni kami dapat banyak juga tajaan, Mutiara Motors company pertama bagi tajaan t-shirt dan air mineral. Sedap air mineral Mutiara Motors...rasa macam nak mintak tajaan lagi.hihihihih.........Apollo bagi wafer dan layer cake, IPPJ taja makanan tengahari.Ada hamba Allah yang tak mahu disebutkan namanya pula menyumbang RM1K, alhamdulillah...begitu juga RM1K daripada Ketua MCA Cawangan Gelang Patah. Hari tu semua AJK pakai baju Mutiara Motor kecuali aku sebab x muat.Huhuhuuhu.....yang untung mestilah my suami sebab dia yang muat. Dr Daniel, Pn.Prema pun siap join pakai t-shirt. Seminar yang sempoi, x ada protokol sangat...pakai t-shirt pun jadi...Seminar ketiga, insyaAllah ada lagi hamba Allah yang sudi menaja t-shirt Team Celik CP kami. Masih dalam proses cari saiz dan buat tempahan. Bolehlah kami pakai t-shirt tu nanti......

Bersama Pn.Mida di Mutiara Motors...bukan senang nak sampai sini...
Ini ibu-ibu dan Cik  J/K bersama Mr Ben..semua pakai t-shirt Mutiara. Yang depan sekali tu chip the mission...
Our heroes...
Tn.Hj M.Ashari, Mr Andy. Dr Daniel Gerard dan Mr Ben

Seminar hari tu ada tiga sesi tapi sesi ketiga terpaksa di 'slash' kerana sesi pertama yang sangat hangat dan panazzzz..Rasa terbakar punggung mak bapak. Tak pasal-pasal skrip semua hilang. Jadi bidan terjun pulak mendamaikan yang tegang, yang berkerut, yang tinggi-tinggi suara. Yelah..kita pun faham masalah dengan JKM..Prosedur cantik....tapi pelaksanaan tak seperti dinyatakan. Macam.-macam masalah yang timbul. Yang diterang lain, yang berlaku lain.Memanglah semua jadi hangin. Kesian jugak pada En Wahid bin Jemiran, wakil Bhg.Pembangunan OKU. Dahlah dia sendiri OKU, kena serang dengan mak bapak OKU lagi....berpeluh rasanya beliau hari itu. Permasalahan yang dinyatakan adalah berdasarkan pengalaman. Aku sendiri pernah ada pengalaman menyakitkan. Kata ada sesi soalsiasat tapi, tengok gaji lebih dah reject...siapa tak hangin kan....apa2 pun selepas ni kalau ada apa2 masalah memang En Wahidlah yang akan jadi sasaran.Hmmmm.........

Apa yang ibu bapa tak puas hati bila anak2 yang dikategorikan kronik atau terlantar ialah anak2 CP yang tak dapat menguruskan diri sendiri dan perlu dibantu sepanjang masa. Nak dapatkan bantuan tu kelayakan pendapatan isi rumah termasuk kalau ada anak-anak yang dah kerja dan tinggal bersama mesti tak lebih 3 ribu. Logik ke?? dengan kos hidup yang semakin meningkat..macam-macam tanggungan lain, so usul dberikan supaya had pendapatan dinaikkan kepada RM8 ribu dan hanya terhad kepada pendapatan ibu bapa. Bantuan tersebut adalah untuk pengurusan anak-anak...kalau nak hantar pergi fisio ke...mana2 ke....Nak harap hospital kerajaan je, patient ramai....itupun x boleh pertimbang. Tapi  tiba2 dia kata boleh dipertimbangkan melalui siasatan ke rumah. Aikk??? hari tu masa mohon langsung x ada sebut soal boleh dipertimbangkan. Macam mana tu??????...tu yang geram tu........

Tn Hj Abd Rahman pulak dah tersengih je bila tengok En Wahid kena serang.Agaknya puas dia berfikir apa tangkisan nak diberikan bila tiba sesinya nanti. Memang he is very smart....apa yang ada dalam fikiran ibu bapa seolah-olah telah dapat dibaca oleh Tn Hj dan semuanya telah di'cover' dalam sesi penerangan beliau. Tak ada can parent nak panas punggung.....apa pun, maklumat yang diberikan sangat berguna. Memang ada banyak usul yang dikemukakan. Mudah2an dapat dikumpul dan akan dijadikan resolusi untuk diserahkan kepada pihak-pihak yang berkaitan selepas ini. Akhirnya sesi seminar berakhir pukul 2 petang..hampir 2.30 actually. Walaupun seminar berjaya tapi aku yakin, masih terselit perasaan kurang puas hati. Kalaulah kami dapat jemput individu yang berjawatan dan dapat membuat keputusan, alangkah bahagianya hidup.....

Apa2 pun, alhamdulillah semuanya telah berakhir. Cuma harapan agar team ini dapat diorganisasikan dengan lebih sistematik dan dapat menjadi wakil suara-suara ibu bapa yang mempunyai anak2 istimewa...kita fight untuk mereka, untuk kemudahan mereka, untuk hak mereka, bukan untuk kepentingan ibu bapa..........di bawah sedikit suasana semasa seminar. Nanti gambar dah siap, akan diupload lagi.....

            

                           


Ada rezeki, dipanjangkan usia dan kesempatan, bertemu lagi di seminar ketiga nanti...............


Thursday, June 24, 2010

Syukur Alhamdulillah....

Mungkin sedikit sahaja entri kali ini. Ingin meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kurnia yang datang dari arah yang tidak disangka-sangka ini. Setiap perjalanan yang berliku itu pasti ada cahaya terang yang menjadi penyuluh dan penerang pada suatu detik yang telah ditentukanNya. Biarpun ada dugaan yang ditempuhi, titisan air mata yang jatuh dalam menjalani hari-hari, siapa kita untuk mengetahui Qada' dan Qadar yang telah tertulis buat kita. Doa dipanjatkan agar diri ini tidak lupa diri, dan akan terus menjadi aku yang dulu dan dapat meneruskan perjuangan yang masih belum selesai. Segulung penghargaan buat suami yang sentiasa berdiri teguh di belakang, sentiasa membantu dalam mencapai cita-cita, dan sanggup berkorban menjaga anak-anak bila diriku tiada di rumah..Sesungguhnya segalanya adalah ketentuan yang  diterima dengan penuh syukur.......


Titisan air mata yang gugur
Bukan kerana derita, bukan kerana sengsara
Kerana kasih yang tercurah
Kerana nikmat yang terbentang
Kerana cinta yang terhampar...

Jauh di sudut hati ini
Aku masih seperti dulu
Terus mengharap yang terbaik
Akan terus ada sinar yang terang
Akan terus ada pelangi yang indah
Akan muncul cahaya yang menyuluh jalan yang kelam
Kerana aku seorang hambaNya
Lemah, leka dan sering alpa dengan dunia
Perlu dahan untuk berpaut
Perlu pohon untuk berteduh
Perlu akar untuk bersandar....

KepadaMu Tuhan aku menadah tangan bersyukur
Kau bukakan jalan dan hadiahiku pelangi yang indah
Jangan kau pesongkan hati hambaMu ini
Kau lindungilah hamba kerdil ini
Terus istiqomah dan tetap di jalanmu
Demi satu perjuangan dan pengharapan.........

Friday, June 18, 2010

Coretan sepanjang Program Aku dan Perpustakaan...

Cuti sekolah hampir berakhir. Isnin depan, masing-masing dah mula nak menggalas beg sekolah semula. Terasa cepat betul masa berlalu. Minggu pertama cuti memang dihabiskan di rumah pengasuh sementelah aku yang masih bekerja. Minggu kedua cuti, kepalaku ligat berfikir aktiviti apa nak diberikan kepada anak-anak. Kebetulan pula mataku tertancap pada notis makluman aktiviti yang dirancang Perpustakaan dengan kerjasama Puspanita di jabatan. Hmmm....boleh juga ni, ada pertandingan ABC (puzzle), ada suka-suka warna, reading competition, pakaian beragam, sesi ibuku bercerita, boleh main congkak dan macam-macam lagi.......

Maka, bermula penglibatan anak-anak dalam program tersebut. Walaupun kadang-kadang maknya yang terlebih excited, terlebih pening dengan kerenah anak-anak, tapi akhirnya puas sebab anak-anak dapat bersosial, mak-mak pun begitu jugak. Lepaslah tekanan dok bekerja di pejabat.....Jadi bawaklah anak-anak pergi mendengar Pn.Mumtaz Begum, Pengerusi Puspanita bercerita. Sofiyah suka, siap menyanyi-nyanyi lagu-lagu yang diajar di tadika. Tak percaya? Tengok gambar ni...cuma tak boleh dengarlah kan....bukannya video...hehehehe
Seekor labah-labah cuba panjat perigi....bila hujan turun, labah cepat lari..terbit matahari, air tiada lagi, labah cuba panjat sekali lagi.....

Habis je sesi bercerita, beralihlah ke aktiviti mewarna pulak. Sofiyah dapatlah jugak 2-3 yang diwarnakan walaupun kurang sempurna. Biasalah.budak baru nak masuk 5 tahun mewarna...Si abang??? hmm...penatlah, kertas warna tu besar sangatlah....sudahnya, sehelai A4 pun tak sempat nak siapkan. nasib baiklah suka-suka warna aje.....
           

 
            Hasil kerja tangan Amira Sofiyah....

Dah penat mewarna, elok pulak kat satu ruangan lain ada congkak. Bukan anak-anak je yang seronok...mak anak pun join the corum. Yang kureng bestnya, main dengan anak, maknya aje yang asyik kalah...huhuhuhu...

  


                                       

Keesokan harinya, masuk plak pertandingan ABC (cantum-cantum puzzle). Kategori terbuka. Masa diberi 20 minit...Apa yang jadi selepas 20 minit agaknya?

Ini hasil Amirul Rahimi...
Yang ini Amira Sofiyah punya.....
Rafhana Addini Ahmad Remy...berjaya selesaikan dalam masa 13 minit...
Almas Ajria Ahmad Remy...dapat selesaikan dalam masa 16 minit. Fuhhh....terer betul si kecik ni...

Hari Khamis pulak Rahimi masuk reading competition. Pesaing utamanya mestilah Ana Widyan Wahyuni, siapa lagi..Kalau berdua dah macam belangkas!. nasib baiklah budak-budak.......Keputusannya?.......
Inilah juaranya......

Rahimi pemenang tempat ketiga....tak apa... yang penting berani dan boleh cuba lagi.....

Acara paling mengujakan??? Tentulah pakaian beragam....macam-macam gaya ada. Mari kita saksikan macam-macam jenis pakaian yang ada..............
Ini cinderella...
Ini Hang Jebat pemalu...
Pinocchio...
Bawang putih bawang merah pun ada...
Si pari-pari dari Andalusia..
Yang ni pulak para-para syurga...
Rapunzel.....kreatif, tudung pun jadi....
Nenek kebayan sang juara...
Puteri Santubong.....puteri sejinjang..penjaga gunung negeri Sarawak..
Puteri gunung Ledang..
Puteri Salji...
Aladdin dan Shah Jahan.....

Seronok tengok ragam anak-anak. Sayangnya.....tak ramai anak staf yang terlibat. Kalau ramai alangkah meriahnya.....Macam-macam aktiviti dan pertandingan yang dijalankan memang dapat mengisi masa lapang anak-anak di samping menambahkan pengetahuan serta meningkatkan kemahiran bersosialisasi. Semoga usaha ini menjadi usaha yang mendapat perhatian dan penglibatan lebih ramai peserta dan staf pada masa-masa akan datang.....Marilah kita menyokong program yang bermanfaat sebegini. Ada sesuatu yang ingin dikongsikan lagi tapi yang itu kena tunggu..............................................Sebelum itu, marilah kita saksikan ragam-ragam sepanjang program tersebut...