Followers

Sunday, September 27, 2009

Aidilfitri 2009

Lama rasanya tidak menulis sebarang entri di dalam blog ini. Maklumlah, dekat-dekat nak raya, macam-macam agenda lain yang menjadi fokus. Betapa kita ini acap kali leka dan terlupa. Kehangatan aidilfitri seakan mengikis momentum Ramadhan yang belum pun menyembunyikan diri.


Alhamdulillah aku masih diberi kesempatan melalui Ramadhan Al-Mubarak tahun ini dan menyambut Aidilfitri bersama insan-insan tersayang.


Pulang ke kampung sehari sebelum Aidilfitri. Melalui lebuhraya E22 yang baru sahaja dibuka dan tidak dikenakan bayaran tol selama sebulan. Agak sunyi namun dapat lari daripada kesesakan jalan raya.


Usai bermaafan di pagi Aidlfitri, berbondong-bondong ke kedai foto untuk mengambil gambar keluarga.






Bertemakan warna ungu bagi raya 2009.




Hari kedua di rumah sendiri. Alhamdulillah, dapatlah mengunjungi rumah saudara mara setelah tahun lepas tidak beraya ke mana.Anak-anak pula seronok berjumpa sepupu-sepupu dan bermain bunga api tatkala bulan memunculkan diri.


Bermain bunga api...seperti kenangan zaman kanak-kanakku...



Seronok...





Hari berikutnya anak-anakku mendapat inspirasi baru. Duduk memancing di kolam milik abah. Dapat juga hasilnya. Inilah pelapisku.hahahaha.........
Di kolam ikan sebelah rumah. Dua hari berturut-turut anak-anakku ketagih memancing. Haru..........
Akhirnya pulang ke rumah kerana cuti hampir tamat. Mula menyiapkan diri untuk kembali bekerja sebagai sumber manusia yang berperanan menjalankan tugas yang diamanahkan. Semoga terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai....

Friday, September 18, 2009

Kerja 'last minute'

Hmmm....bila melihat kepada tajuk di atas, teringat kepada salah satu tajuk pengajaran iaitu pengurusan masa. Seringkali sebagai pendidik, kita mengingatkan pelajar supaya pandai menguruskan masa sendiri. Kenapa? Kerana setiap manusia mempunyai 24 jam yang sama, tiada lebih atau kurang barang sesaat pun. Justeru, terletak di tangan kita bagaimana pengurusan masa itu perlu dilakukan. Sayangnya, kadang-kadang kita sendiri gagal mengurus masa dengan baik, sama ada kita sedar mahupun tidak, tepuk dada, minda akan berkata-kata.
Semalam (Khamis), aku ambil cuti perjalanan rasmi. Tak larat rasanya hendak bekerja. Al-maklumlah, pagi itu, hampir pukul 2 pagi baru tiba di rumah kerana membuat rawatan susulan anak di HKL. Keluar dari HKL pukul 5.30 petang, sudah pastinya tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Jam 7.30 malam baru berjaya melepasi tol Sungai Besi. Akibatnya, berbuka di dalam kereta. Apa lagi..pandu lalulah menjadi sasaran. Cepat dan mudah. hilanglah diet hari itu.hihihihihi....Ada aku kisah??
Sementelah bercuti, aku mengambil kesempatan menjahit langsir baby sitter anak-anakku. Merancang nak buat biskut cornflakes. Telah berjanji pada diri sendiri untuk cuba juga membuatnya kerana aku memang tak pernah buat kuih. Semuanya mengharapkan emak, long ataupun beli sahaja di kedai dan rakan-rakan. Hendak beli oven semata-mata kerana nak buat biskut semudah itu, ak patut.....jadi, pinjam sahaja oven rakan sepejabat. Siang menjahit, malam bersama askar-askar pula di dapur. Alhamdulillah, berjaya walaupun mungkin tak sehebat insan lain yang sememangnya dah pakar membuat kuih dan biskut raya.
Cuma...husband membebel jugalah. Mana tidaknya, dah dekat-dekat beginilah sibuk nak buat itu ini. Namun aku hanya mampu menghadiahinya dengan senyuman. Beginilah aku yang dia kenal dulu pun... Sering buat kerja last minute. Terimalah seadanya perbezaan pasangan hidup kita....Apa pun, apa yang dirancangkan berjalan dengan baik walaupun natijahnya tetap ada. Badan terasa letih, tambahan pula dengan ragam anak kecil yang asyik merengek dek kerana kembung. Sesekali tu sebagai manusia, terbit juga rasa tension tapi..ubatnya senang sahaja. Layan anak yang merengek, letak di atas lengan...tepuk-tepuk sikit dan................ZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZ. kan senang!!!!!!!!
Hari ini perancangan diteruskan dengan agenda last minute juga. Nak siapkan baju raya. Ngah dah bersalin,mana mungkin dia nak menjahit...nak taknak, baju yang dia dah siap potong-potong, pandai-pandailah kena menjahit sendiri. Sayang pula kalau tak disiapkan. Bukan sekadar baju raya, malah boleh dijadikan baju pergi bekerja. Lagipun, bukankah sunnah memakai pakaian serba baru di pagi raya?. Justeru, agenda petang ini adalah menyiapkan kain.Hahahaha...siap ke??...ntahlah.....
Ramadhan berlalu ditangisi
Aidilfitri menggamit disyukuri
Salah silap mohon dimaafi
Hari raya tambah berseri
Anak-anak gembira bersuka
Ibu bapa menumpang tawa
Bulan mulia jalin ikatan mesra
Ukhwah terbina keluarga sejahtera.
Lakukan kerja terancang perlunya
kelam kabut menyisih hiba
Demi masa rugilah kita
Andai waktu bisa diputar semula
Kenangan itu tetap bersisa
Esok yang belum pasti tersusun rencana
Di sinilah kita terus merancang dan bertindak bila tiba waktunya...
Salam Aidilfitri buat semua............

Thursday, September 10, 2009

Hadiah dariNya

Hari ini hati seorang ibu menangis
Kelopak mata dipenuhi titisan mutiara putih
Peluk cium rasa penuh kasih
Damba cinta tiada rasa ingin disisih
Hadiah dariNya ibarat kain putih suci bersih
Siapalah aku menidakkan kasih


Hari ini hati seorang ibu berduka
Hadiah dariNya tidak sempurna
Namun dia tetap istimewa
Menyemai cinta membuang lara
Hadiah dariNya menjentik kekuatan di jiwa
Ingat janji yang pasti dariNya
Insan terpilih diuji diduga
Penghapus dosa di alam maya


Hari ini hati seorang ibu makin kental
Hadiah dariNya bukanlah suatu beban
Meski berbeza paras dan kemampuan
Hadiah terindah menyuntik perjuangan
Demimu sayang relalah berkorban
Hadiah dariNya perlukan cinta dan sayang
Dibelai dimanja sepenuh perhatian.


Hari ini hati seorang ibu memanjat syukur
Hadiah dariNya tetap di sisi
Walau hebat sang hati diuji
Hati seorang ibu teguh berdiri
Demimu sayang kuredah bara api
Demimu sayang ku tempuh onak berduri
Demimu sayang kami kan tetap di sisi
Mencari penawar takkan berhenti
Hadiah dariNya pengubat jiwa nan sepi


Hari ini hati seorang ibu terus berharap
Muncul sinar yang menerangi lowongan kehidupan
Hadiah dariNya penguat semangat
Hadiah terindah hadiah istimewa
Hadiah dariNya yang maha Esa
Menyemai kasih menyulam bahagia
Demimu anakanda penghibur duka lara
Selagi hayat terkandung nyawa
Hati seorang ibu pasti tetap merasa bahagia.

Tuesday, September 8, 2009

TERAPI SOLAT

SUMBER:
Oleh Ziauddin Sharuddinmailto:Sharuddinzia@bharian.com.my

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia. SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir. Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok. Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot. Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan. Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat. SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.
Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.
Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang. Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu. Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.
“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya. Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

Oleh Ziauddin Sharuddinmailto:Sharuddinzia@bharian.com.my

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains. HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.
Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. “Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.
Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat. Ng Siew Chok - Isyarat Otak Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. “Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah. “Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. “Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya. Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah. Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang.
Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. “Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang.

Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya. Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya. Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. “Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
Penulis: Semoga kita mendapat hikmah dan nikmat daripada perintah yang diturunkan kepada kita sebagai insan-insan yang mendapat lindungan dan kasih sayangNya.

Monday, September 7, 2009

Hari yang gembira

Semalam adalah hari yang cukup indah buatku. Benar kata orang, kita akan berasa gembira sekiranya kita melakukan sesuatu yang kita suka. Aku akui itu benar-benar kenyataan yang cukup tepat untuk dinyatakan waktu ini. Mana tidaknya, pengorbanan suami menjaga ketiga-tiga anak di rumah, sedang aku berjuang menyampaikan sedikit ilmu kurniaan Allah kepada insan-insan yang mendambakan ilmu. Aku bukanlah insan yang sempurna, apatah lagi menandingi kehebatan insan-insan di luar yang lebih hebat, namun apa yang ada cuba kucurahkan sehabis mampu untuk memberi peluang kepada insan lain.
Dari pagi hingga ke petang aku berkampung di Dewan Kuliah Utama sebagai trainer untuk Kursus Bahasa Isyarat yang dianjurkan oleh Kelab Rakan Muda Masjid. Langsung tak terasa penat sewaktu mengendalikan kursus kerana perasaan gembira menguasai ruang jiwa. Apa tidaknya, sambutan begitu menggalakkan, alhamdulillah. Hampir 100 orang pelajar bersama-sama untuk mempelajari teknik-teknik berkomunikasi dengan golongan pekak. Aku hargai usaha dua orang pelajar iaitu Anis dan Syifa yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjayakan kursus tersebut. Mula-mula aku hanya minta buat 3 jam sahaja walaupun aku tahu memang tak cukup, saja nak tengok penasihat depa setuju ke tidak. Rupanya....Ustaz Senusi kata mana cukup!!!!! Jadi, tidak menjadi masalah buatku untuk mengendalikannya selama satu hari.
Aku tertunggu-tunggu juga mana tahu kalaulah ada staf-staf yang ingin bersama-sama namun seperti biasa......mungkin mereka ada komitmen lain yang lebih penting. Cuma ada sedikit perkara yang membuatkan aku kurang puas hati, iaitu penghasilan video bahasa isyarat yang dihasilkan. Dek kerana aku bukanlah orang yang mahir dalam proses editing, jadi video yang terhasil tidaklah sehebat mana, namun alhamdulillah...masih sangat membantu. Aku merancang hendak meminta pertolongan rakan-rakan di UiDM untuk membuat proses editing dan menghasilkan video yang lebih sempurna agar boleh digunakan pada masa akan datang.
Kepada rakan-rakan di UIDM, En.Din dan En. Salim, mohon membantu hamba yang masih dalam proses belajar ini. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong jolokkan. Eh.....tunjukkan....semoga usaha kita yang sedikit ini mendapat keberkatan lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barakah ini. Kepada para peserta kursus, apa yang diperolehi diharap dapat diimplimentasikan tatkala berbual dengan pelajar pekak tanpa rasa takut atau malu. Mereka juga insan biasa, mereka masih memerlukan teman untuk berbicara, rakan untuk bersandarkan harapan serta sahabat yang boleh berkongsi perasaan dalam menjalani kehidupan. Mereka tidak ingin hidup bersendirian kerana mereka juga punya hati dan keinginan.
Lakukan segala tugas dan ibadah dengan keikhlasan. Keikhlasan adalah anugerah yang Allah campakkan ke dalam hati-hati manusia, justeru kita manusia usah mempertikai dan mempersoalkan keikhlasan insan lain. Apa yang penting, laksanakan apa yang kita ingin lakukan dengan penuh gembira. InsyaAllah hati akan menjadi tenang. Tetapkan niat dan rela berkorban, pasti kita akan terus dilimpahi kebahagian, Amin.......