Followers

Monday, September 7, 2009

Hari yang gembira

Semalam adalah hari yang cukup indah buatku. Benar kata orang, kita akan berasa gembira sekiranya kita melakukan sesuatu yang kita suka. Aku akui itu benar-benar kenyataan yang cukup tepat untuk dinyatakan waktu ini. Mana tidaknya, pengorbanan suami menjaga ketiga-tiga anak di rumah, sedang aku berjuang menyampaikan sedikit ilmu kurniaan Allah kepada insan-insan yang mendambakan ilmu. Aku bukanlah insan yang sempurna, apatah lagi menandingi kehebatan insan-insan di luar yang lebih hebat, namun apa yang ada cuba kucurahkan sehabis mampu untuk memberi peluang kepada insan lain.
Dari pagi hingga ke petang aku berkampung di Dewan Kuliah Utama sebagai trainer untuk Kursus Bahasa Isyarat yang dianjurkan oleh Kelab Rakan Muda Masjid. Langsung tak terasa penat sewaktu mengendalikan kursus kerana perasaan gembira menguasai ruang jiwa. Apa tidaknya, sambutan begitu menggalakkan, alhamdulillah. Hampir 100 orang pelajar bersama-sama untuk mempelajari teknik-teknik berkomunikasi dengan golongan pekak. Aku hargai usaha dua orang pelajar iaitu Anis dan Syifa yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjayakan kursus tersebut. Mula-mula aku hanya minta buat 3 jam sahaja walaupun aku tahu memang tak cukup, saja nak tengok penasihat depa setuju ke tidak. Rupanya....Ustaz Senusi kata mana cukup!!!!! Jadi, tidak menjadi masalah buatku untuk mengendalikannya selama satu hari.
Aku tertunggu-tunggu juga mana tahu kalaulah ada staf-staf yang ingin bersama-sama namun seperti biasa......mungkin mereka ada komitmen lain yang lebih penting. Cuma ada sedikit perkara yang membuatkan aku kurang puas hati, iaitu penghasilan video bahasa isyarat yang dihasilkan. Dek kerana aku bukanlah orang yang mahir dalam proses editing, jadi video yang terhasil tidaklah sehebat mana, namun alhamdulillah...masih sangat membantu. Aku merancang hendak meminta pertolongan rakan-rakan di UiDM untuk membuat proses editing dan menghasilkan video yang lebih sempurna agar boleh digunakan pada masa akan datang.
Kepada rakan-rakan di UIDM, En.Din dan En. Salim, mohon membantu hamba yang masih dalam proses belajar ini. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong jolokkan. Eh.....tunjukkan....semoga usaha kita yang sedikit ini mendapat keberkatan lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barakah ini. Kepada para peserta kursus, apa yang diperolehi diharap dapat diimplimentasikan tatkala berbual dengan pelajar pekak tanpa rasa takut atau malu. Mereka juga insan biasa, mereka masih memerlukan teman untuk berbicara, rakan untuk bersandarkan harapan serta sahabat yang boleh berkongsi perasaan dalam menjalani kehidupan. Mereka tidak ingin hidup bersendirian kerana mereka juga punya hati dan keinginan.
Lakukan segala tugas dan ibadah dengan keikhlasan. Keikhlasan adalah anugerah yang Allah campakkan ke dalam hati-hati manusia, justeru kita manusia usah mempertikai dan mempersoalkan keikhlasan insan lain. Apa yang penting, laksanakan apa yang kita ingin lakukan dengan penuh gembira. InsyaAllah hati akan menjadi tenang. Tetapkan niat dan rela berkorban, pasti kita akan terus dilimpahi kebahagian, Amin.......

No comments:

Post a Comment