Followers

Sunday, November 25, 2012

Baru tahu................

Assalamualaikum, salam sejahtera buat semua yang membaca entri saya kali ini.

Alhamdulillah....dapat juga akhirnya saya menulis selepas 10 hari tidak dapat menulis bait-bait kata yang panjang lebar di dalam laptop kesayangan saya ini. Hendak meneruskan penulisan wajib pun tidak mampu, inikan pula mahu menulis karya kreatif. Tidak terdaya rasanya hendak mengadap muka laptop kesayangan. Anak-anak pula sangatlah suka hati sebab dapat guna laptop mama walaupun mama dah korbankan laptop lama untuk kegunaan mereka. Mama dah kata, ini laptop kerja mama tapi biasalah budak-budak, tengok mama tak duduk menghadap laptop, mereka pun tolong gantikan tempat mama diorang....anak-anak bertuah!!

Alhamdulillah, hari ke sepuluh saya sudah mula rasa segar. Masih tidak mahu ke klinik, kalau boleh tak mahu makan ubat doktor. Sesekali demam, batuk,selesema memang menguji kekuatan fizikal dan mental. Agaknya tubuh dah terlalu penat dengan rutin yang padat, lebih-lebih lagi apabila setiap minggu perlu berulang alik ke Batu Pahat, 3 kali seminggu untuk rawatan alternatif Haziq. Memanglah tak jauh mana tapi sesi rawatan yang semakin bertambah waktunya mungkin penyumbang kepada kesihatan tubuh yang kian merosot. Perjalanan pergi dan balik sudah hampir 4 jam, sesi rawatan 3 jam, waktu menunggu 1/2 jam, hampir lapan jam sehari dan 24 jam seminggu. Badan pun akhirnya memberi isyarat supaya berehat secukupnya...

Sebelum ni kalau demam, batuk mahupun selsema, biasanya akan diiringi oleh sakit kepala. Berdenyut-denyut. Kali ini pengalaman yang sangat berbeza kerana bukan sakit kepala yang menyerang, sebaliknya pening kepala. Ada beza kan sakit kepala dengan pening kepala? Encik suami pernah kata, biarlah demam asalkan jangan pening sebab memang tak larat nak buat apa pun.  Ha....kali ini bila saya diserang pening, batuk, demam dan selsema, barulah saya tahu penangan pening tu macam mana rasanya, nikmat sungguh!!! Sehinggakan saya terbaring hampir sepanjang masa! Digagahkan juga keluar ke taman mengeluarkan peluh tapi akhirnya terbaring juga! Buka mata nak bangun, rasa nak tumbang semula. Hurix, panadol soluble, vitamin C, semuanya sudah jadi santapan sang anak tekak tetapi masih juga tak larat nak buka mata. Hanya dua hari mampu makan nasi, itupun dipaksa-paksa. Hanya bubur yang selera di tekak selama 10 hari ini, alhamdulillah masih mampu untuk menerima makanan. Tidaklah tubuh terlalu lembik. Sudahnya, terlepas juga beberapa kali sesi rawatan Haziq kerana saya tidak sihat.

Hari ini, setelah 3 biji panadol saya telan, selepas 6 jam panadol soluble pula saya hadap, alhamdulillah saya berjaya menulis entri ini. Sekadar berkongsi kondisi saya selama hampir dua minggu ini dengan ujian kecil yang Allah berikan kepada saya. Alhamdulillah, rasanya semakin segar dan sihat. Mudah-mudahan agar terus sihat kerana nikmat sihat itu subhanallah!!Sangat tinggi nilainya bagi kita untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan kepada kita. Kenalah sentiasa beringat LIMA PERKARA sebelum datangnya LIMA PERKARA.....

Ingat:
Waktu SIHAT sebelum SAKIT
Waktu KAYA sebelum MISKIN
Waktu LAPANG sebelum SEMPIT
Waktu MUDA sebelum TUA
Waktu HIDUP sebelum MATI....

Sebelum datang LIMA PERKARA itu, LIMA PERKARA juga yang mesti kita gunakan dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tergolong dalam insan yang rugi. Apabila datang salah satu daripada LIMA PERKARA itu, banyak benda yang kita tak dapat lakukan. Masa tu dah tak ada gunanya penyesalan. Orang kata, masa sihat inilah masa yang paling berharga dan bernilai untuk kita lakukan kebajikan, justeru buatlah apa yang patut sebelum terlambat. Ingatan untuk diri sendiri yang selalu terlupa..........


Wednesday, November 21, 2012

Ujian kecil..........


Apa saja ujian yang datang sama ada kecil atau besar pasti ada hikmah yang tersembunyi. Tanpa sedar, sihat itu ujian, sakit juga ujian. Kaya itu ujian, miskin apatah lagi. Lapang itu juga tanda diuji apatah lagi sempit itu ujian yang jelas. Muda itu ujian, tua juga ujian dariNya yang ingin menguji kesabaran hambaNya sebagai bukti kasih sayangNya yang tidak berpenghujung.

Redha dengan ujian yang diterima sama ada kecil atau besar akan menambah keimanan di hati dan meningkatkan kepercayaan bahawa di sebalik ujian itu pastinya ada pelangi indah sebagai ganjarannya..............

Tuesday, November 20, 2012

Pergi tak kembali

Sesungguhnya maut yang bakal menjemput kita tidak terawal atau terlewat barang sesaat daripada apa yang telah ditentukannya. Pagi semalam mendapat perkhabaran pemergian bapa saudara terdekat ke rahmatullah kerana sakit tua. Meski dalam keadaan tidak sihat, digagahkan tubuh ini memandu ke Segamat untuk menziarah jenazah Arwah Siwo Man (bapa saudara sulung sebelah abah, abang abah yang tua) kerana kami antara anak saudara yang rapat dengan keluarga Siwo Man.

Sampai di sana jam 11.20 pagi, ketika itu jenazah sedang dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke kubur untuk dikebumikan. Hampa kerana tidak dapat menatap wajah jenazah buat kali terakhir. Hanya kak long dan adik bongsu yang sempat mencium dahi jenazah Siwo.

Apa yang membuatkan hati ini tidak begitu sedih apabila mendengar cerita di saat-saat akhir pemergiannya. Siwo dikatakan seolah-olah sudah tahu masanya hampir tiba. Anak-anaknya sudah disuruh menyiapkan wang untuk membeli kain kafan beberapa jam sebelum pemergiannya. Malah Siwo katakan malaikat maut sudah datang mahu mengambilnya pulang dan meminta bantalnya ditinggikan supaya mudah untuk malaikat maut mencabut nyawanya. Alhamdulillah, pemergiannya cukup mudah. Hilang sedikit gundah di hati.

Hilang seorang teman berbual bagi Siwo Temu (isteri arwah). Bakal keseorangan Siwo Temu kerana penemannya sudah pergi menghadap Sang Pencipta. Pergi yang tak akan kembali. Sayu hati tatkala melihat Siwo Temu yang seolah belum dapat menerima hakikat dan bertanyakan mengapa suaminya tidur dan tidak bangun-bangun? Sedih...namun apakan daya...itu janjiNya. Setiap yang dipinjamkan mesti akan dipulangkan kepada yang berhak.

Alfatihah.... untuk bapa saudaraku Othman bin Maimon yang telah kembali ke rahmatullah jam 5.25 pagi, 19 November 2012........

Al-Fatihah juga untuk adik kesayanganku Mohd Solehen bin Samian yang telah dipanggil bertemuNya pada 10 April 2007......

Semoga kalian ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat syurgaNya.....


Wednesday, November 14, 2012

ke Zoo Johor

Assalamualaikum, salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini....

Sudah hampir dua minggu tanpa sebarang entri. Sebenarnya ada juga yang mahu diceritakan tapi sayangnya gambar yang mahu dimasukkan bersama-sama, hilang dengan hilangnya memori kad telefon bimbit saya. Entahlah, silap sendirilah ni, konon-konon keluarkan sekejap sebelum diuploadkan di dalam blog, toleh sekali lagi, dah hilang........

Mujurlah telefon bimbit encik suami yang rosak masih ada memori kad. Gunalah memori kad itu tetapi ada masalah juga bila mahu upload gambar. Alternatif lain, kenalah guna kamera yang agak lambat gambar-gambarnya diuploadkan kerana saiznya yang agak besar, melebihi 5MB....

Oklah, tutup cerita bab hilang-hilang ni. Kali ni mahu berkongsi pengalaman menggembirakan anak-anak di Zoo Johor. Bukan tak pernah pergi, cuma kali ini membawa Kak Long dan anak-anaknya juga yang bercuti 3 hari 2 malam di rumah kami. Kebetulan suaminya perlu memberikan latihan di Pusat Latihan Bomba Wakaf Tapai, Terengganu, jadi mereka ke JB untuk ambil angin. Kononnya hendak ke Danga Bay pada malam pertama mereka sampai tetapi hujan pula. Info mengatakan semua jalan keluar mengalami kesesakan. Dalam keadaan Kak Long yang mengandung muda, saya tak benarkan mereka keluar sementara mereka saya terpaksa tinggalkan di rumah kerana perlu melalui rutin mingguan untuk terapi Haziq di Batu Pahat.

Keesokannya masa cuti Deepavali, saya pun bawalah mereka ke Zoo Johor. Sukanya anak-anak saudara saya memandangkan mereka memang belum pernah ke mana-mana zoo sebelum ini. Kalau anak-anak saya sudah pernah ke Zoo Johor,Melaka dan Zoo Negara. Jadi, saya bawa mereka untuk melihat pelbagai jenis haiwan di Zoo  Johor.

muka ceria sebelum memulakan penjelajahan

di kelilingi haiwan yang dibiarkan bebas

Jom kita jalan

teringin nak tengok unta katanya....

berbelakangkan si tapir

gelagat anak-anak

jalan dan terus berjalan

nampak tak badak kat belakang tu?

badak air dah masuk berendam...

hensem tak saya?

rehat sebentar

ambil nafas...

nak tengok gajah, tapi gajah pi buat training di Pahang

Melayan anak sulung beria-ia nak naik benda ni ha...

menunggu giliran

dia suka, dia tak tau mama dia kecut perut...

senyum gembira si anak bujang

si bujang tak puas, naik lagi dengan sepupu-sepupunya

bagi can depa dok seronok-seronok

macam-macam gaya

hah...sampai akhirnya

peace....

pose spontan...

muka puas? confuse? blurr?

spontan lagi....

Bila anak-anak dah puas barulah kami keluar. Hampir dua jam juga kami di dalam. Bila keluar, lagi ramai pengunjung padahal matahari semakin tegak di kepala. Perut dah menyanyi, kami pun cari tempat makan. Saya bawa mereka ke Nasi Ambeng BBU..terbaik!!!!! Lepas makan terus balik, semua terus tumbang padahal pergi satu tempat aje. Melayankan mak buyung dan anak-anak.....Cadangnya malam nak ke Danga Bay, tak jadi juga sebab hujan lebat. Sudahnya duduk di rumah ajelah.........

Pagi tadi baru mereka bertolak pulang ke kampung. Sesekali ada orang datang rumah ni memang meriah...seronok rasanya...kalau tak kerana mereka datang, jaranglah anak-anak berjalan. Reward jugalah untuk anak-anak selepas hampir seluruh perhatian dialihkan untuk adik mereka. Hari tu layan mereka berdua puas-puas supaya mereka tidak terasa mereka dipinggirkan....lain kali ada rezeki kita ke Zoo Johor dan main kayuh-kayuh lagi yek....ok da......