Followers

Saturday, March 19, 2011

Pertembungan PJB vs KRKM

Hari ini ditugaskan sebagai sport reporter untuk pelawanan Liga Bola Sepak IPT 2011 bagi pasukan tuan rumah PJB menentang pasukan Pelawat KRKM (Kolej Risda Kampus Melaka). Punyalah kelakar, rentetan kursus dua minggu lepas, hingga ke hari ini kaki tangan saya seolah terikat, tak boleh lari ke mana dah dibuatnya. Hari ini, bukan sahaja menjadi sport reporter, GC (General Coordinator) perlawanan mengarahkan saya untuk menjadi juruhebah perlawanan. Jarang sekali juruhebah perlawanan adalah wanita tetapi bukan lagi mustahil di stadium Pasir Gudang kerana saya telah menjadi pemecah tradisi!. Adakah kerana ketiadaan En Razak yang dah biasa buat kerja-kerja begini sejak tahun lalu maka saya dijadikan pengganti? atau adakah kerana saya sebenarnya dicabar untuk membuktikan kemampuan saya? Saya tidak pasti jawapan apakah yang tepat tetapi saya seronok juga mencabar diri dengan sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Kalaulah saya ni minat bola, alangkah mudahnya tugas ini saya rasakan. Malangnya, saya bukanlah peminat sukan bola sepak tetapi tetapi tugas itu tetap saya laksanakan.

Sedang elok saya sampai di stadium Pasir Gudang, jam tepat menunjukkan angka 4 petang. Perlawanan bermula lagi 45 minit. Saya diberikan penerangan tak sampai 5 minit tentang apa yang perlu saya laksanakan. Saya diberikan dua keping kertas yang mengandungi skrip perlawanan dan senarai pemain. Saya hanya ada masa lebih kurang setengah jam untuk bersedia. Bagi orang yang dah biasa, mungkin mudah tetapi bagi saya yang baru pertama kali terlibat dengan liga bola sepak ini memang agak berdebar, takut dan cemas. Mujur ada skrip...Hampir sebelas tahun di Pasir Gudang, inilah pertama kali saya menjejak Stadium Pasir Gudang. Itupun kerana tuntutan tugas. Sampai-sampai pula, terus duduk di tempat yang paling tinggi iaitu di bilik kawalan (konti) di mana saya dapat melihat keseluruhan perlawanan dengan jelas.

Tugas dimulakan dengan pengenalan pemain, pengadil, GC, koordinator perlawanan serta jurulatih kedua-dua pasukan. Rasanya saya tertinggal menyebut nama ketua jurulatih pasukan lawan. Alamak!!!. Semua pengumuman ini perlu dibuat sebelum bendera FIFA dibawa masuk dan perlawanan dimulakan. Mujur sangat ada seorang staf atau pegawai penjaga stadium yang sentiasa bersama di dalam konti. Banyak juga perkara yang dapat saya pelajari. Bagaimana mencatat pergerakan keluar masuk pemain supaya mudah diumumkan, posisi pemain dan bila masa yang sesuai untuk memulakan pengumuman, semuanya dipandu oleh pegawai tersebut. Maklumlah, saya budak baru belajar........

Mata memang tak boleh nak melilau-lilau. Sepanjang perlawanan saya perlu memberikan perhatian kepada pergerakan pemain di atas padang. Asakan demi asakan dari kedua-dua pasukan menjadikan permainan itu tambah seronok. Apa yang kurang menyeronokkan hanyalah gelagat penonton yang menjerit-jerit dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang sopan. Wajarlah anak-anak di bawah umur tidak dibawa menyaksikan perlawanan sebegini, mau terpengaruh dibuatnya. Mula-mula ingatkan ingin juga anak sulung dibawa bersama tetapi bila telah berada di stadium, barulah saya sedar, mujur sangat tak bawa anak-anak. kalau tidak.....banyak soalan yang perlu saya jawab nanti.

Sepanjang 90 minit perlawanan, nampaknya nasib berpihak kepada pasukan tuan rumah yang mengejutkan pasukan pelawat, KRKM dengan pukulan 3-0. Saya paling suka gol kedua yang dijaringkan oleh George yang bergerak secara solo dan menghasilkan gol yang sangat cantik pada perkiraan saya yang 'buta bola'. Nampaknya PJB mula menunjukkan taring. PJB masih dahagakan gol selepas membelasah Nilai College University pada 12 Mac lalu dengan 6-0. Kemenangan hari ini merupakan amaran kepada pasukan-pasukan lain tentang kemaraan dan isyarat berjaga-jaga dalam pertemuan-pertemuan akan datang.

Perlawanan ini adalah pengalaman pertama saya sebagai wartawan sukan dan juruhebah tidak bertauliah..hihihii...sekurang-kurangnya saya dapat pengalaman ini sebelum saya mencari pengganti secepat mungkin. Rasanya kalau menulis ok lagi bagi saya tetapi kalau nak duduk 90 minit menghadap perlawanan bola............hmmm...saya perlu mencari pengganti kerana ramai lagi pelapis yang perlu dihasilkan kerana saya punya agenda yang lebih penting selepas ini. Tugas sebagai webmaster MSP tetap akan saya teruskan walaupun dalam keadaan cuti belajar. Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan buat sehabis baik. Cuma kalau nak jadi juruhebah sukan bola ni..........hihihihihihihi..fikir dululah......

Monday, March 14, 2011

Malaysia Footwear Design Competition 2011

Khamis lalu saya bertolak ke Shah Alam kerana tugas. Sepatutnya saya bersama-sama menaiki bas Jabatan ke lokasi pengadilan pertandingan ini tetapi disebabkan di sebelah pagi saya mempunyai temujanji bersama jurupulih cara kerja di HSI untuk proses membuat splint kaki Aiman Haziq yang baru, jadi saya terpaksa bergerak pada sebelah petang secara bersendirian. Seperti biasa, bas Transnasional menjadi pilihan pengangkutan utama saya. Kononnya hendak bergerak ke Shah Alam terus tetapi tiket agak lewat, sahlah saya akan sampai lewat malam di sana. Justeru saya mengubah lokasi perjalanan menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan kemudiannya mengambil keputusan untuk menaiki tren sahaja ke Shah Alam.

Perjalanan agak meletihkan kerana jangkaan masa yang kurang tepat. Sampai di KL sedang elok waktu pejabat berlalu maka,penuh sesaklah tren dan akhirnya, jam 8.00 malam saya sampai di Shah Alam. Mujur ada adik di sana tempat saya menumpang tidur. Keesokannya menuju ke lokasi si SHRDC, berdekatan Tesco Shah Alam.

Kasut siapakah yang unik ini? 

Ya.....inilah salah seorang juri pertandingan kasut pada tahun ini yang juga merupakan salah seorang wartawan The Star. Memang unik, bukan sahaja kasut, penampilan keseluruhannya juga unik.....

Inilah sebab mengapa saya berada di pertandingan ini. Ketiga-tiga peserta akhir ini merupakan 3 orang pelajar khas saya iaitu Muzaini, Lukman dan Hafizee. Siapa sangka kebolehan dan idea mereka diiktiraf dan menjadi tumpuan pereka kasut tempatan. Inilah medan untuk mereka membuktikan kemampuan mereka. Mereka adalah antara 6 pelajar politeknik Johor Bahru yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Malaysia Footwear Competition 2011 yang akan diumumkan pemenangnya pada 7 April akan datang.

Rekaan kasut Lukman bin Hassan

Rekaan kasut Muzaini

Rekaan kasut Hafizi bin Abdullah

Bersama Bill Keith dalam usaha 'menguruskan perut"..muahahaha...

Jelas sudah pemilik kasut unik di atas....
Bersama peserta-peserta wanita yang comel-comel dari PJB..

Nak jugak......

Pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia rekaan kasut yang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan industri fesyen. Gabungan kerjasama daripada ramai pembuat kasut dan pereka-pereka terkenal sebenarnya membuka peluang yang sangat besar kepada para peserta untuk menyebarluas jaringan sekiranya bijak direbut. Kalau tidak...pandang sahajalah dan peluang itu bakal terlepas begitu sahaja.

Dalam pada sibuk-sibuk menjadi jurubahasa kepada anak murid sendiri, saya terlihat kelibat seseorang yang merupakan ayah kepada salah seorang peserta perempuan dari poli. "Ayah dia penyanyi, " kata Cik Azlina, teman pensyarah yang bersama-sama di majlis berkenaan. Saya memandang pelajar tersebut tidak percaya. "Siapa?," saya bertanya. "Ilusi...jawabnya tersenyum. "Ha? Ayai? Saya semakin tidak percaya. "Ya..tapi.....dah buncit kan...." sambil tertawa sang anak mengutuk papanya.....

Suaramu gemersiknya bak buluh perindu.....aiceh...teringat zaman bujang-bujanglah pula... Apa lagi, saya pun ambil kesempatan bergambar dengan AYAI...Dulu lain dan sekarang memang lain!!! Kenalah percaya bila si anak, Amy...tunjukkan gambar papanya sewaktu masih muda...Cuba tengok gambar ni betul-betul.....sama ke???? ada iras pada senyumannya...hhihihihi....

Bersama Ayai...

Tamat sahaja majlis jam 5 petang, sempat saya kembali ke rumah adik, membasahkan badan dan melabuhkan badan seketika. Mujur juga ada adik saudara sepupu yang sudi meminjamkan keretanya, mudahlah hendak ke sana sini, kalau tidak pasti kelelahan yang amat sangat. Dalam tempoh sebulan ini rasanya sudah 3 kali saya berulang alik dari Pasir Gudang ke Shah Alam atas tuntutan kerja. Macam dah biasa sahaja. Penat memang penat tapi hendak buat macam mana kan.......

Saya penuh harapan agar anak-anak didik saya ini berjaya menempatkan diri di kalangan yang terbaik. Semoga pertandingan ini menjadi landasan terbaik bagi mereka melakar kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan. 

Sunday, March 13, 2011

PUISI CINTA...

Cuba ingat semula lagu ini, mesti pernah dengar kan? Tutup mata dan cuba hayati....

Suaramu..gemersiknya bak buluh perindu
Cuba kau lagukan
Cuba kau dendangkan
Mengisi di ruang kamarku.....

c/o
Tiada terkata
Seindah bahasa
Nak ku ucapkan nak ku belaikan dirimu...
Akan kulukiskan namamu
Akanku ukirkan tawamu
Menjadi coretan gurindam
Puisi cinta

Akanku lukiskan senyummu
Akanku madahkan janjimu
Menjadikan susunan warna
Potret cinta.....

Masih ingat bait-bait lagu ini? Saya sendiri pun dah ingat-ingat lupa maklumlah lagu nyanyian Ayai dari Kumpulan Ilusi ini begitu fofular zaman saya masih di sekolah menengah, bayangkan..kira-kira 15 tahun yang lalu. Kenapa pula tiba-tiba baris-baris lagu ini yang menghiasi laman saya setelah hampir seminggu tidak dikemaskini? Saja....sebab minggu lepas saya bertemu AYAI!!!!!!!...macam tak percaya, masih tak percaya tetapi percaya akhirnya setelah dibuktikan dengan gambar beliau sewaktu masih muda. Muahaahaha....sungguh bertuah bertemu beliau. Yelah, masa muda-muda kan seronok dengar lagu-lagu syahdu, jiwang karat..bila lama tak dengar dan berpeluang imbas semula lagu-lagu lama, dah kiranya nostalgia lah kan....

seronok....sampai ke hari ini masih tersenyum mengingatkan momen itu. Buktinya,saya sempat mengambil gambar kenangan bersama beliau. Gambarnya.....senang-senang saya uploadkan ye.Buat masa ini biarlah jadi tatapan saya, suami dan sahabat-sahabat terdekat dahulu......

Saturday, March 5, 2011

Dari Maluri ke Shah Alam

Setelah beberapa hari menghadiri mesyuarat norma peralatan bagi program kemahiran khas di Seri Cempaka Suites, Cheras, tibalah hari terakhir sebelum bergerak ke Shah Alam untuk menghadiri satu lagi kursus di hujung minggu. Jarang dibuat orang tetapi itulah dia, peluang yang bukan selalu nak dapat, kenapa perlu kita lepaskan? Jadi, ambil peluang untuk tambah pengalaman. Itu matlamatnya.

Isi perut sebelum daftar keluar. Duduk semeja dengan En Mazlan dan En.Yap dari JKE serta dua orang staf dari POLISAS. Makan tengahari tak agak-agak. Nampak mcam semua desert sedap tapi tak berani nak ambil. Konon-konon nak kekalkan regim diet. Gagal.....En Yap siap ambilkan sepinggan desert, kononnya nak berkongsi, rupa-rupanya dia jadi tukang tengok sahaja!. Mula-mula ambil satu, sedap...tambah lagi..sedap juga..akhirnya sepinggan desert jadi habuan perut. Macam tak percaya!!! Hancur semuanya.....kalau tak habiskan membazir pula. Ibarat kata puteri saya yang seorang.."membazir itu amalan....."syaitan....". Ha gitu le......

Perut dah kenyang, hati pun senang. Terus daftar keluar. Angkat beg, keluar dari hotel terus melintas jalan. Menghala ke stesen LRT Maluri, lalu di depoh bas Rapid KL dan baru perasan ada JUSCO!!. Kalau tahu, petang semalam dah ke sini....Hmm...terlepas satu peluang.Terus naik jejantas, semput dibuatnya, maklumlah banyak makan, badan berat, cepat penat tapi 'cover' muka...maintain......

"Puan, saya nak ke Shah Alam, saya perlu tukar tren di KL Central ke?", saya tanya petugas di kaunter. "Eh tak, kalau nak ke Shah Alam, tukar di Bandaraya saja lebih mudah, kemudian ambil KTM komuter," jelas petugas tersebut. Dek kerana tak tahu arah mana nak ikut, "Puan,saya nak ikut laluan Ampang atau Sentul Timur?," saya bertanya arah laluan tren. "Sentul Timur," jawabnya lagi sambil melemparkan senyuman. Beli tiket dan terus ke laluan diberikan. Sekejap sahaja, dalam tempoh lebih kurang 10 minit saya tiba di stesen Bandaraya. Ini pun lagi satu, kalau tahu petang semalam saya boleh pergi ke SOGO sebab perjalanan yang singkat. Alahai........

Keluar dari tren, mata saya mula melilau. Nampak petunjuk 'KELUAR" dan arah KTM Komuter. Saya mula berjalan. Rasa tercangak-cangak juga macam rusa masuk kampung. Maklumlah, jalan berseorangan di kawasan yang tak biasa memang ada terbit sedikit ragu-ragu. Saya lihat ramai orang menuju ke arah yang sama."Betullah ni arahnya," saya yakin. Jalan dan terus berjalan. Sudah mula terasa berat beg yang ditarik dan beg yang tersandang di bahu kerana perlu menaiki banyak anak-anak tangga . Sudah mula berasa letih. Entah berapa banyak kalori yang terbakar. Peluh sudah mula memunculkan dirinya. Stok tisu tiada dalam simpanan, apa lagi , hujung baju menjadi mangsa. Terus berjalan dan ternampak papan tanda KTM Komuter Bank Negara. "Oh, pertukaran di Bank Negara rupanya," hati kecil berkata sendiri.

Sampai sahaja di stesen itu, naik tangga lagi! aduhai..rasa nak patah pinggang. Ambil tiket ke Padang Jawa dan terus terlepak dalam tren yang mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan. Sempat terlelap seketika. Sampai di Shah Alam, adik telah sedia menunggu. Sempatlah di bawa ke Kolej Mawar UiTM untuk melihat-lihat persiapan terakhir kumpulan adik yang bakal menganjurkan seminar kesedaran bertajuk "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya" yang berlangsung malam semalam. Sempat juga memberikan bantuan di belakang tabir tetapi tidak berkesempatan menghadiri seminar mereka kerana badan terlalu letih rasanya.

Sempatlah di sebelah malam singgah di GIANT, dapatlah beli dua helai seluar. Bertentangan GIANT, saya tertarik dengan gerai NASI KUKUS AYAM GORENG BEREMPAH, terbuka selera. Memang terbaik!!!!. Pecah rekod makan nasi pukul 9.00 malam. Saya tidak peduli, perut dah lapar, licin saya kerjakan nasi itu. Selepas itu, tersandar....tertidur awal dan terjaga jam 2 pagi apabila adik balik ke rumah usai program yang dijalankan. Bila sudah terjaga, mata jadi segar dan jawabnya hingga ke pagi saya tak boleh tidur. Terus bersiap-siap menghadiri kursus yang dijadualkan bermula jam 8 pagi....UiTM, nantikan kedatanganku.........

Friday, March 4, 2011

Kesabaran juga ada hadnya.....

Minggu ini sesak rasanya dengan rutin konvokesyen yang baru sahaja bermula. Memikirkan perlu menjalani raptai memang rutin yang agak biasa tetapi masih perlu dilakukan bagi kelancaran majlis. Meskipun dah biasa, tapi ralat tetap berlaku tanpa sebarang perancangan dan persediaan. Biasalah, berurusan dengan manusia bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kita berurusan dengan hati, berurusan dengan emosi dan berurusan dengan perasaan. Bab menunggu adalah sesuatu yang amat tidak saya sukai. Kalaulah manusia ni berpegang pada ketepatan janji,alangkah bahagianya kehidupan yang kita lalui.

Konvo jabatan kali ini adalah konvo yang paling tidak menyeronokkan bagi saya. Terserlah "kesilapan' saya yang saya sendiri sukar nak maafkan. Tak sepatutnya kesilapan itu saya lakukan. Tapi entah kenapa pada waktu itu saya hanya mampu terpaku dan terdiam tanpa sebarang tindakan. Bagi menyedapkan hati, biarlah....perkara yang dah berlaku tetap berlaku. Apa yang penting hadapi hari-hari yang akan datang dengan semangat yang baru.

Sayangnya, baru hendak melapangkan fikiran, panggilan telefon dari satu nombor yang cukup saya kenali menambah sesak di jiwa. Saya pandang telefon, hendak angkat atau tidak. Akhirnya, tetap saya angkat. Arggghh....masalah itu datang semula. Saya ingatkan perkara berkenaan pelajar itu telah diselesaikan dengan jayanya, tetapi sebaliknya berlaku. Masalah tersebut masih berlaku dan berlanjutan. Saya naik marah dibuatnya. Apa yang mempu saya lakukan? Hendak nasihat telah saya berikan nasihat, hendak membantu ke hospital, telah saya tunggu setengah hari di hospital, hendak terjun ke laut, telah saya pergi meleraikan. Namun, masih tidak berkesudahan.

Degil, keras kepala, sensitif, merupakan antara sifat semulajadi golongan tertentu yang sukar untuk saya kawal. Kadang-kadang apa yang saya lalui membuatkan saya merasa GAGAL. Kadang-kadang membuatkan saya berasa sangat sedih dan kadang-kadang hingga ke satu tahap saya berasa "frust". Saya tak mampu memberikan apa yang sebenarnya dimahukan oleh pelajar saya. Sebenarnya, mengendalikan golongan ini mengajar saya erti kesabaran. Kalau dulu saya seorang yang cepat melenting, hari demi hari apabila semakin lama dengan golongan ini, tahap kesabaran saya meningkat. Saya menjadi lebih 'perlahan', mungkin sedikit cool tetapi ada masanya saya juga hilang kesabaran.

Ei....rasa seolah dah tak tahu apa yang harus saya lakukan. Buat itu tak kena, buat begini tak berjaya. Buat pertama kali sepanjang 10 tahun mengajar, saya mengangkat bendera putih. Saya tak mampu lagi bertahan. Sedaya mungkin saya cuba menangani cabaran yang datang tetapi kali ini saya mahu banyak pihak mengambil tanggungjawab secara bersama. Saya tak mampu menanggung segalanya sendirian.Saya benar-benar tidak mampu kali ini.

Saya sendiri punya masalah yang harus menjadi fokus dan keutamaan. Saya telah cuba memberikan yang terbaik tetapi sayangnya.......biarlah masa yang menentukannya. Jangan diduga kesabaran yang secebis ini....