Followers

Saturday, March 5, 2011

Dari Maluri ke Shah Alam

Setelah beberapa hari menghadiri mesyuarat norma peralatan bagi program kemahiran khas di Seri Cempaka Suites, Cheras, tibalah hari terakhir sebelum bergerak ke Shah Alam untuk menghadiri satu lagi kursus di hujung minggu. Jarang dibuat orang tetapi itulah dia, peluang yang bukan selalu nak dapat, kenapa perlu kita lepaskan? Jadi, ambil peluang untuk tambah pengalaman. Itu matlamatnya.

Isi perut sebelum daftar keluar. Duduk semeja dengan En Mazlan dan En.Yap dari JKE serta dua orang staf dari POLISAS. Makan tengahari tak agak-agak. Nampak mcam semua desert sedap tapi tak berani nak ambil. Konon-konon nak kekalkan regim diet. Gagal.....En Yap siap ambilkan sepinggan desert, kononnya nak berkongsi, rupa-rupanya dia jadi tukang tengok sahaja!. Mula-mula ambil satu, sedap...tambah lagi..sedap juga..akhirnya sepinggan desert jadi habuan perut. Macam tak percaya!!! Hancur semuanya.....kalau tak habiskan membazir pula. Ibarat kata puteri saya yang seorang.."membazir itu amalan....."syaitan....". Ha gitu le......

Perut dah kenyang, hati pun senang. Terus daftar keluar. Angkat beg, keluar dari hotel terus melintas jalan. Menghala ke stesen LRT Maluri, lalu di depoh bas Rapid KL dan baru perasan ada JUSCO!!. Kalau tahu, petang semalam dah ke sini....Hmm...terlepas satu peluang.Terus naik jejantas, semput dibuatnya, maklumlah banyak makan, badan berat, cepat penat tapi 'cover' muka...maintain......

"Puan, saya nak ke Shah Alam, saya perlu tukar tren di KL Central ke?", saya tanya petugas di kaunter. "Eh tak, kalau nak ke Shah Alam, tukar di Bandaraya saja lebih mudah, kemudian ambil KTM komuter," jelas petugas tersebut. Dek kerana tak tahu arah mana nak ikut, "Puan,saya nak ikut laluan Ampang atau Sentul Timur?," saya bertanya arah laluan tren. "Sentul Timur," jawabnya lagi sambil melemparkan senyuman. Beli tiket dan terus ke laluan diberikan. Sekejap sahaja, dalam tempoh lebih kurang 10 minit saya tiba di stesen Bandaraya. Ini pun lagi satu, kalau tahu petang semalam saya boleh pergi ke SOGO sebab perjalanan yang singkat. Alahai........

Keluar dari tren, mata saya mula melilau. Nampak petunjuk 'KELUAR" dan arah KTM Komuter. Saya mula berjalan. Rasa tercangak-cangak juga macam rusa masuk kampung. Maklumlah, jalan berseorangan di kawasan yang tak biasa memang ada terbit sedikit ragu-ragu. Saya lihat ramai orang menuju ke arah yang sama."Betullah ni arahnya," saya yakin. Jalan dan terus berjalan. Sudah mula terasa berat beg yang ditarik dan beg yang tersandang di bahu kerana perlu menaiki banyak anak-anak tangga . Sudah mula berasa letih. Entah berapa banyak kalori yang terbakar. Peluh sudah mula memunculkan dirinya. Stok tisu tiada dalam simpanan, apa lagi , hujung baju menjadi mangsa. Terus berjalan dan ternampak papan tanda KTM Komuter Bank Negara. "Oh, pertukaran di Bank Negara rupanya," hati kecil berkata sendiri.

Sampai sahaja di stesen itu, naik tangga lagi! aduhai..rasa nak patah pinggang. Ambil tiket ke Padang Jawa dan terus terlepak dalam tren yang mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan. Sempat terlelap seketika. Sampai di Shah Alam, adik telah sedia menunggu. Sempatlah di bawa ke Kolej Mawar UiTM untuk melihat-lihat persiapan terakhir kumpulan adik yang bakal menganjurkan seminar kesedaran bertajuk "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya" yang berlangsung malam semalam. Sempat juga memberikan bantuan di belakang tabir tetapi tidak berkesempatan menghadiri seminar mereka kerana badan terlalu letih rasanya.

Sempatlah di sebelah malam singgah di GIANT, dapatlah beli dua helai seluar. Bertentangan GIANT, saya tertarik dengan gerai NASI KUKUS AYAM GORENG BEREMPAH, terbuka selera. Memang terbaik!!!!. Pecah rekod makan nasi pukul 9.00 malam. Saya tidak peduli, perut dah lapar, licin saya kerjakan nasi itu. Selepas itu, tersandar....tertidur awal dan terjaga jam 2 pagi apabila adik balik ke rumah usai program yang dijalankan. Bila sudah terjaga, mata jadi segar dan jawabnya hingga ke pagi saya tak boleh tidur. Terus bersiap-siap menghadiri kursus yang dijadualkan bermula jam 8 pagi....UiTM, nantikan kedatanganku.........

No comments:

Post a Comment