Followers

Friday, March 4, 2011

Kesabaran juga ada hadnya.....

Minggu ini sesak rasanya dengan rutin konvokesyen yang baru sahaja bermula. Memikirkan perlu menjalani raptai memang rutin yang agak biasa tetapi masih perlu dilakukan bagi kelancaran majlis. Meskipun dah biasa, tapi ralat tetap berlaku tanpa sebarang perancangan dan persediaan. Biasalah, berurusan dengan manusia bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kita berurusan dengan hati, berurusan dengan emosi dan berurusan dengan perasaan. Bab menunggu adalah sesuatu yang amat tidak saya sukai. Kalaulah manusia ni berpegang pada ketepatan janji,alangkah bahagianya kehidupan yang kita lalui.

Konvo jabatan kali ini adalah konvo yang paling tidak menyeronokkan bagi saya. Terserlah "kesilapan' saya yang saya sendiri sukar nak maafkan. Tak sepatutnya kesilapan itu saya lakukan. Tapi entah kenapa pada waktu itu saya hanya mampu terpaku dan terdiam tanpa sebarang tindakan. Bagi menyedapkan hati, biarlah....perkara yang dah berlaku tetap berlaku. Apa yang penting hadapi hari-hari yang akan datang dengan semangat yang baru.

Sayangnya, baru hendak melapangkan fikiran, panggilan telefon dari satu nombor yang cukup saya kenali menambah sesak di jiwa. Saya pandang telefon, hendak angkat atau tidak. Akhirnya, tetap saya angkat. Arggghh....masalah itu datang semula. Saya ingatkan perkara berkenaan pelajar itu telah diselesaikan dengan jayanya, tetapi sebaliknya berlaku. Masalah tersebut masih berlaku dan berlanjutan. Saya naik marah dibuatnya. Apa yang mempu saya lakukan? Hendak nasihat telah saya berikan nasihat, hendak membantu ke hospital, telah saya tunggu setengah hari di hospital, hendak terjun ke laut, telah saya pergi meleraikan. Namun, masih tidak berkesudahan.

Degil, keras kepala, sensitif, merupakan antara sifat semulajadi golongan tertentu yang sukar untuk saya kawal. Kadang-kadang apa yang saya lalui membuatkan saya merasa GAGAL. Kadang-kadang membuatkan saya berasa sangat sedih dan kadang-kadang hingga ke satu tahap saya berasa "frust". Saya tak mampu memberikan apa yang sebenarnya dimahukan oleh pelajar saya. Sebenarnya, mengendalikan golongan ini mengajar saya erti kesabaran. Kalau dulu saya seorang yang cepat melenting, hari demi hari apabila semakin lama dengan golongan ini, tahap kesabaran saya meningkat. Saya menjadi lebih 'perlahan', mungkin sedikit cool tetapi ada masanya saya juga hilang kesabaran.

Ei....rasa seolah dah tak tahu apa yang harus saya lakukan. Buat itu tak kena, buat begini tak berjaya. Buat pertama kali sepanjang 10 tahun mengajar, saya mengangkat bendera putih. Saya tak mampu lagi bertahan. Sedaya mungkin saya cuba menangani cabaran yang datang tetapi kali ini saya mahu banyak pihak mengambil tanggungjawab secara bersama. Saya tak mampu menanggung segalanya sendirian.Saya benar-benar tidak mampu kali ini.

Saya sendiri punya masalah yang harus menjadi fokus dan keutamaan. Saya telah cuba memberikan yang terbaik tetapi sayangnya.......biarlah masa yang menentukannya. Jangan diduga kesabaran yang secebis ini....

No comments:

Post a Comment