Followers

Sunday, February 20, 2011

Sehari di Petaling Jaya

Entah mengapa beberapa hari lepas baru saya terperasan promosi mengenai Mega Seminar Jana Wang dengan Menulis yang dianjurkan oleh Akademi Penulis Sdn.Bhd. Agaknya oleh kerana banyak promosi lain yang disebarkan dalam masa yang sama, saya terlepas pandang promosi yang satu ini. Tatkala melihat barisan panel yang bakal mewarnai dan mengendalikan seminar tersebut, hati ini begitu teruja. Bukanlah tidak pernah bertemu Tuan Fauzul dan Tuan Zamri, tetapi apa yang lebih mengujakan ialah kerana aura yang dibawa oleh Puan Ain Maisarah, penulis novel remaja paling popular sekarang. Entah mengapa saya begitu teruja sedangkan saya secara jujurnya hanya pernah sekali dua mengunjungi blog Puan Ain Maisarah. Pernah juga bercerita bersama suami tentang kehebatan dan kejayaan beliau semasa di dalam kereta, sambil-sambil menuju ke restoran untuk makan tengahari. Tahu, tetapi tidaklah begitu teruja untuk mengenali beliau pada ketika itu tetapi tetap kagum dengan kejayaan beliau.

Ada satu perkara lagi yang benar-benar mengujakan saya untuk datang ke seminar tersebut. Bayangkan, harga untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat, hanya RM50!!!!. Saya anggap ini adalah lubuk emas yang perlu saya gali. Saya boleh membayangkan betapa ruginya saya sekiranya saya tidak mengambil peluang ini. Telefon diambil dan nombor suami terus saya dail memaklumkan hasrat saya untuk ke seminar ini. Suami yang memahami kegilaan isterinya ini dengan senang hati memberikan keizinan. Mmuahh...sayang abang!! Terus saya menghubungi Tuan Alizan dan memaklumkan bahawa saya hendak menempah tempat sebagai peserta. Mulanya agak gusar juga kerana takut tempat tiada memandang waktunya sudah suntuk, hari Rabu kalau tidak silap saya membuat pendaftaran. Alhamdulillah, masih ada ruang. Beliau seakan tidak percaya saya akan datang dari JB. Ya, itulah hakikatnya. Datang kerana tujuan utama saya ialah untuk 'refresh' semula apa yang pernah saya perolehi dan ingin mencari penyuntik semangat untuk terus menggagahkan diri menulis. Betul kata Tuan Fauzul, kalau dah taknak buat, macam-macam alasan yang kita boleh berikan.Saya akui itu, manusia memang kaya dengan alasan. Saya sendiri seringkali merasa tumpuan terjejas untuk menulis kerana kondisi anak yang tidak stabil. Maklumlah, menjaga seorang anak istimewa memang kaya jugalah dengan cabaran yang harus ditempuhi saban masa. Alasan lagi......

Seawal 11 pagi saya bertolak menaiki bas dari Pasir Gudang menuju ke Shah Alam. Sampai kira-kira jam 5 petang. Mujurlah ada adik yang sedang menuntut di UiTM dan menginap di rumah sewa, dapatlah menumpang tidur buat semalam. Sempat juga bertemu seorang teman yang bercadang membawa saya bertemu anak rakannya di Hospital Ampuan Rahimah Kelang yang merupakan pesakit Down Sindrom. Muqid namanya, baru berusia 3 bulan. Sangat comel dan dapatlah berkongsi cerita berkenaan anak masing-masing. Sebagaimana yang kita tahu, ibu yang melahirkan anak di usia lewat 40an memang menghadapi risiko memiliki anak istimewa. Namun, ibu itu (Kak Ely) begitu kuat semangatnya saya lihat. Usai kunjungan ke hospital, sempat lagi saya dibawa berjalan-jalan mengunjungi Uptown Shah Alam. Jam dah menunjukkan angka 11 malam. Entah kenapa badan masih lagi tidak terasa penat tetapi lapar!!!!. Tidak berkesempatan makan tengahari, kiranya supper makanan berat. Hilang sudah diet untuk hari itu!.

                                                     Jelas kan Uptown Shah Alam..

Sampai ke rumah adik dalam lingkungan jam 1 pagi.  Terus membersihkan diri dan melabuhkan badan. Seawal 5 pagi sudah terbangun kerana kepanasan. Terus bersiap-siap, solat dan menunggu seorang lagi adik sepupu yang menyerah diri untuk menjadi pemandu saya. Bertolak jam 7.30 pagi dan perjalanan memakan masa setengah jam. Sempat bersarapan sementara menunggu Seminar bermula jam 9.00 pagi.

                                                   Barisan panel yang mengendalikan seminar hari ini

Teruja benar dengan penyampaian segala input yang disampaikan oleh setiap panel. Segar, bertenaga dan penuh dengan rahsia yang belum pernah didedahkan dalam mana-mana seminar yang dianjurkan sebelum ini. Malu juga bila dua kali nama disebut-sebut sepanjang seminar kerana menjadi antara peserta yang datang dari jauh. Sebenarnya jarak bukanlah alasan, yang penting kemahuan yang kuat itulah yang mendorong untuk sampai ke sini. Walaupun 'buta' Petaling Jaya, memang tak tahu jalan langsung, Allah permudahkan dengan bantuan adik sepupu yang tiba tepat pada masanya. Alhamdulillah. 

                                                    Bersama Puan Ain Maisarah -Novelis terulung Malaysia
                                                    Sibuk menandatangani autograf peminat
                                       Khusyuk menghabiskan masa terluang dengan membaca...

Rupa-rupanya secara tak sedar, ada seorang selebriti yang turut bersama dalam seminar ini termasuk doktor perubatan dan doktor akademik juga ada. ABOT, dahulu biasa kita dengar nama ini bukan? Patutlah mula-mula berselisih rasa seperti kenal puan ini tetapi di mana ya? Apabila Tuan Zamri meng'tag'kan gambar-gambar sepanjang seminar, barulah perasan apabila nama beliau dinyatakan. Begitu hebat penangan seminar ini apabila lebih kurang 130 peserta menyertainya dan datang sari seluruh negara.

  Barisan Panel dari kiri Pn.Ain Maisarah, Tuan Syaizul Amal (Pengurus Pn.Ain Maisarah), Tuan Fauzul Nai'm Ishak dan Tuan Zamri Mohamad dalam sesi terakhir,sesi soal jawab.

Usai majlis, kepala hanya memikirkan anak di rumah. Akan tetapi sementara menunggu perjalanan jam 8.30 malam, sempat lagi  mencuci mata di Subang Parade. Geram melihat kasut-kasut di kedai kasut BATA. Tawaran potongan harga sehingga 70 peratus! Memikirkan saya adalah pengguna setia jenama BATA, hati membuak-buak menyuruh tangan membeli tetapi akal berkata jangan.....Nanti beg berat..hendak berjalan jauh lagi. Mana tidaknya, datang dengan hanya sebuah beg sandang yang tergalas di bahu. Manakan mungkin hendak pulang dengan bebanan yang lebih berat!. Oh tidak...........

Sebelum pulang kenalah isi perut dahulu. Makan lagi...tapi makan di warung berdekatan terminal bas Seksyen 7 Shah Alam dan bersolat. Barulah lega hati nak memulakan perjalanan balik apabila selesai tuntutan yang wajib.
                                    Kiri, adik bongsu , Kamariah bersama adik sepupu dipanggil kakak, Nazuha yang  
                                                setia menghulur tangan. Terima kasih banyak-banyak.

Tepat 8.30 malam, bas Transnasional membawa saya pulang di mana tempat sepatutnya saya berada. Alhamdulillah, sampai tepat jam 1.00 pagi di terminal bas Pasir Gudang. Tersentuh hati melihat suami membawa bersama ketiga-tiga anak yang sudah terlentuk melayan mimpi untuk menjemput saya. Terima kasih kepada FN Education Group kerana memberikan saya pengalaman baru. Terima kasih buat adik dan adik sepupu yang telah membantu sepanjang sehari saya di sana dalam merealisasikan mimpi saya. Paling utama, terima kasih buat suami tersayang yang sentiasa mendorong, memberi semangat dan sentiasa berkorban untuk isterimu yang seorang ini. Saya telah jumpa CINTA yang saya cari. Semoga segala impian akan menjadi kenyataan..insyaAllah. 

No comments:

Post a Comment