Followers

Saturday, January 9, 2010

Ujian kecil

Minggu ini merupakan minggu yang menguji kesabaranku suami isteri. Anak sulung menunjukkan tanda-tanda serangan asthma selepas hampir setengah tahun. Suamiku telah perasan lebih awal tanda-tanda tersebut kerana dia lebih rapat dengan anak sulung kami. Mungkin salah makan atau gara-gara bahan pewarna dalam sejenis minuman yang diminum. Hari selasa, jam 3.30 pagi suamiku membawa anak sulung ke HSI untuk mendapatkan nabuliser  (2 kali) kerana diserang asthma pada sebelah malam.Kebetulan keesokan harinya aku perlu membawa anak bongsu  pula menjalani fisioterapi di HSI. Sekali langsung, sekali lagi anak sulungku mengambil lagi nap jam 9.30 pagi (2 kali)  lagi kerana keadaannya yang masih kurang memberangsangkan. Pihak HSI mencadangkan anakku dimasukkan ke hospital untuk rawatan susulan. Suamiku menyatakan ingin membawa anakku ke hospital penawar memandangkan anak sulung ada medical card. Bukan nak kata hospital kerajaan tak bagus, cuma menggunakan kemudahan yang ada selain cepat serta perkhidmatan yang memuaskan.


di Penawar



di HSI

Nak dijadikan cerita, jam 11.30 pagi kami ke Penawar. Ambil sekali lagi nap. Sayangnya, anak kami tak diadmit di Penawar kerana pihak Penawar tidak mahu mengambil risiko akibat ketiadaan pakar kanak-kanak. Kami mengambil keputusan untuk ke Puteri Specialist. Sebelum itu,sempatlah singgah di rumah, kemas-kemas barang untuk dibawa ke hospital. Sedang kami melabuhkan punggung, tiba-tiba si Rahimi mengadu sukar bernafas. Muka dah pucat, peluh berjurai-jurai. Kami terus bergerak dan singgah di klinik Dr Wan untuk ambil nap sekali lagi. Bila keadannya agak stabil, barulah kami bergerak. Di Puteri, sekali lagi nap diberi.Semua urusan selesai jam 3.15. Bergegas balik ke Poli sementelah suami meneman anak di hospital. Ada dua orang lagi anak yang menjadi tanggungjawabku pula di sini.

Mujur anak-anak yang lain tidak meragam. Seolah memahami apa yang dilalui mama dan ayahnya, alhamdulillah.Sehari selepas tu aku cuti. Terpaksa menghampakan rakan-rakan yang memerlukan khidmatku. Ajak jadi penyelamat. Rabu malam anakku dibenarkan keluar. Hari khamis dapatlah aku bekerja. Hari Jumaat hari yang meletihkan. Sepanjang pagi mesyuarat. Sebelah petang mesyuarat pendaftaran asrama. Usai mesyuarat, ke JRKV kerana ada barbeque. Baru beberapa suap, baby sitter pula telefon menyatakan anak bongsuku ada masalah seperti dulu. Batuk sewaktu makan, selepas itu gagal sendawa. Muka dah biru-biru. Apa lagi, kelam kabut aku dibuatnya. Dari JRKV ke kaunseling kerana kereta diletakkan di sana Bila nak cari kunci, rupanya kunci tertinggal pula di dalam pejabat. Sampai di rumah baby sitter, aku terus lakukan apa yang sering kami lakukan bila anak kami dalam keadaan begitu. Anakku anak OKU. Aku tak panik tapi kelam kabut sahaja. Kami memang sudah lali dengan keadaan-keadaan di luar jangkaan begini.


Haziq di atas triangle pillow ehsan seorang teman yang juga mempunyai anak sepertiku...

Akhirnya, dia muntah mengeluarkan lendir kahak serta makanan yang dimakan tapi masih tak ok. Sebagai ibu, aku faham benar sekiranya anakku ok atau tidak. Aku terus ke klinik bersama suami untuk buat suction. Lega sikit nampaknya tapi sungguh letih. Balik rumah dia terus tidur. Sebelah malam aku pun tak dapat hadir ke taklimat bersama sukarelawan kerana masih bimbang meninggalkan anakku yang masih tak berapa ok keadannya. Bagi aku, ini semua ujian........aku sentiasa muhasabah diri. Setiap ujian yang diterima sama ada adalah kafarah segala dosa-dosa lalu atau Allah ingin menguji tahap kesabaran kami sebagai ibu bapa atau mungkin Dia hendak anugerahkan sesuatu yang tidak kita jangkakan. Mudah-mudahan kami mampu mengharungi ujian kecil ini.....

Bagai sirih pulang ke gagang

Catatan 9 Januari 2010.

Tahun 2010 merupakan tahun yang penuh dengan perkara-perkara baru. Kembalinya aku ke jabatan induk merupakan fasa baru dalam siri perjalanan hidup. Setelah TIGA tahun mengharungi saat-saat INDAH bersama teman-teman senasib, akhirnya aku menemui destinasi dalam laluan karier. Meskipun berbeza haluan dengan teman-teman lama, itu bukan bermakna persahabatan kami akan lebur. Terlalu banyak perkara yang dilalui bersama.Sukar diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin ada banyak perkara yang perlu dilepaskan namun aku percaya banyak juga perkara atau peluang yang masih boleh direbut dalam memperbaiki prestasi perkhidmatan. Apa yang penting......kerjasama!!!...

Mula-mula terasa agak kekok hendak bersosialisasi meskipun hampir 90% teman-teman di jabatan telah aku kenali. Yelah, lama tidak berada di jabatan. Perlu juga mengambil masa hendak menyesuaikan diri. Bak kata Ketua Jabatan sewaktu mesyuarat jabatan pertama yang dihadiri, aku ni staf baru tapi sebenarnya staf lama. Ha....pening juga kan. Lama..tapi baru....Kiranya ikan pulang ke lubuk atau lebih menarik lagi ayatnya, bagai sirih pulang ke gagang.

Mula-mula berada di jabatan, aku telah disajikan dengan fenomena yang kurang menyenangkan. Dengan bau rokok yang semerbak, dengan bunyi-bunyian yang memekakkan telinga, macam pasar malam!!!. Kadang-kadang aku sendiri sukar memahami tabiat manusia yang pelbagai. Setiap orang dengan sahsiah dan ragam yang cukup unik dan tersendiri. Kalau yang baik bolehlah dijadikan tauladan, yang kurang baik???....LU PIKIRLAH SENDIRI!!!!...susah nak memberi faham kepada manusia-manusia yang telah terlebih 'baligh' zaman ini. Adakah mereka ini sengaja inginkan lebih perhatian? Atau...dengan bahasa yang agak kejam...kurang kasih sayang ke????...Macam mana kita nak dihormati oleh orang lain kalau kita sendiri tidak belajar menghormati orang lain? Kita mengharapkan orang lain sentiasa memerhati dan memahami kehendak diri kita namun kita tidak mengambil inisiatif yang sama untuk belajar memahami orang lain. Hendak di 'sound'...bukannya budak-budak......

Aku mula belajar ragam teman-teman. Cuba melali dan membiasakan diri. Selagi boleh tahan, sabar sahajalah. Kalau sampai tahap mencabar tingkat kesabaran, you better watch out!!!. Hari ini juga kali pertama menghadiri mesyuarat jabatan. Tapi sebelum tu, kena beri pujian terlebih dahulu. Usaha murni KJ mengadakan bacaan yaasin setiap minggu adalah usaha yang sangat baik. Kalau dahulu sewaktu di JHF, memang selalu buat bacaan yaasin, kadang-kadang belajar tajwid. Bila usaha ini digerakkan semula, aku yakin budaya mencintai Al-Quran akan terus subur dalam jiwa teman-teman dan aku khususnya. Aku begitu rindukan suasana begini. Nak belajar tajwid di luar? belum tentu.........aku percaya ramai yang setuju dengan kenyataan ini. Sekurang-kurangnya kita mengambil peluang yang ada di Politeknik untuk dimanfaatkan.

Cuma yang kurang seronok, mesyuarat terlalu lama!!! Bermula jam 8.30 pagi, 3 jam berikutnya masih belum selesai!!!. Kena minta maaf dengan BOS kerana terpaksa 'mencabutkan' diri setelah 3 jam di dalam bilik mesyuarat. Tepu rasa kepala dibuatnya. Sementelah, perut dari malam semalam kosong tidak berisi. Memandangkan peluh-peluh renek telah mula membasahi badan, dengan perut yang menggigit-gigit, nampaknya terpaksa juga aku angkat kaki. Macam-macam gaya  teman-teman dalam bilik mesyuarat ekoran masa yang begitu panjang.


                                   tengok si zul nie.....                                           

 eh.....sedondonlah mak ngah.....

 
kesian Dila dah tersepit kat tengah-tengah tu...

Kelemahan aku ni...pada 3 jam. Kalau gi jalan-jalan pun, biasanya tak lebih 3 jam. Kalau lebih mesti 'flat'. Kalau shopping pun sama. Lebih 3 jam aku dah bosan. Masih teringat zaman belajar di UKM dulu. Housemate beria-ia mengajak teman dia pergi membeli belah. Aku dah kata dah aku tak suka, diajaknya juga. Apa lagi...dia pergi membeli belah, aku pergi cari 'port'...ZZZZZZZZZ....Kalau mesyuarat lebih 3 jam, nampaknya terpaksa cari alternatif untuk mengelakkan aku angkat kaki. Apa ye......

Apa-apa pun, aku gembira kerana masih berpeluang berkumpul dengan teman-teman sepejabat lama. Masih ada peluang nak menimba ilmu daripada mereka. Masih ada peluang untuk jadi  geng 'raum' sama-sama. Masih punya peluang untuk saling bahu membahu seperti dulu. Aku percaya setiap yang berlaku pada diri adalah aturan yang cukup cantik untuk dilalui. Aku sentiasa percaya bahawa Allah itu takkan memberi apa yang kita mahu, tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan. Itulah bezanya keperluan dan kehendak manusia yang cuba dipenuhi dengan cara yang paling baik dan memberi manfaat untuk hari ini, esok dan masa-masa mendatang.

Bagai sirih pulang ke gagang,
Di tapak ini aku berjuang,
Hasrat dicita matlamat dijulang,
Kejayaan bersama mencipta gemilang.

Semoga transformasi ini menjadikan aku seorang insan yang lebih baik hari ini daripada semalam...............