Followers

Tuesday, December 29, 2009

Dunia baru

Aku membayangkan sesuatu hari ini,
Dunia baru yang bakal aku tempuhi,
Mungkin penuh liku,
Mungkin berceracak onak duri,
Mungkin juga ada sinar menanti,
Aku masih lagi tidak pasti.

Aku melihat sekelilingku,
Muka-muka yang telah sebati dengan diriku,
Di depanku dia yang aku kenali,
Di belakangku teman yang sentiasa ceria menanti,
Di sisiku bukan asing lagi,
Aku betah di sini,
Dalam suasana baru yang pasti serasi.

Kalaulah aku bukan di sini,
Entah di mana tapakku berdiri,
Di sana menunggu di sini menanti,
Bilakah aku kembali ke lubuk ini,
Tempat aku mengenal erti sahabat sejati,
Titik di mana aku mencari kekuatan diri,
Mungkin noktahnya bukan di sini,
Namun aku terus berlari,
Mengejar pelangi mewarnai hari.

Dunia ini dunia yang bukan lagi sepi,
Terlalu luas untuk aku terokai,
Terlalu besar ruang untuk terus berpaksi,
Aku bukan yang dulu seenaknya dibuli,
Pengalaman mengajarku erti kehidupan ini,
Kedewasaan  membenihkan kecekalan pasti,
Aku akan terus berjuang di sini.

Saturday, December 19, 2009

KURSUS BAHASA ISYARAT

Salam Maal Hijrah 1431H buat semua teman-teman bloggers. Sudah lama rasanya entri ini kosong tanpa bahan tulisan baru. Hari ini sedang anak-anak mandi-mandi di dalam bilik air, kesempatan diambil sepenuhnya untuk menulis biarpun sedikit. Anak kecil di sebelah seakan mengerti mamanya begitu khusyuk di hadapan muka komputer untuk menulis. Bila sudah lama tidak menulis, rasa seakan kaku jari jemari hendak menaip bait-bait kata yang sesuai.

Dua hari lalu, satu kursus bahasa isyarat kepada rakan-rakan sekerja telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan dari Unit Pendidikan Khas. Saya hanya menjadi penyumbang kecil di dalam kursus tersebut namun berasa puas dengan hasilnya. Mungkin sebahagian para peserta yang hadir tidak sepenuhnya meletakkan minat menghadiri kursus 'terpaksa' ini namun, harus dipuji sebahagiannya kelihatan cukup teruja. Maklumlah, bila kita diarah melakukan sesuatu yang kita tidak suka, harus diakui akan terbit rasa tidak selesa dan kurang keseronokan.

Kursus ini dikendalikan khusus buat rakan-rakan yang masih kekurangan jumlah hari berkursus dalam setahun. Mungkin kursus ini tidak menepati keinginan rakan-rakan, tetapi penganjur amat berharap agar para peserta yang hadir akan memperolehi 'sesuatu'. Idea memberikan 'token' sebagai menghargai rakan-rakan yang sudi hadir rasanya menjadi satu wadah yang menaikkan semangat rakan-rakan untuk memberikan yang terbaik. Kita tidak mengharapkan para peserta menajdi mahir dalam masa dua hari tetapi, kita mengharapkan para peserta memperolehi sedikit asas dalam memahami dunia tanpa suara ini. Kami yakin matlamat itu berjaya dicapai pada kursus tersebut.

Bukan mudah juga orang nombor dua organisasi untuk bersama-sama di dalam kursus sebegini. Terima kasih dan TAHNIAH kepada En Sahul Hamed bin Hj Abdul Wahab, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik yang sama-sama berada dan melibatkan diri di dalam kursus ini. Kursus ini menggabungkan bukan sahaja staf akademik, malah staf sokongan seperti pegawai perhubungan pelanggan di pentadbiran, pemandu-pemandu, serta pegawai-pegawai unit-unit yang dikumpulkan di dalam satu kursus. Di sinilah tempat untuk saling mengenali antara satu sama lain. Setiap kumpulan mempunyai ahli yang berbeza bidang pekerjaan. Itulah yang kita mahukan. Tiada perbezaan gred mahupun status jawatan supaya kebersamaan itu dapat dirasai.

Kepada pemenang peserta lelaki dan wanita terbaik, Encik Muhamad Fadhil dan Puan Sharipah Rusni, TAHNIAH dan semoga terus istiqomah dengan apa yang telah dipelajari untuk dimanfaatkan pada masa-masa akan datang. Semoga usaha kecil ini dapat merapatkan jurang antara kita yang dianugerahkan nikmat pendengaran ini dengan golongan pekak tanpa sebarang rasa takut, kerana kita belajar, kita aplikasikan, kita faham, di situlah letaknya KEJAYAAN.


Tuesday, December 1, 2009

POLY FEST POLITEKNIK JOHOR BAHRU 2009

Pada 24 dan 25 November lalu, telah berlangsung program Polyfest PJB 2009 yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tn. Hj Zulkifli bin Md Salleh, Pengarah Bahagian Pembangunan Akademik, Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program ini julung kalinya diadakan sebagai satu usaha memperkenalkan produk-produk terbaik para pelajar semester akhir setiap jabatan induk kepada warga PJB sendiri khususnya dan warga luar amnya. Di samping itu, elemen keusahawanan diterapkan melalui pengendalian gerai-gerai jualan oleh para pelajar sesuai dengan fokus Kementerian Pengajian Tinggi yang ingin melaksanakan pembudayaan elemen keusahawanan di kalangan pelajar.

Program ini merupakan program PJB dan Unit Keusahawanan hanya bertindak sebagai pelaksana. Kerjasama dari setiap jabatan amat dihargai walaupun terdengar di telinga 'cakap-cakap belakang' yang kurang menyenangkan. Apa yang penting, prorgram ini berjaya dilaksanakan. Tahniah kepada para pensyarah yang memberikan komitmen sepanjang program ini dijalankan.


BANNER PERASMIAN
PERSIAPAN DI DALAM DEWAN


Pemasangan booth jabatan-jabatan


Erlia, tukang lipat itenary


 Apo den nak buek dongan belon-belon ni yo??


Pasang bang pasang...


Lawatan perasmi ke booth pameran


Inovasi pelajar-mesin pemotong pisang


Honda beat


Elegance of darkness


Pencipta robot dan robotnya


Dihasilkan daripada tepung.Anda percaya??


Tetap vogue!!!

Di luar dewan juga tidak kurang hebatnya dengan pelbagai aktiviti yang telah disediakan oleh Jawatankuasa aktiviti diketuai oleh saudara Charles Brilee. Ada karaoke, pameran, walk in interview, permainan dan sebagainya.




Saturday, November 21, 2009

Ceramah Kanser Servik dan kelas Antenatal

Bertempat di Dewan Sejahtera Hotel Selesa Pasir Gudang, pagi ini langkah kaki dihala menuju ke satu diskusi ilmu yang bukan mudah hendak diperolehi. Usaha hospital Penawar ini wajar dipuji. Masyarakat seharusnya mengambil peluang ini untuk meningkatkan pengetahuan tentang kesihatan, lebih-lebih lagi bagi insan bergelar wanita, isteri dan ibu.



Ceramah disampaikan oleh Dr Suhaimi Hassan manakala kelas antenatal dikendalikan oleh Puan Norzurani. Namun, hanya satu sesi yang dapat kuhadiri kerana anak GDD ku yang seorang itu membuatkan aku terasa seakan dipanggil untuk pulang lebih awal. Namun, banyak manfaat yang aku perolehi dan sedikit sebanyak dikongsikan di dalam entri kali ini.




Dr.Suhaimi Hassan
Consultant Obstetrician
Gynaecologist and Fertility Specialist
Hospital Penawar Pasir Gudang

KANSER SERVIK (Apa yang perlu kita tahu).
  • Boleh dilihat melalui pap smear yang harus dilakukan setiap tiga tahun bagi mengesan kanser yang boleh menghantui kita mungkin dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.
  • Mengesan CIN atau sel-sel yang tidak normal melalui pap smear
  • Mudah merebak dan sukar dikawal
  • Punca kedua tertinggi kematian wanita di Malaysia selepas kanser payudara
  • Disebabkan oleh sejenis virus dipanggil Human Papillomavirus atau HPV
  • Dijangkiti melalui persetubuhan. Boleh dijangkiti daripada wanita atau sebaliknya.
  • Oral seks juga boleh menjadi penyebab berlakunya kanser serviks

HPV (HUMAN PAPILLOMAVIRUS)
  • Terdapat lebih daripada 100 jenis
  • Paling biasa, HPV 16 dan 18 yang boleh menyebabkan 70% pesakit menghidap kanser serviks
  • HPV 6 dan 11 boleh menyebabkan ketuat
  • Virus ini akan melekat pada serviks dan melakukan tindakan melawan antibodi badan dan menyebabkan kanser.
  • 80% pesakit dikesan menghidap kanser serviks pada usia 50 tahun.
  • Pasangan yang aktif melakukan hubungan seksual juga berisiko menghadapi masalah yang sama.
  • Memerlukan imunisasi seawal usia 7 tahun bagi mencegah virus HPV ini.
  • Namun begitu, sekiranya dikesan mempunyai virus ini, tidak bermakna seseorang itu boleh dijangkiti kanser serviks.

GOLONGAN BERISIKO
  • Berkahwin awal
  • Banyak pasangan
  • Perokok
  • Kurang immuniti badan

TANDA-TANDA
  • Pendarahan apabila bersama dan keluar darah melewati tempoh putus haid
  • Sakit apabila melakukan persetubuhan
  • Kurang selera makan
  • Keputihan berbau
  • Berat badan menurun
UJIAN-UJIAN
  • Ujian darah bagi memastikan tahap kanser
  • X-tray
  • CT Scan/MRI

RAWATAN PILIHAN
  • Cone biospsy - kanser peringkat awal- sgt berkesan bagi membuang sel kanser di serviks
  • Hysterectomy +/-(lymph node removal) - buang rahim dan tisu-tisu berdekatan
  • Radiotheraphy +/- chemotheraphy - Membuang sisa-sisa /sel-sel kanser

BAGAIMANA MENGURANGKAN RISIKO KANSER SERVIKS
  • Lakukan ujian saringan pap smear
  • Berhenti merokok
  • Dapatkan imunisasi
  • Rawatan penyakit kelamin (sekiranya ada )
  • Dapatkan suntikan vaksin
Inilah sedikit sebanyak ilmu yang boleh kita kongsikan. Di bawah ini adalah suasana sekitar program tersebut. Selamat meneroka laman ini....


Makan time.....


Bakal bapa mithali teman isteri...


                                                              Orang kuat program....

Terima kasih sekali lagi kepada Hospital Penawar atas usaha murni ini. Moral of the story.....lakukan ujian pap smear untuk kesejahteraan hidup anda!!!!!

Monday, November 16, 2009

Global Development Delayed (GDD)





Dalam meniti hari-hari dengan anak istimewaku yang seorang ini...aku terus mencari dan mencuba pelbagai kaedah yang dapat membantu. Terapi,ujian pendengaran, pengambilan air tulang belakang, EEG test, MRI test,semuanya telah diusahakan.Malah, ujian yang dilakukan di luar negara juga masih dalam proses. Aku pasrah dengan diagnosis pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur yang menyatakan anak bongsuku merupakan pesakit Global Development Delayed atau GDD.



GDD merujuk kepada masalah kanak-kanak yang mempunyai perkembangan akal, minda dan tumbesaran tubuh yang tidak serupa atau setimpal dengan kanak-kanak lain sesuai dengan usia mereka. Kanak-kanak berkenaan mungkin mempunyai sifat fizikal seperti budak lain, namun minda dan akal mereka seperti kanak-kanak yang lebih muda. Misalnya, kanak-kanak tersebut berumur 8 tahun namun, minda dan akal mereka seperti kanak-kanak berusia 3 tahun.

GDD boleh disebabkan oleh pelbagai masalah terutama ketika berada di dalam kandungan seperti kekurangan darah, bersalin pramatang, masalah genetik atau chromosomal, atau penyakit pada ibu. Kanak-kanak ini mungkin akan menghadapi masalah dalam pembelajaran, penggunaan duit, kekurangan pengetahuan am dan masalah mengenali sesuatu perkara itu betul atau salah. Malah, ada juga yang tidak memahami tahap kesihatan diri dan tidak boleh berdikari.

Kanak-kanak ini memerlukan bantuan daripada pelbagai aspek terutama terapi kerja dan pertuturan. Kanak-kanak ini juga tidak suka melakukan sesuatu di luar bidang kemampuan mereka. Pendekatan lebih tegas diperlukan dalam proses pendidikan kepada kanak-kanak ini. Mereka perlu diajar berdikari dan melakukan kerja harian dengan sendiri tanpa mengharap bantuan orang lain.

Masalah berkenaan tidak mempunyai rawatan tertentu yang mujarab, namun rawatan awal mungkin dapat mengubah masa depan kanak-kanak berkenaan. Pengesanan pada peringkat awal memungkinkan harapan yang tinggi untuk mereka pulih walaupun tidak sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya anak-anak itu dapat menjalani kehidupan harian yang lebih baik.

Sumber: Harian Metro, 16 November 2009

Sunday, October 25, 2009

KARNIVAL KECEMERLANGAN DAN FESTIVAL KESENIAN POLITEKNIK PERINGKAT ZON SELATAN


Karnival Kecemerlangan Politeknik 2009 diadakan pada 23-25 Oktober 2009 di Plaza Angsana Johor Bahru. Karnival sepanjang tiga hari ini mempersembahkan pelbagai hasil kecemerlangan pelajar politeknik dalam pelbagai bidang pengajian. Tugasku sepanjang karnival ini hanyalah sebagai penulis skrip teks ucapan Dato' KP Jabatan Pengajian Politeknik dan teks Dato' Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin, so taklah sibuk mana pun.Namun aku ingin meluahkan sesuatu di dalam entri ini. Siapa yang terbaca, terasa hati, aku mohon kemaafan. Program ini sebenarnya adalah program jabatan Pengajian Politeknik dan PJB sebagai pelaksana. Namun, kelibat orang-jabatan hanyalah di saat-saat akhir pelaksanaan. Hanya beberapa 'ketul' sahaja yang aku perasan terlibat daripada peringkat awal, mungkin.....apa yang aku tahu hampir A-Z dilakukan oleh staf PJB. Syabas staf PJB!!! meskipun bekerja dalam tekanan, aku pasti semua itu bisa dilalui kerana lazim di PJB semuanya buat kerja di dalam tekanan. Hahahaha...harus diakui itu!!!!!!



Karnival ini turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara JPP dengan institusi-institusi MTUN iaitu Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.



Majlis Perasmian

Perasaan tidak puas hatiku kerana aku dan temanku telah standby sebagai MC. Namun, hamba Allah dari JPP ni datang dan kata nak buat sendiri. Hek eleh...teks dahlah kita buat, pastu partner dia x datang rehearsel..teman aku yg rehearsel...tup2 tiba di pagi kejadian, tempat tu dia nak take over sesuka hati ajerr. Apa barang macam tu....selalunya siapa MC, dialah buat teks sendiri. Ini....teks tu tak ubah apa pun, dia datang terus take over. Boleh gitu????? Aku ni taklah kisah sangat tapi kesian pada member yang dah rehearsel, tiba2 je orang lain take over. tak patut betul....Mentang2 menteri datang, dia nak overshadow pulak orang yang dah bersungguh2 training. Tak fairlah kan.....u ambil teks kita dan u buat...ini jadilah macam lembu punya susu, sapi besar yang dapat nama....hish3......

Di sini juga aku dapat lihat hasil kerja pelajar-pelajar pekakku dan dapat jumpa slash!!!! lama tak jumpa dia.....Dapatlah manja-manjakan tangan di booth Kolej Komuniti. Ini antara gambar-gambar yangs empat di download. Selebihnya ada di albumkan di facebookku.


          Pelajar Pekak Fesyen dan Mr Azlan Othman


                  Fatah, pelajar pekak Grafik



                                                                                         Barisan pelajar pekak Hotel Katering bersama  
                                                                                          pensyarah,  Pn Rut dan Pn Syuhairah


                                                                                                         Kawan lama....slash...


                    Bergaya di area sidang media...


                Tukang buat cenderahati Dato' KP



                  Memanjakan tangan....



        Wajah masa hadapan.huhuhuhu..

Tak apalah......yang penting perasmian dah selesai. Sekarang tumpuan ialah pada festival kesenian. Alhamdulillah semuanya berlangsung mengikut perancangan. Jalil Hamid memang professional. Aku pun tak risau. Dua jam tu dapat duduk di sebelah dia as assistant!!! Jangan cemburu ye...Orangnya very humble....dapatlah dia jumpa kawan-kawan lamanya..... Bila dah sibuk..dah tak sempat nak ambil gambar kumpulan/peserta yang bertanding. Hanya ini yang ada....apa pun..semuanya berjalan lancar!!!! alhamdulillah!!!








boleh sedondonlah pulak...jangan marah aaa......


Usai acara


Kerjasama, kesefahaman, keserasian serta  keikhlasan dalam bekerja menjadikan kita 'merasai' dan 'menjiwai' setiap apa yang kita kerjakan. Lakukan yang terbaik dan kepuasan itu akan mutlak memenuhi ruang jiwa dan diri kita.

Monday, October 19, 2009

PERANAN IBU BAPA DAN REMAJA DALAM MENENTUKAN KERJAYA

 Para pelajar yang baru sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sering berada di dalam keadaan dilema untuk menentukan kerjaya pilihan selepas menamatkan alam persekolahan. Pemilihan kerjaya perlu dilakukan seawal mungkin bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan bagi memastikan cita-cita tercapai.

Biasanya, remaja yang memilih bidang kerjaya diminati serta mempunyai kelayakan yang cukup di peringkat SPM akan berasa lebih yakin dalam banyak perkara. Ibu bapa pula perlu memahami minat dan kecenderungan anak-anak sebelum campur tangan dalam urusan pemilihan kerjaya anak-anak. Sekiranya ibu bapa tidak memahami minat anak-anak tetapi cuba mencampuri pemilihan kerjaya mereka secara langsung, anak-anak akan cenderung untuk memberontak secara dalaman. Anak-anak tidak mempunyai peluang untuk memilih. Mereka cenderung membuat pilihan yang kurang tepat ataupun mengikut sahaja kemahuan ibu bapa.

Terdapat beberapa tips dan peranan remaja serta ibu bapa dalam membuat pemilihan kerjaya yang diingini antaranya:

a.   Remaja harus mendapatkan pandangan, panduan dan nasihat daripada individu yang telah lama di dalam
      bidang berkenaan.
b.   Kumpulkan seberapa banyak maklumat berkaitan bidang pekerjaan yang ingin diceburi sebagai usaha
      menambahkan keyakinan dengan pilihan yang dibuat.
c.   Remaja tidak perlu berasa serba salah dan perlu berterus terang secara baik dan bijaksana supaya isi
      hati, minat serta kecenderungan difahami oleh ibu bapa dan tidak dipaksa mengikuti bidang yang tidak
      diminati.
d.   Belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan pilihan tersebut adalah pilihan yang tepat setelah
      mendapat restu ibu bapa.
e.   Perlu bersikap proaktif bagi menjayakan sesuatu pilihan.
e.   Ibu bapa pula harus menghormati minat dan bakat anak-anak serta membekalkan maklumat yang cukup
      berkenaan bidang pilihan anak-anak masing-masing.
f.    Berikan nasihat yang betul supaya anak-anak dapat membentuk kecemerlangan berdasarkan bakat dan
      minat.
g.   Remaja perlu bijak membuat keputusan mengenai hala tuju masing-masing dan pada masa yang sama
      mendapatkan restu ibu bapa.


Sumber: KLASSIFIED, Harian Metro, Isnin 20 Julai 2009

ELAKKAN ALAHAN MAKANAN

Makanan merupakan keperluan yang menjadi pelengkap dalam kelangsungan hidup. Namun, ada kalanya kita tidak menyedari bahawa apa yang dimakan boleh menyebabkan kita mengalami masalah kegatalan pada muka, tubuh badan atau lebih parah lagi menyebabkan kita berhadapan dengan maut. Bagi sesetengah individu, pemilihan makanan merupakan aspek yang sangat penting bagi mengelakkan berlakunya masalah alahan terhadap makanan.

Alahan terhadap makanan merupakan reaksi yang tercetus melalui sistem imun tubuh. Hampir enam peratus kanak-kanak dan dua peratus orang dewasa mnengalami masalah alahan terhadap makanan dan angka yang lebih besar dicatatkan untuk golongan yang tidak tahan dengan makanan.

Tidak tahan laktosa adalah salah satu contoh tidak tahan dengan makanan. Mereka yang mengalami maslah ini akan menyebabkan kekurangan enzim laktase yang diperlukan untuk mencerna gula, susu, atau produk tenusu lain. Akibatnya, mereka boleh diserang sakit perut, kembung,cirit-birit atau angin.

Dalam alahan makanan,s istem imun tersalah mengenalpasti makanan tertentu atau komponen makanan yang bertindak sebagai bahan berbahaya. Sistem imun manusia mencetuskan sel tertentu bagi menghasilkan antibodi immunoglobulin E (IgE) bagi menentang makanan yang membawa masalah. Antibodi berkenaan akan mengesan makanan yang bermasalah dan memebri isyarat kepada sistem imun untuk melepaskan histamin dan beberapa kimia ke saluran darah. Kebanyakan alahan makanan dicetuskan oleh protein tertentu seperti susu lembu, gandum dan kacang soya.

 Gejala alahan makanan termasuklah:
i.      Rasa seperti dicucuk-cucuk pada mulut,
ii.     Ruam hives
iii.    Kesukaran bernafas
iv.    Pening
v.     Bengkak pada bibir, muka , lidah dan tekak
vi.    Laluan udara terhalang
vii.   DSenyutan nadi yang laju
viii.  Tidak sedarkan diri

Langkah-langkah jika mengalami alahan:

1.   Ketahui apa yang anda makan dan minum. Pastikan baca label makanan dengan teliti.
2.   Pastikan ahli keluarga terdekat atau rakan sekerja anda tahu mengenai alahan yang dialami.
3.   Bincang dengan doktor sekiranya mahu membawa epinephrine kecemasan
4.  Jika anda menghidap asma, pastikan jika makan di luar pastikan makanan berkenaan tidak mengandungi
      sulfites.
5.   Baca label pada bungkusan makanan. Pastikan anda tidak membeli makanan yang mengandungi sodium
      bisulfite, potasium bisulfite, sodium sulfite, sulfur dioxide dan potassium metabisulfite.

Cara terbaik mengatasi alahan makanan ialah mengelakkan makanan yang boleh menimbulkan gejala alahan. Alahan makanan adalah lebih serius berbanding tidak tahan dengan makanan. Keadaan ini akan mampu ditangani dengan baik sekiranya kita mengambil langkah berwaspada dan mengelakkan daripada alahan berulang dengan sikap berjaga-jaga pada peringkat awal supaya alahan dapat dikurangkan.

Sumber: KLASSIFIED, Harian Metro Jumaat 9 Oktober 2009.

RAHSIA KETAWA

Seandainya anda punyai sebab untuk ketawa, maka KETAWALAH!!. Usah difikirkan apa kata orang apabila melihat anda ketawa kerana ketawa itu baik untuk kesihatan. Ianya telah dibuktikan melalui kajian sains. Ketawa merupakan salah satu bentuk senaman dalaman yang menyegarkan tubuh badan serta merangsang pengeluaran hormon dan neurotransmitter yang sangat berguna buat otak.

Semakin usia meningkat, kita semakin kurang ketawa akibat pelbagai tekanan dan masalah yang melingkari kehidupan kita sehari-hari. Bagaimana kita hendak mendapatkan ketawa itu semula?



Pada peringkat permulaan, berlatihlah untuk tersenyum dan ketawa. Lakukan dengan kerap. Kita akan melihat hasil positif pada kehidupan dan kesihatan kita. Antara kesan positif ketawa ialah:

i)    Ketawa dikategorikan sebagai stres yang baik atau kebalikan kepada stres yang jahat.
ii)   Latihan membuatkan seseorang ketawa dapat menunjukkan peningkatan hormon-hormon yang baik  
      kepada tubuh seperti endorfin, neurotransmitter serta penurunan tahap hormon stres iaitu kortisol dan
      adrenalin kerana ketawa merupakan proses fisiologi yang baik untuk tubuh manusia.
iii)  Ketawa berperanan sebagai pengimbang kepada tekanan emosi
iv)  Sistem imuniti tubuh akan berfungsi dengan lebih efektif kesan penurunan hormon-hormon jahat yang
      berkaitan tekanan perasaan.
v)   Ketawa membawa keseimbangan kepada kesemua komponen imuniti tubuh
vi)  Tersenyum dan ketawa akan membantu tubuh mengeluarkan bahan kimia dipanggil endorfin yang
      berfungsi memberikan tubuh perasaan sihat dan bahagia.

NAMUN, harus diingat bahawa langit itu tidak selamanya cerah. Apa sahaja yang dilakukan perlu dilakukan secara bersederhana kerana KETAWA juga boleh mengundang padah andai tidak mampu dikawal. Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian di luar negara yang melibatkan kematian akibat ketawa antaranya:

1.   Pada 24 Mac 1975, seorang lelaki, Alex Mitchell yang tinggal di Norfolk, England telah ketawa terbahak-bahak menonton komedi kegemarannya, The Goodies. Setelah ketawa selama 25 minit, dia tiba-tiba rebah dan jatuh di atas sofa dan terus meninggal dunia akibat kegagalan jantung.

2. Seorang lelaki di Thailand tiba-tiba ketawa di dalam tidurnya dan berhenti bernafas. Seorang doktor menyatakan bahawa seseorang itu boleh mendapat serangan jantung semasa menangis atau ketawa di dalam tidur.

3.   Pietro Aretino, seorang penyair dan penulis drama berunsur satira di Itali rebah pada 21 Oktober 1556 semasa berjenaka. Doktor mengesahkan kematian beliau sebagai 'lemas akibat ketawa'.

Begitu juga beberapa kes yang lain. "Banyak ketawa boleh mematikan hati". Barangsiapa yang menghayati ayat ini pasti akan dapat memahami dan lebih mengerti. Justeru, entri ini hanya sekadar berkongsi info yang dapatlah kiranya sama-sama diperhalusi.

Sumber: MASTIKA, OKTOBER 2009.

Saturday, October 10, 2009

SEMARAK 1 MALAYSIA AIDILFITRI PJB 2009



Semalam (Jumaat) 8 Oktober 2009, telah berlangsung majlis Semarak 1 Malaysia Aidilfitri PJB 2009. Entri ini ditulis bagi menghargai usaha rakan-rakan dari unit-unit yang telah bergabung tenaga menjayakan majlis tersebut dalam suasana sederhana tetapi agak meriah. Apa yang ingin dikongsikan adalah perasaan yang bercampur baur. Kita manusia ni bukanlah insan yang sempurna, pasti ada cacat cela di mana-mana yang mungkin tidak kita sedari. Di kesempatan ini penulis mengambil kesempatan memohon seribu kemaafan andai kata selama ini ada tersilap kata, tergelincir lidah yang tidak bertulang ini, ada perilaku yang mengguris jiwa dan sebagainya. Rasanya masih belum terlewat......

Berbalik kepada majlis semalam, penulis secara jujur mengakui bahawa team yang disertai adalah team paling 'gila' yang pernah disertai. Kerjasama? Yang ini jangan ceritalah..memang tip top tapi....semuanya buat last minute...haru betul namun hasilnya??? tetap membanggakan. Biarlah tak canggih, biarlah ada yang kata ibarat masuk ke kampung, khemah kami adalah rumah yang paling hujung...ala2 kesian gitu...tapi jangan marah....ada LCD tu!!!!

Kami masak sup fresh dari dapur. Siapa teringin kena ceduk sendiri dari dalam periuk. Khemah kami saja yang buat begini, khemah orang lain......hish3, rasanya depa order jerrrr.....


Biarpun banyak mulut yang akan berkata-kata, ada kitorang kesah? Tak kalah, tak jugak menang, kiranya hati tetap senang. Kehadiran team kami hanya sekadar memeriahkan lagi majlis. Tetap juga khemah kami menjadi tumpuan staf mencari air untuk diminum!!!!!!!!! Tetap juga khemah kami menjadi tumpuan paling akhir sebagai sasaran untuk 'tapau' makanan...ada gunanya jugak team kami ni........hihihihihi.

Cuma apa yang menyeronokkan, inilah peluang untuk bertemu rakan-rakan yang dah lama tidak berjumpa. Meski dalam satu organisasi, tuntutan tugas masing-masing seringkali menjadi alasan yang membataskan pertemuan. Di sinilah peluang untuk reunion dengan teman-teman sepejabat lama. Maklumlah, bila dah tinggal di 'kayangan' ni, susahlah sikit hendak turun ke bumi.......dah selesa dengan persekitaran baru, turun pun bila ada tuntutan hendak ke kelas. Bertemu rakan-rakan seminit dua, terus ke kelas. Di majlis sebeginilah ukhwah ini perlu diperkukuh agar ikatan itu tetap terus utuh.

Bertemu rakan-rakan sepejabat...

Menjengah ke khemah Hospitaliti. Ada sesuatu yang menarik perhatian.Cuba lihat ni:


Di samping ziarah menziarahi khemah, pelbagai persembahan menyeri suasana. Tiba-tiba, irama yang diminati berkumandang. Bermacam kelibat dan kerenah staf dapat dilihat tapi sempat candid dua orang hamba Allah ni aje. Punyalah khusyuk melayan irama ni. Feeling beb.....



Jalan punya jalan punya jalan, tibalah ke khemah JPA yang mengetengahkan konsep imbas kembali memori. Penulis amat menggemari item-item yang unik. Ternampak sebiji motor lama, terus beraksi depan kamera. Tak sangka sama kaler dengan baju rupanya!!! Tiba-tiba, gambar motor ni saja yang dapat upload, huhuhuhuhu....

Ini motor peninggalan atuk Ustaz Zohdi di tahun 1964...bilanglah sudah berapa usianya....

Berjalan lebih kurang, terus menyepi di khemah sendiri. cabutan bertuah tak perlu dikisahkan, memang susah sangat nak lekat. Hmmm, itu semua langsung tak menjadi kudis. Ada rezeki, ada. Kalau tidak.....biasalah......Majlis hampir berakhir, semua sibuk mengemas. Di sinilah kelihatan hero heroin team kami yang mantap, ayu, anggun, ceria dan sempoi......


Inilah yang dapat penulis kongsikan. Semoga ia dapat menceriakan hati-hati setiap ahli unit-unit yang 'gila' ini.hahahahahaha..korang jangan marah tau.......kalau marah, ada rasa nak kena jual????? muka dah terpampang kat blog ni...satu Malaya dah tahu....hihihihihihihiihi

Tuesday, October 6, 2009

amalan mulia....

Seminggu berhari raya merupakan minggu yang memenatkan bagi perut. Kalaulah sang perut boleh berkata-kata, kukira sudah menjerit agaknya. Itu baru sahaja beraya di kampung! Apabila naik bekerja pula, pelbagai jemputan mula menjengah. Apa yang menyeronokkan, di tempat kerjaku ada satu kumpulan marhaban yang setiap tahun akan mengadakan marhaban dari satu pejabat ke pejabat atau unit-unit yang ada pada waktu makan tengahari.


Waktu-waktu begini amat sesuai untuk mengeratkan silaturrahim di samping memuji-muji Rasulullah. Salah dan silap mohon dimaafi dan dapat mengenali rakan-rakan dari unit yang berlainan. Seandainya peluang ini tidak direbut, kita akan tetap begini. Tetap duduk dalam dunia sendiri. Kerjasama dapat dibentuk dan kasih sayang dapat diperkukuh.


"Saling kunjung mengunjung, erat silaturrahim......"

Aidulfitri terus dirai di sana sini. Rumah terbuka terus menyeri ruang kalendar jemputan bulan ini. Semoga terus diberi kekuatan untuk meneruskan tugas di dalam kemeriahan aidilfitri.....

Sunday, September 27, 2009

Aidilfitri 2009

Lama rasanya tidak menulis sebarang entri di dalam blog ini. Maklumlah, dekat-dekat nak raya, macam-macam agenda lain yang menjadi fokus. Betapa kita ini acap kali leka dan terlupa. Kehangatan aidilfitri seakan mengikis momentum Ramadhan yang belum pun menyembunyikan diri.


Alhamdulillah aku masih diberi kesempatan melalui Ramadhan Al-Mubarak tahun ini dan menyambut Aidilfitri bersama insan-insan tersayang.


Pulang ke kampung sehari sebelum Aidilfitri. Melalui lebuhraya E22 yang baru sahaja dibuka dan tidak dikenakan bayaran tol selama sebulan. Agak sunyi namun dapat lari daripada kesesakan jalan raya.


Usai bermaafan di pagi Aidlfitri, berbondong-bondong ke kedai foto untuk mengambil gambar keluarga.






Bertemakan warna ungu bagi raya 2009.




Hari kedua di rumah sendiri. Alhamdulillah, dapatlah mengunjungi rumah saudara mara setelah tahun lepas tidak beraya ke mana.Anak-anak pula seronok berjumpa sepupu-sepupu dan bermain bunga api tatkala bulan memunculkan diri.


Bermain bunga api...seperti kenangan zaman kanak-kanakku...



Seronok...





Hari berikutnya anak-anakku mendapat inspirasi baru. Duduk memancing di kolam milik abah. Dapat juga hasilnya. Inilah pelapisku.hahahaha.........
Di kolam ikan sebelah rumah. Dua hari berturut-turut anak-anakku ketagih memancing. Haru..........
Akhirnya pulang ke rumah kerana cuti hampir tamat. Mula menyiapkan diri untuk kembali bekerja sebagai sumber manusia yang berperanan menjalankan tugas yang diamanahkan. Semoga terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai....

Friday, September 18, 2009

Kerja 'last minute'

Hmmm....bila melihat kepada tajuk di atas, teringat kepada salah satu tajuk pengajaran iaitu pengurusan masa. Seringkali sebagai pendidik, kita mengingatkan pelajar supaya pandai menguruskan masa sendiri. Kenapa? Kerana setiap manusia mempunyai 24 jam yang sama, tiada lebih atau kurang barang sesaat pun. Justeru, terletak di tangan kita bagaimana pengurusan masa itu perlu dilakukan. Sayangnya, kadang-kadang kita sendiri gagal mengurus masa dengan baik, sama ada kita sedar mahupun tidak, tepuk dada, minda akan berkata-kata.
Semalam (Khamis), aku ambil cuti perjalanan rasmi. Tak larat rasanya hendak bekerja. Al-maklumlah, pagi itu, hampir pukul 2 pagi baru tiba di rumah kerana membuat rawatan susulan anak di HKL. Keluar dari HKL pukul 5.30 petang, sudah pastinya tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Jam 7.30 malam baru berjaya melepasi tol Sungai Besi. Akibatnya, berbuka di dalam kereta. Apa lagi..pandu lalulah menjadi sasaran. Cepat dan mudah. hilanglah diet hari itu.hihihihihi....Ada aku kisah??
Sementelah bercuti, aku mengambil kesempatan menjahit langsir baby sitter anak-anakku. Merancang nak buat biskut cornflakes. Telah berjanji pada diri sendiri untuk cuba juga membuatnya kerana aku memang tak pernah buat kuih. Semuanya mengharapkan emak, long ataupun beli sahaja di kedai dan rakan-rakan. Hendak beli oven semata-mata kerana nak buat biskut semudah itu, ak patut.....jadi, pinjam sahaja oven rakan sepejabat. Siang menjahit, malam bersama askar-askar pula di dapur. Alhamdulillah, berjaya walaupun mungkin tak sehebat insan lain yang sememangnya dah pakar membuat kuih dan biskut raya.
Cuma...husband membebel jugalah. Mana tidaknya, dah dekat-dekat beginilah sibuk nak buat itu ini. Namun aku hanya mampu menghadiahinya dengan senyuman. Beginilah aku yang dia kenal dulu pun... Sering buat kerja last minute. Terimalah seadanya perbezaan pasangan hidup kita....Apa pun, apa yang dirancangkan berjalan dengan baik walaupun natijahnya tetap ada. Badan terasa letih, tambahan pula dengan ragam anak kecil yang asyik merengek dek kerana kembung. Sesekali tu sebagai manusia, terbit juga rasa tension tapi..ubatnya senang sahaja. Layan anak yang merengek, letak di atas lengan...tepuk-tepuk sikit dan................ZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZZ. kan senang!!!!!!!!
Hari ini perancangan diteruskan dengan agenda last minute juga. Nak siapkan baju raya. Ngah dah bersalin,mana mungkin dia nak menjahit...nak taknak, baju yang dia dah siap potong-potong, pandai-pandailah kena menjahit sendiri. Sayang pula kalau tak disiapkan. Bukan sekadar baju raya, malah boleh dijadikan baju pergi bekerja. Lagipun, bukankah sunnah memakai pakaian serba baru di pagi raya?. Justeru, agenda petang ini adalah menyiapkan kain.Hahahaha...siap ke??...ntahlah.....
Ramadhan berlalu ditangisi
Aidilfitri menggamit disyukuri
Salah silap mohon dimaafi
Hari raya tambah berseri
Anak-anak gembira bersuka
Ibu bapa menumpang tawa
Bulan mulia jalin ikatan mesra
Ukhwah terbina keluarga sejahtera.
Lakukan kerja terancang perlunya
kelam kabut menyisih hiba
Demi masa rugilah kita
Andai waktu bisa diputar semula
Kenangan itu tetap bersisa
Esok yang belum pasti tersusun rencana
Di sinilah kita terus merancang dan bertindak bila tiba waktunya...
Salam Aidilfitri buat semua............

Thursday, September 10, 2009

Hadiah dariNya

Hari ini hati seorang ibu menangis
Kelopak mata dipenuhi titisan mutiara putih
Peluk cium rasa penuh kasih
Damba cinta tiada rasa ingin disisih
Hadiah dariNya ibarat kain putih suci bersih
Siapalah aku menidakkan kasih


Hari ini hati seorang ibu berduka
Hadiah dariNya tidak sempurna
Namun dia tetap istimewa
Menyemai cinta membuang lara
Hadiah dariNya menjentik kekuatan di jiwa
Ingat janji yang pasti dariNya
Insan terpilih diuji diduga
Penghapus dosa di alam maya


Hari ini hati seorang ibu makin kental
Hadiah dariNya bukanlah suatu beban
Meski berbeza paras dan kemampuan
Hadiah terindah menyuntik perjuangan
Demimu sayang relalah berkorban
Hadiah dariNya perlukan cinta dan sayang
Dibelai dimanja sepenuh perhatian.


Hari ini hati seorang ibu memanjat syukur
Hadiah dariNya tetap di sisi
Walau hebat sang hati diuji
Hati seorang ibu teguh berdiri
Demimu sayang kuredah bara api
Demimu sayang ku tempuh onak berduri
Demimu sayang kami kan tetap di sisi
Mencari penawar takkan berhenti
Hadiah dariNya pengubat jiwa nan sepi


Hari ini hati seorang ibu terus berharap
Muncul sinar yang menerangi lowongan kehidupan
Hadiah dariNya penguat semangat
Hadiah terindah hadiah istimewa
Hadiah dariNya yang maha Esa
Menyemai kasih menyulam bahagia
Demimu anakanda penghibur duka lara
Selagi hayat terkandung nyawa
Hati seorang ibu pasti tetap merasa bahagia.

Tuesday, September 8, 2009

TERAPI SOLAT

SUMBER:
Oleh Ziauddin Sharuddinmailto:Sharuddinzia@bharian.com.my

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia. SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir. Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok. Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot. Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan. Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat. SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.
Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.
Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang. Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu. Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.
“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya. Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

Oleh Ziauddin Sharuddinmailto:Sharuddinzia@bharian.com.my

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains. HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.
Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. “Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.
Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat. Ng Siew Chok - Isyarat Otak Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. “Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah. “Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. “Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya. Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah. Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang.
Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. “Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang.

Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya. Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya. Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. “Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
Penulis: Semoga kita mendapat hikmah dan nikmat daripada perintah yang diturunkan kepada kita sebagai insan-insan yang mendapat lindungan dan kasih sayangNya.