Followers

Monday, October 19, 2009

PERANAN IBU BAPA DAN REMAJA DALAM MENENTUKAN KERJAYA

 Para pelajar yang baru sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sering berada di dalam keadaan dilema untuk menentukan kerjaya pilihan selepas menamatkan alam persekolahan. Pemilihan kerjaya perlu dilakukan seawal mungkin bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan bagi memastikan cita-cita tercapai.

Biasanya, remaja yang memilih bidang kerjaya diminati serta mempunyai kelayakan yang cukup di peringkat SPM akan berasa lebih yakin dalam banyak perkara. Ibu bapa pula perlu memahami minat dan kecenderungan anak-anak sebelum campur tangan dalam urusan pemilihan kerjaya anak-anak. Sekiranya ibu bapa tidak memahami minat anak-anak tetapi cuba mencampuri pemilihan kerjaya mereka secara langsung, anak-anak akan cenderung untuk memberontak secara dalaman. Anak-anak tidak mempunyai peluang untuk memilih. Mereka cenderung membuat pilihan yang kurang tepat ataupun mengikut sahaja kemahuan ibu bapa.

Terdapat beberapa tips dan peranan remaja serta ibu bapa dalam membuat pemilihan kerjaya yang diingini antaranya:

a.   Remaja harus mendapatkan pandangan, panduan dan nasihat daripada individu yang telah lama di dalam
      bidang berkenaan.
b.   Kumpulkan seberapa banyak maklumat berkaitan bidang pekerjaan yang ingin diceburi sebagai usaha
      menambahkan keyakinan dengan pilihan yang dibuat.
c.   Remaja tidak perlu berasa serba salah dan perlu berterus terang secara baik dan bijaksana supaya isi
      hati, minat serta kecenderungan difahami oleh ibu bapa dan tidak dipaksa mengikuti bidang yang tidak
      diminati.
d.   Belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan pilihan tersebut adalah pilihan yang tepat setelah
      mendapat restu ibu bapa.
e.   Perlu bersikap proaktif bagi menjayakan sesuatu pilihan.
e.   Ibu bapa pula harus menghormati minat dan bakat anak-anak serta membekalkan maklumat yang cukup
      berkenaan bidang pilihan anak-anak masing-masing.
f.    Berikan nasihat yang betul supaya anak-anak dapat membentuk kecemerlangan berdasarkan bakat dan
      minat.
g.   Remaja perlu bijak membuat keputusan mengenai hala tuju masing-masing dan pada masa yang sama
      mendapatkan restu ibu bapa.


Sumber: KLASSIFIED, Harian Metro, Isnin 20 Julai 2009

No comments:

Post a Comment