Followers

iklan..iklan......

Tuesday, May 13, 2014

Warkah syurga

Assalamualaikum dan salam sejahtera....


Hmmm.....hari ini cuti rupanya. Bila terdetik di hati nak menjenguk laman sendiri....terkejutlah jugak sebab tiada sebarang entri yang dicoret sepanjang April lepas. Sempat jugalah laman ini bersawang. Entri terakhir berkenaan keterujaan pengalaman mendaki Bukit Broga dan selepas itu.......istilah mudahnya, sejuk beku!! Macam mana pulak boleh terdetik nak menulis? Ideanya datang tatkala mendengar esakan si anak bujang waktu sama-sama menonton kisah kekeluargaan di channel 104, Astro jam 10.00 hingga 12 malam semalam.

Apa yang membuatkan anak bujangku yang terkenal dengan " hati tisunya" teresak-esak? Bukan dia saja, saya sendiri terkesan dengan cerita yang dibintangi oleh Fauziah Nawi, Sofi Jikan, Khir Rahman, Sazzy Falak, Nasha Aziz dan ramai lagi.....Malah ada juga air mata yang mengalir. Kalau kami berdua duduk sama-sama di sofa merah depan tv sambil menonton cerita-cerita sebegini....memang sesuai sangatlah kan....Nanti saya akan peluk si anak bujang dan dia pastinya selesa dalam dakapan mamanya. Dua-duanya hati tisu....mudah sangat tersayat.......elok benarlah kalau dok tengok cerita sedih medih ni sama-sama.....

Cerita ini ditayangkan sempena sambutan hari ibu. Tajuknya: WARKAH SYURGA. Maaflah kalau penceritaannya nanti tak mengesankan sebab saya bukanlah seorang pelakon, penulis skrip jauh sekali. Sekadar penonton yang sama-sama mahu berkongsi iktibar daripada cerita yang ditayangkan.

Cerita tentang derita dan redha seorang ibu yang mengharapkan anak lelakinya mempertahankannya. Namun anak yang diharapkan pula seakan menurut telunjuk isteri yang kaya raya dan punya segalanya hingga sanggup merancang untuk membuang ibu sendiri. Sanggup menuduh si ibu mencuri gara-gara ulah si isteri. Sanggup membiarkan si ibu yang menggigil kesakitan hanya kerana dikuasai si isteri. Betapa lemahnya hati seorang suami yang menurut telunjuk isteri dan betapa seorang menantu sanggup melukakan hati ibu mertua yang sepatutnya menjadi ibunya tatkala menikahi sang suami. Si menantu lupa bahawa tanggungjawab suaminya sebagai anak lelaki kepada ibunya tidak terputus selagi hayat dikandung badan dan dia juga terlupa bahawa syurganya di atas redha suaminya. 

Kisah ini juga memaparkan betapa seorang ibu sanggup menyembunyikan bahawa beliau bukanlah buta huruf malah mampu membaca dan masih bersangka baik terhadap sang anak.Meskipun tahu si anak mahu membuangnya, ibu ini masih sanggpu menunggu janji si anak untuk menjemputnya pulang. Betapa doa seorang ibu itu tiada taranya. Tiada kasih yang lebih hebat daripada kasih seorang ibu. Tanpa ibu, seorang anak itu tidak punya apa-apa dan sebagai anak lelaki, tanggungjawab terhadap ibu melebihi kasih terhadap seorang isteri. Sayang benarlah kalau seorang suami tidak mampu menjadi pemimpin yang baik untuk isteri dan keluarga yang dibentuk. Hati sebak bila si ibu dihalau keluar dari rumah dan si ibu masih mendoakan kebahagiaan sang anak, berdoa agar Allah tidak mencampakkan si anak ke neraka malah menghalalkan susu yang diberi! Inilah peranan dan mulianya watak selayaknya seorang ibu. Hanya kita sebagai anak yang harus menilai setakat mana peranan dan kasih sayang yang telah dan sedang kita berikan kepada insan bernama ibu..

Kisah ini turut memaparkan kisah di dalam kisah. Bagaimana seorang anak yang dibesarkan tanpa kasih sayang, tanpa didikan akhirnya mengambil atau mengutip si ibu tadi yang dibuang anaknya untuk sama-sama berkongsi kasih sebagai seorang ibu dan menerima kasih seorang anak. Bagaimana hebatnya kasih ibu yang dapat melentur hati seorang anak yang berpewatakan ganas dan samseng untuk kembali kepada fitrah. Menerima kasih sayang orang lain daripada mengharapkan kasih sayang anak kandung adalah kenyataan yang perit namun terpaksa ditelan. Benar-benar sarat dengan pengajaran sehinggakan anak lelaki yang hanya menjadi penonton di belakang asyik mengesat air mata. Mudah-mudahan sebagai anak, dia terkesan dengan cerita ini dan mula memahami. Anak ini tidak perlu dibebelkan kerana dia seorang yang cepat matang. Melihat dan mendengar sudah cukup untuk memberi erti kepadanya.

Apa yang dapat saya simpulkan:

Sebagai anak lelaki:
1. Ibu lebih utama daripada isteri
2. Walau apa pun yang berlaku, ibu wajib dipertahankan selagi apa yang dipertahankan tidak bertentangan syariat kerana tanggungjawab anak lelaki terhadap ibunya tidak akan terputus sampai bila-bila.
3. Jadi pemimpin yang dapat memimpin isteri, bukan dipimpin isteri

Sebagai isteri:
1. Perlu faham bahawa suami punya tanggungjawab yang lebih besar terhadap ibu
2. Keluarga suami ialah keluarga pertama yang perlu didahulukan selepas berkahwin
3. Syurga isteri terletak pada redha Allah dan suami
4. Isteri sebagai pendamping, bukan pemimpin utama sesebuah keluarga

Sebagai menantu:
1. Ibu suami wajib dihormati sebagaimana menghormati ibu sendiri
2. Keluarga mertua iala keluarga pertama, keluarga sendiri jatuh tempat kedua
3. Menjaga hubungan baik dengan ibu bapa mertua

Sebagai ibu:
1. Doakan yang terbaik untuk anak-anak, doa ibu senjata yang paling kuat
2. Berikan didikan agama yang baik, dan pendidikan yang seimbang
3. Jangan cepat berkecil hati kerana khuatir kita meletakkan anak-anak sebagai anak derhaka
4. Jangan terlalu mengongkong anak-anak yang kian membesar. Berbincang dan jadikan mereka sebagai kawan yang boleh berkongsi pelbagai cerita.

Mudah-mudahan siapa saja yang menonton cerita ini akan mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.....Malam itu anak bujang tidur lena berselimut BVSM dengan keadaan mata yang bengkak.....alahai anak.....