Followers

iklan..iklan......

Sunday, April 22, 2012

Terubat sudah.....

Pagi semalam kononnya badan nak dipecah dua. Separuh ke hospital untuk final meeting untuk seminar hujung minggu ni dan separuh lagi akan dihantar ke politeknik untuk satu urusan lain. Pagi lagi dah bangun,maklumlah..suami isteri kena bertugas hari ni. Masing-masing dengan peranan masing-masing. Puas memujuk anak-anak ke rumah pengasuh. Kebetulan semalam sekolah ganti, jadi anak-anak tak ada pilihan, kena juga pi rumah pengasuh. Dah bersiap-siap...elok je pukul 7.50 hujan mencurah-curah...nak keluar rumah pun tak boleh. Jejak pukul 8 hujan masih tak reda. Pukul 8.15, hujan masih lagi membasahi bumi Pasir Gudang. Sah jalan jem kalau hujan...Lebuhraya Pasir Gudang tidak boleh dijangka. Maka keputusan perlu diambil. Call ke hospital mengatakan tak dapat hadir. Tetapi nampaknya Isnin akan ke hospitallah dapatkan apa maklumat yang perlu. Maklumlah bila hujan lebat, pemandu memang ada masalah...Jadi badan kekal menjadi satu, tak jadi pecah dua.

Mungkin dah rezeki event di politekniklah kot. Sekurang-kurangnya boleh fokus sikit, taklah terkejar-kejar dari hospital,nak patah balik. Lagipun rehearsel semalam macam menakutkan je. Dahlah biasa jadi bidan terjun tapi kali ini gigil dia lain sikit. Ini pertama kali mengacara untuk majlis yang melibatkan menteri pengajian tingi. Selalu jadi orang belakang tabir aje..kali ni kena duduk di depan. Mau tak gigil....dua tiga kali jugaklah masuk toilet...hihihihi

Mujur juga tak pi hospital. Event yang dijadualkan jam 11.30 pagi , bermula jam 11 pagi sebab VVIP datang awal. Fuhhhhh...nasib baik buat keputusan yang tepat pagi ni. Dek kerana berdebar...ada jugak 'tergelincir' tapi  jalan terus.......Lagi-lagi yang dok barisan depan tu semua orang kuat poli. Pengarah, KJ JKM, KJ JPH, JRKV,HHP...semuanya wajah-wajah yang dikenali. Kalau orang lain, taklah jantung ni berdegup kencang sangat, maklum le tak kenal...bak kata Salleh Yaacob..."Have I care?"..hihihihi

Tapi apa yang paling best......rasanya dah dekat setengah tahun tak pegang si copong, kali terakhir kalau tak silap bulan 12, masa pelancaran PolyBoutique....hihihihi.terubat sudah.....Kalau tak kerana sahabat lama yang minta tolong, mungkin juga akan ku pertimbangkan banyak kali sebab hari Sabtu adalah hari bersama keluarga, kebetulan ada hal lain...kenalah 'adjust'.....alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik..(agaknyalah)....macam tak nampak major mistake........

Habis acara makan-makan, terus ambil Haziq di rumah pengasuh. Singgah di rumah seorang teman, ambil 'reward' untuk diri sendiri. Kek lobak......umphhhhh....dah licin pun........puas hati sebab amanah yang diberikan dahpun terlaksana, kerinduan pada si copong pun terubat sudah, dapat lepak-lepak dengan Haziq setengah hari.....puas.........

Tuesday, April 17, 2012

Rindukan si 'copong'...

Hari ni keseorangan menguruskan dua temujanji Aiman Haziq di HSI, di klinik rehab dan temujanji dental. Hati ni membuak-buak nak balik cepat, nak ke poli sebab anak-anak khas pekak JRKV akan berkonvo hari ni. Urusan selesai hampir pukul 12. Keluar dari HSI pukul 12, mujurlah jalan tak jem. Pukul 12.20 dah sampai poli. Uhuk....uhuk..konvo dah habis........Harap-haraplah dapat jumpa mana-mana student....akhirnya hanya jumpa beberapa orang sahaja.

Inilah kali pertama konvo tanpa saya....hukhukhuk.....macamlah penting sangat kan...Belum sampai setengah tahun tinggalkan poli, dah mengelitik nak join konvo. Dasar tidak sedar diri!!!hikhikhik......Mau tidak....rindu kat si copong dah ni.....Rasanya tau ke apa si copong tu? Abby Fana suka sangat pakai gelaran ni bila ambil alih konti. Kalaulah masih berada di poli, mungkin hari ini saya akan berada di dalam dewan, dan mungkin juga saya adalah orang yang paling berbangga bila dapat mengumumkan Anugerah Pengarah yang disandang oleh dua pelajar pekak yang pernah berada di bawah pengurusan saya dan menjadi anak-anak angkat secara tidak rasmi....Mungkin juga air mata saya akan menitik tatkala membaca biodata mereka. Mungkin juga saya terpaksa menyeka air mata yang gugur sebagaimana bangganya ibu bapa mereka terhadap kejayaan mereka. Bukan mereka sahaja, malah kepada semua ibu bapa anak-anak ini, pastinya akan berasa bangga melihat anak-anak mereka naik ke pentas dan menerima skrol masing-masing. 

Sebab itulah saya katakan saya rindukan si copong....si coponglah yang selalu bantu saya untuk memberikan maklumat kepada orang ramai. Si copong itu sungguh dekat dengan jiwa saya. Sukar saya nak bayangkan kosongnya jiwa saya bila tidak dekat dengan si copong dalam tempoh tiga tahun ini. Terpaksalah buat-buat gaya bermain dengan si copong menggunakan botol 100 plus....hihihi....Pasti saya akan rindukan saat-saat berkongsi si copong....eh tak pernah...copong masing-masing...,berkongsi rostrum je dengan partner yang selalu membuatkan saya berasakan diri saya kerdil apabila berdiri di sampingnya. Masa tu jelah nak rasa diri ini kecik. Tapi tadi dah ada juga yang kata saya kecik sikit daripada orang lain. Muahahahaha...motivasi tu tapi nak kecik lagi kufikir berjuta kali.........

Mungkin selepas tiga tahun, copong itu dah tak sudi nak menerima suara yang bakal berkumandang melaluinya. Lagipun dah ramai bakat-bakat baru, pelapis yang berjaya digilap untuk menggantikan posisi si penguasa copong ni. Dah tiba masanya untuk yang senior berundur...tak reti-reti? Orang pun dah jemu dah mendengar alunan rima yang sama...sesekali mahu juga mendengar irama yang malar segar kata orang-orang yang pandai berpuitis...tak apalah copong.....nak buat macam mana, selepas ini agaknya kau dah tidak sesuai hendak menjadi teman karibku lagi....uhuks....uhuks....





Sunday, April 15, 2012

Mahu PTPTN dihapuskan?

Pagi ini membaca berita yang membuatkan saya menggelengkan kepala. Apalah nak jadi dengan mahasiswa sekarang. Dah pandai nak berdemonstrasi, dah pandai nak buat perhimpunan, siap berkhemah lagi tu. Bukankah sewajarnya mereka ini berada di institusi untuk menuntut ilmu? Dok pi berkhemah menuntut yang bukan-bukan pada kerajaan tu buat apa? Bilangannya pula hanya 300 orang. Adakah mewakili semua suara mahasiswa? Ish3....saya ni mahasiswa tua....Daripada sudut pandangan saya, daripada korang pi dok berkhemah kat sana tu, baik balik universiti, pi belajar....kesian mak bapak....malu depa bila tau anak-anak pi berkhemah kat Dataran Merdeka semata-mata nak PTPTN dimansuhkan. Yang best pulak tu, tak mahu berganjak sehingga kerajaan penuhi tuntutan mereka.

Wahai adik-adik...cubalah berfikiran matang sikit. Kenapa nak PTPTN dimansuhkan? Adakah ianya membebankan kalian? Kalau membebankan, siapa suruh pi amek pinjaman? Korang anak orang kaya ke yang tak perlukan langsung bantuan kewangan untuk pengajian? Kalau betul anak orang kaya, then sesuailah korang mintak PTPTN dimansuhkan. Kalau korang anak orang biasa-biasa, macam saya juga, anak penoreh getah....sekurang-kurangnya pinjaman itulah yang dapat membantu untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Kenapa? Sebab mak bapak saya tak mampu nak berikan. Sekurang-kurangnya kerajaan berikan pilihan kepada saya. Bila sudah ada pilihan, jawapan kan ada di tangan sendiri. Tepuk dada, tanya akal. Kalau rasa perlu, ambil, kalau rasa tak perlu...tak perlulah ambil. Semudah itu. Tetapi..................................................................

Budak-budak sekarang masalahnya salah gunakan duit PTPTN. Dapat duit beli handphone mahal, beli ipadlah, gajet-gajet yang belum tentu penting. Belanja awek/pakwelah...lepas tu dok bising-bising melaung-laung nak hapuskan PTPTN. Apa cerita? Kalau nak sangat PTPTN dihapuskan, pertamanya..banggakan mak bapak...buat yang terbaik. Cubalah dapatkan first class, sah-sahlah pinjaman tu boleh ditukar menjadi biasiswa. Secara automatik tak perlulah nak bayar balik. Kalau tidak, dah adat meminjam dan berhutang..kenalah bayar. Jauh di sudut hati saya ni memang tak setuju AUKU dipinda apatah lagi kalau dimansuhkan. Inilah jadinya......nak sangat hak bersuara sampai menjatuhkan imej mahasiswa. Korang yang buat kerja, secara amnya nama mahasiswa yang terpalit. Nama saya sekali tau sebab saya mahasiswa!!! Jangan kerana nila yang beberapa titik, habis susu sekawah terpalit rasa yang tak sedap....Tak payahlah dok sibuk sangat nak berpolitik. Duduk di universiti tu pun bukannya lama mana, kalau program sains sosial ke..paling lama pun empat tahun.Lepas tu kalau nak berpolitik, silalah.....masa belajar tu buatlah cara belajar adik-adik......

Kita ni kadang-kadang cepat sangat terlupa dengan nikmat yang kita dah terima. Lupa pula tu nak bersyukur. Tahunya nak protes memanjang. Itu tak kena, ini tak bagus, ini kejam, menyusahkanlah. Kita ni hebat sangat ke? Apa yang kita buat ni sempurna sangat ke sampai tak ada silap di mana-mana. Cubalah renung-renungkan, belajar bersyukur......syukur dan syukur..........

Saturday, April 14, 2012

SAYA BANGGA DENGAN KAMU....KAMU......KAMU!!!!!!!!!.........

Semalam air mata saya mengalir lagi. Dua hari berturut-turut air mata kegembiraan mengalir daripada sepasang mata yang sepet ini. Bertambah sembam dan sepetlah mata saya akibat gagal membendung air mata yang keluar. Pertama, menangis bahagia kerana mendapat tatapan daripada mata sang anak syurga. Kedua....menangis bangga dan gembira dengan kejayaan anak-anak didik menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan.

Kalau nak cerita rentetan kebahagiaan itu, panjang sangat, saya pendekkan walaupun nantinya tetap akan kelihatan panjang jugak. Anak-anak didik saya adalah pelajar pekak. Mereka ini sering saja dipandang sebelah mata. Mungkin orang lain menafikan, tapi saya yang mengajar mereka sudah sepuluh tahun memang tahu ianya berlaku. Nak naikkan nama, pandai saja cari kelebihan pelajar khas tetapi bila nak suruh buat sesuatu untuk pelajar khas...hmmmmmm.......banyak sangat cakap belakangnya, banyak sangat birokrasinya......

Bila dilihat pada kurikulum pelajar-pelajar ini pada peringkat awal, rasa macam entah apa-apa saja kan. Lebih banyak teori daripada praktikal. Susah juga nak salahkan siapa yang gubal kurikulum ini pada peringkat awal sebab mereka adalah individu yang hebat dalam bidang fesyen tetapi mereka tidak tahu keperluan, batasan dan kemampuan pelajar khas. Kalau teori...memang 'lambat'lah sikit tetapi mereka wajar di'henyak'dengan subjek-subjek praktikal kerana di situlah kekuatan mereka. Bila dibuat perbandingan dengan kurikulum pelajar normal, ada sesuatu yang pelikdi situ. Mengapa pelajar normal belajar ini tetapi tidak pelajar khas? Maka bila peluang penjajaran semula kurikulum dilakukan, inilah masanya untuk kami bertindak! Beberapa subjek dijumudkan dan diganti dengan subjek baru. Mereka belajar membuat sampel jahitan, belajar jahitan kreatif, belajar sulaman dan mereka perlu menyiapkan PROJEK pada semester akhir! Sama seperti pelajar normal, tetapi dibataskan kepada hanya sehelai pakaian supaya pelajar dapat merasai sendiri bagaimana proses buat kajian, buat design. buat pola, menyiapkan toile dan seterusnya menyiapkan pakaian akhir langkah demi langkah. Mereka perlu belajar dan melalui pengalaman itu!!!

Selepas dua tahun, hasil pertama dapat saya lihat semalam. Walaupun banyak kata-kata sindiran, kata-kata sinis daripada pensyarah lain terhadap kemampuan pelajar khas, saya sangat BANGGA dengan Norazreen Ibrahim dan Syiema yang berusaha sehabis daya untuk memimpin anak-anak ini untuk menghasilkan sesuatu yang diluar jangkaan saya. Saya tak pernah mengharapkan mereka menghasilkan sesuatu yang SUPERB  kerana faham dengan batasan dan kudrat mereka. Tetapi apabila mereka berjaya membuktikan bahawa mereka setara dengan pelajar normal, wajarlah air mata saya mengalir. Biarpun mungkin mereka 'biasa-'biasa' saja pada mata orang lain, tetapi pada mata saya, mereka amat HEBAT dan ISTIMEWA!!!!!

Mereka tidak tidur malam, bersengkang mata. Kadang-kadang pensyarah dah tertidur keletihan, mereka tetap berusaha menyiapkan pakaian. Walaupun hanya 9 daripada 12 pelajar yang dapat menyiapkan pakaian mereka secara keseluruhannya, baki 3 orang lagi pun saya percaya hingga ke hari inimasih berusaha menyiapkan baki-baki terakhir usaha mereka. Mereka tidak akan berhenti sehingga pakaian itu mampu disiapkan. Saya pasti ibu bapa mereka pasti akan berasa bangga sebagaimana saya berasa bangga dengan mereka. Tidak adil kalau nak dibandingkan dengan pelajar normal kerana anak-anak saya adalah pelajar sijil. Seandainya mereka diberikan setahun lagi, saya percaya tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan keupayaan mereka. Kalau ada juga kata-kata sinis yang keluar.....saya pasti bahawa orang itu tiada 'RASA' dalam jiwanya...

Saya pamerkan bukti bahawa meskipun mereka pekak, mereka adalah insan-insan istimewa di hati saya......entah berapa kali mahu saya ucapkan:SAYA BANGGA DENGAN KAMU!!!!!!!!!

Sembilan daripada 12 rekaan yang berjaya dipamerkan










Cuma sedikit sedih, LO yang bertugas pada pameran semalam tidak langsung mengiring VVIP (Pengarah) Polieknik untuk menjenguk ke bilik pameran pelajar khas. Saya sendiri sangat terkejut dengan ruangan yang diberikan untuk pelajar ini mempamerkan pakaian mereka. Nampak agak tidak sesuai....ups....mulut tak ada insuran ni kan..........memang pun......bak kata Salleh Yaacob....."Have I care?"....Mentang-mentanglah mereka pelajar khas, ruang pameran pun ala-ala semberono je kan..........Ini tidak adil!!!!!!...Kepada pihak-pihak yang berkenaan.....sila timbang kembali, renung-renungkan dan selamat take action!!!!!!!!

Entah di mana datangnya idea saya..saya usulkan kepada Norazreen untuk gamit pengarah yang kebetulan baru saja usai menikmati hidangan tengah hari untuk ke ruang pameran. Norazreen pun tanpa berfikir panjang terus menjemput Pengarah dan Ketua Jabatan ke ruang pameran. Huhuhuhu sedih saya terlewat masuk, depa turun ikut tangga lain, saya tunggu di tangga lain. Sampai-sampai lawatan habis sudah........

Pelajar-pelajar bertanyakan kepada saya siapakah yang datang melawat. Saya katakan beliau ialah Pengarah Politeknik dan saya mahu pengarah tahu kewujudan pelajar-pelajar ini serta keupayaan mereka. Saya dapat lihat riak gembira dan bangga di hati mereka kerana pengarah sudi melawat pameran mereka. Mereka batch pertama untuk kursus projek, pastilah mereka akan bangga.......sayangnya gambar tak ada..huhuhuhu..Yang penting pengarah tahu ada komuniti kecil di sini yang perlu diberikan perhatian.....

Saya perlihatkan juga pelajar-pelajar kesayangan saya dengan hasil mereka..

Nur Liyana

Rohayati

Raja Rostam

Huey Chen

Muzaini

Akmal

Pooi Yen

Siti Aminah

Siti Hajaratullaili

Ada di antara mereka memenangi anugerah..

Adam Muzaini (kiri)- Anugerah Jahitan Teknikal Terbaik
Nur Liyana -Anugerah Rekaan Terbaik
Norhayatie- Anugerah Keseluruhan Terbaik
Raja Rostam-Anugerah Port Folio Terbaik

Ada juga yang menangis bila tak menang. Kenalah memujuk.....kalah memang itu adat pertandingan. Bagi saya, mereka buat yang terbaik sudah cukup membanggakan......Lagipun hadiah ada empat saja, mestilah ada yang tak dapat kan...........


Betapa bangganya saya dengan mereka. Sayangnya lepas ini saya dah tak berpeluang jumpa mereka. Hanya bertemu di laman muka bukulah nampaknya.....Namun kami sempat bergembira semalam. Bahagia....


Wajah-wajah ceria.........

SAYA BANGGA DENGAN KAMU!!!!~~~~~~~~

Tuesday, April 10, 2012

Bila perlu bertukar-tukar topi...

Semalam terbaca status seorang teman di facebooknya berkaitan pengharapannya kepada Yang Maha Esa agar diberikan kekuatan untuk melalui rutin-rutin harian kehidupan. Terpaksa bertukar 'topi' beberapa kali dalam sehari. Dalam sedar tak sedar rupanya saya juga mengalami situasi yang sama. Penat???? Jujurnya memang penat tetapi perlu juga harungi kerana pasti ada kenikmatan yang menanti. Saya sering berfikir alangkah bahagianya saya seandainya saya menjadi surirumah sepenuh masa. Saya hanya perlu memakai dua topi iaitu topi ibu dan isteri dalam sehari. Bila difikir-fikirkan semula, buat masa ini pastinya itu tidak akan berlaku melainkan saya berhenti kerja, buat bisnes di rumah dan waktu itu bolehlah saya memakai topi surirumah.

Buat masa ini saya tinggalkan topi sebagai seorang wanita berkerjaya tetapi saya gantikannya dengan topi pelajar tua....Seawal pagi saya memakai tiga topi sekali gus, topi mama, isteri dan ahli terapi. Usai peranan topi-topi tersebut, saya perlu menukar topi pelajar pula. Selalu sangat topi ini saya tanggalkan. Akhir-akhir ini kasihan juga pada topi ini yang seakan tidak sempat untuk dipakai. Tiba pada waktu petang, saya perlu kembali memakai topi yang saya pakai pada sebelah pagi. Sebelah malam langsunglah tak sempat hendak mengganti topi....

Bila perlu berganti topi, saya perlukan tenaga. Saya perlukan semangat, saya perlukan sokongan. Mujurlah encik suami sangat memahami. Selalu juga encik suami bertukar topi dengan saya menjadi surarumah. Andai kata saya tidak ke pejabat, saya memakai tiga topi secara intensif. Sekiranya saya di pejabat, sebolehnya topi pelajar itu saya cuba kekalkan hingga ke petang tapi selalunya GAGAL..hihihi..ada saja aktiviti lain yang menarik perhatian. 

Saya berharap agar saya mampu bertukar-tukar topi dan kekal bersemangat...masih mampu melemparkan senyuman, masih mampu menyimpan resah yang bertandang, masih berupaya untuk menjadi supermama terbaik untuk anak-anak......masih ada lagi topi yang ingin saya sarungkan di kepala tetapi....BELUM TIBA MASANYA.................masih menanti saat itu tiba......................