Followers

Thursday, February 3, 2011

Banjir oh banjir lagi.....

Tahun 2011 ini mencatat satu lagi sejarah buat Daerah Segamat kerana tragedi lima tahun lalu berulang kembali. Rasanya masih segar di ingatan kejadian banjir besar pada 2006, kini ia mengundang resah gelisah, duka nestapa warga Segamat sekali lagi. Teringat waktu 2006, Kg. Jawa lumpuh, bapa saudara yang dalam keadaan genting, kenderaan pacuan empat roda sepupu yang hanyut, video penyelamat yang minta diselamatkan, macam-macam lagi. Air sungai yang melimpah, ada nyawa yang menjadi korban, perhubungan terputus...kali ini bencana yang hadir lebih besar dan serius berbanding apa yang pernah berlaku dahulu.

Alhamdulillah, ketika kejadian bencana yang kini masih lagi berlarutan dengan lebih 40,000 mangsa di pusat pemindahan banjir, kami sekeluarga tidak berada di tanah tumpah darah kami, daerah kelahiranku, kalau tidak pasti kami juga menjadi diantara mangsa banjir yang memerlukan bantuan pelbagai pihak. Terasa ingin terbang sahaja ke Segamat dan merasai bagaimana perasaan mangsa-mangsa yang terlibat. Bak kata orang, put ourself in their shoes, then we will feel the same. Semua orang simpati namun setakat mana empati yang kita lahirkan? Kasihan juga pada orang kampung yang tidak boleh keluar, bekalan makanan agak sukar didapati kerana perhubungan darat terputus. Mujurlah orang kampung masih boleh bergantung hidup dengan makanan-makanan yang boleh didapati di kampung. Dengar khabarnya bekalan elektrik dan air juga terputus selama beberapa hari. Kita yang jauh ini pun hendak balik ke kampung pun tak lepas. Khabar di Yong Peng dan Labis tidak boleh dilalui sejak hari mengundi pada Sabtu lepas. Rasanya tatkala entri ini ditulis, jalan telah boleh dilalui oleh semua kenderaan. Cuaca masih lagi mendung dan kadang kala hujan renyai dan lebat sekali sekala. Jawabnya, duduk di rumah sahaja musim-musim cuti begini.

Kita anggap kejadian yang datang ini sebagai ujian. Ada yang mengatakan ianya musibah. Musibah adalah al-baliyyah (ujian) dan semua perkara yang dibenci oleh manusia. Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisân al-‘Arab menyatakan, bahwa musibah adalah al-dahr (kemalangan, musibah, dan bencana) (Imam Ibnu Mandzur, Lisân al-‘Arab, juz 1, hal. 535). Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini didasarkan pada sabda Rasulullah Saw, “Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah.” (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 1, hal. 431).
. Allah SWT berfirman:
“Tidak ada sesuatu musibahpun yang menimpa seseorang kecuali dengan ijin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepadanya hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Qs. al-Taghâbun [64]: 11). Justeru kita harus menerima musibah yang datang dengan redha kerana Allah Maha mengetahui segala yang tersirat.





Gambar-gambar di atas ni sedikit sebanyak gambar yang diambil oleh abang ipar sewaktu operasi menyelamat di Daerah Labis dan sekitarnya. Abang ipar sendiri terputus hubungan dengan keluarga selama 3 hari kerana terlibat dalam operasi menyelamat memandangkan beliau Ketua Balai Bomba Daerah Labis. Alhamdulillah, dengan adanya info daripada beliau jugalah, adik bongsu dan sepupu yang hendak bergerak pulang ke kampung dapat balik setelah dapat info laluan yang selamat digunakan. Kami sekeluarga pula ambil keputusan tidak balik ke kampung. Kenapa? Yelah, kalau balik kampung mesti balik kedua-dua kampung walaupun cuti hanya dua hari sebab kampung dekat-dekat. Saya di Segamat dan suami di Tangkak. Kalau balik ke Segamat, mesti tak dapat balik ke Tangkak sebab jalan Segamat-Tangkak terputus hubungan kerana jambatan runtuh di kawasan Batu Badak katanya. Sampai hari ini masih belum boleh dilalui dan begitulah sebaliknya, balik Tangkak tak boleh balik Segamat. Jadi, tak balik...bagi adil. Mungkin atuknya yang kena datang jenguk cucunya pulak. Ngee......

Pernah sekali melalui kawasan yang dinaiki air di sekitar Kota Masai, anak sulung bertanya.."Mama..kenapa banyak sangat air banjir?..hmmm.." tanah dah tak mampu menampung air yang terlalu banyak. Kapasiti air yang terlalu banyak sebabkan air tu naik dengan cepat. "Kapasiti tu apa ma?" Menepuk dahi si mama...lupa yang mama sedang bercakap dengan anak sulung yang umurnya cuma 7 tahun!!!! Kapasiti tu jumlah..atau kekuatan....maksudnya..jumlah air yang banyak sangat....sebab tu tanah tak mampu nak tampung, maka jadilah banjir....."ooooooooo...mengangguk-angguk si Rahimi. Fahamlah agaknya tu.......kalau tak faham pun, buat-buat faham sudahlah....

Saya tanya jugak, kenapa hujan terjadi? Eh si adik pulak menjawab.....Langit dah berat....jadi air turun.....Pandainya anak mama....."Cikgu ajar'.....pandai cikgu......Anak-anak sekarang memang lebih cekap dan lebih bijak kan..Bila hujan, kita kena bersyukur sebab itu rahmat yang Allah beri. Bila hujan juga kita kena sabar kerana itu juga sebahagian daripada ujian yang harus kita tempuhi. Bila hujan menimpa juga kita perlu menginsafi diri, muhasabah kembali apa yang telah kita atau tangan-tangan manusia lakukan dengan rakus kepada bumi ini. Berfikir sejenak dan renungkan mengapa banjir terjadi....


Bandar Segamat yang lumpuh...

Kita yang tinggal di kawasan yang tidak dilanda banjir ni patut bersyukur sangat-sangat kerana musibah ini tidak melanda kita. Bayangkan derita mereka yang kehilangan harta benda yang dikumpul bertahun-tahun, rumah yang rosak, barang-barang yang hilang, hidup menumpang walaupun sementara, anak-anak kecil yang sakit, tak terbayang bagaimana perasaan mereka ketika ini. Hanya dapat didoakan agar mereka yang terlibat terus kuat, bersemangat, tabah serta redha dengan Ujian ini. Pasti ada jalan keluarnya.....

No comments:

Post a Comment