Followers

Saturday, February 12, 2011

Ujian bertandang lagi...

Hati selalu mengingatkan bahawa setiap kali ada ujian yang datang, itu tanda kasih Allah kepada kita. Kita perlu yakin bahawa Allah tidak akan menurunkan ujian kepada hambaNya di luar batas kemampuan. Sama ada ujian itu sebagai kifarah dosa-dosa yang pernah kita lakukan atau Allah hendak memberikan nikmat yang tidak ternilai kepada kita. Sabar, redha dan berusaha mencari penawar adalah perkara yang perlu kita laksanakan tatkala didatangi ujian. Setiap manusia, setiap individu pasti melalui ujian yang berbeza-beza. Kadang-kadang sakit itu ujian, kaya itu ujian, miskin juga ujian, pangkat dan harta juga ujian. Mungkin ada yang menyedari dan mungkin juga ada yang terlupa dan terleka dengan ujian dunia yang datang dalam pelbagai bentuk, masa dan keadaan serta bagaimana ianya didatangkan kepada kita.

Minggu ini saya diduga dengan nikmat sakit. Ketika sihat, macam-macam perkara boleh kita buat. Bekerja, lincah di rumah, bersenam, bermain dengan anak-anak, bergurau senda dengan anak-anak dan melakukan apa sahaja yang ingin saya lakukan. Namun apabila nikmat sakit mula datang dan mengganggu nikmat sihat yang dikurniakan, barulah terasa bagaikan kehilangan sesuatu. Nak buat itu tak boleh, nak buat ini rasa tak selesa, gelisah, resah semuanya bercampur baur.Punca sakit? tuan punya badan juga yang punya angkara (hmmm....sendiri faham sudahlah....)..tambah pula diserang demam sejak hari Isnin, masih lagi boleh bertahan..masih lagi pergi ke pejabat tetapi apabila tiba hari Khamis, rasanya dah tidak tertanggung, terpaksa jugalah menyerah diri di klinik. Dapatlah MC dua hari. Kebetulan pula Aiman Haziq, putera istimewa saya juga diserang demam panas,batuk serta kahak yang pekat, maka jadilah mama yang sakit menjaga anak yang sakit. Mujur sang suami banyak membantu dan memahami kondisi saya yang tidak menentu, jadi suamilah yang banyak mengambil alih tugas di rumah. Mana tidaknya, bila berdenyut-denyut rasa sakit itu datang, maka tiada apa yang mampu saya lakukan selain berbaring sahaja di tempat tidur. Agak bosan juga hanya berbaring selama 2 hari di tempat tidur. Apabila anak juga sakit, terpaksa jugalah gagahkan diri membawa Haziq ke klinik untuk ambil 'nap' memandangkan corak pernafasannya yang kurang menyenangkan. Suhu badannya juga lambat turun walaupun ubat 'rectal' telah dimasukkan. Lama pula kali ini demamnya. Agaknya sebab dah agak lama juga Haziq tidak diserang demam secara tiba-tiba selepas mengambil TF, kali ini mendadak demam panasnya.

Semoga ujian ini cepat berakhir kerana ada satu misi yang bakal dilaksana minggu hadapan.Mudah-mudahan sempat menyaksikan mimpi menajdi kenyataan dengan tubuh yang sihat. Duhai anak kesayangan,cepatlah sembuh ye sayang..........semoga Haziq kuat melalui ujian ini...mama akan sentiasa bersamamu sayang....


No comments:

Post a Comment