Followers

Saturday, March 19, 2011

Pertembungan PJB vs KRKM

Hari ini ditugaskan sebagai sport reporter untuk pelawanan Liga Bola Sepak IPT 2011 bagi pasukan tuan rumah PJB menentang pasukan Pelawat KRKM (Kolej Risda Kampus Melaka). Punyalah kelakar, rentetan kursus dua minggu lepas, hingga ke hari ini kaki tangan saya seolah terikat, tak boleh lari ke mana dah dibuatnya. Hari ini, bukan sahaja menjadi sport reporter, GC (General Coordinator) perlawanan mengarahkan saya untuk menjadi juruhebah perlawanan. Jarang sekali juruhebah perlawanan adalah wanita tetapi bukan lagi mustahil di stadium Pasir Gudang kerana saya telah menjadi pemecah tradisi!. Adakah kerana ketiadaan En Razak yang dah biasa buat kerja-kerja begini sejak tahun lalu maka saya dijadikan pengganti? atau adakah kerana saya sebenarnya dicabar untuk membuktikan kemampuan saya? Saya tidak pasti jawapan apakah yang tepat tetapi saya seronok juga mencabar diri dengan sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Kalaulah saya ni minat bola, alangkah mudahnya tugas ini saya rasakan. Malangnya, saya bukanlah peminat sukan bola sepak tetapi tetapi tugas itu tetap saya laksanakan.

Sedang elok saya sampai di stadium Pasir Gudang, jam tepat menunjukkan angka 4 petang. Perlawanan bermula lagi 45 minit. Saya diberikan penerangan tak sampai 5 minit tentang apa yang perlu saya laksanakan. Saya diberikan dua keping kertas yang mengandungi skrip perlawanan dan senarai pemain. Saya hanya ada masa lebih kurang setengah jam untuk bersedia. Bagi orang yang dah biasa, mungkin mudah tetapi bagi saya yang baru pertama kali terlibat dengan liga bola sepak ini memang agak berdebar, takut dan cemas. Mujur ada skrip...Hampir sebelas tahun di Pasir Gudang, inilah pertama kali saya menjejak Stadium Pasir Gudang. Itupun kerana tuntutan tugas. Sampai-sampai pula, terus duduk di tempat yang paling tinggi iaitu di bilik kawalan (konti) di mana saya dapat melihat keseluruhan perlawanan dengan jelas.

Tugas dimulakan dengan pengenalan pemain, pengadil, GC, koordinator perlawanan serta jurulatih kedua-dua pasukan. Rasanya saya tertinggal menyebut nama ketua jurulatih pasukan lawan. Alamak!!!. Semua pengumuman ini perlu dibuat sebelum bendera FIFA dibawa masuk dan perlawanan dimulakan. Mujur sangat ada seorang staf atau pegawai penjaga stadium yang sentiasa bersama di dalam konti. Banyak juga perkara yang dapat saya pelajari. Bagaimana mencatat pergerakan keluar masuk pemain supaya mudah diumumkan, posisi pemain dan bila masa yang sesuai untuk memulakan pengumuman, semuanya dipandu oleh pegawai tersebut. Maklumlah, saya budak baru belajar........

Mata memang tak boleh nak melilau-lilau. Sepanjang perlawanan saya perlu memberikan perhatian kepada pergerakan pemain di atas padang. Asakan demi asakan dari kedua-dua pasukan menjadikan permainan itu tambah seronok. Apa yang kurang menyeronokkan hanyalah gelagat penonton yang menjerit-jerit dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang sopan. Wajarlah anak-anak di bawah umur tidak dibawa menyaksikan perlawanan sebegini, mau terpengaruh dibuatnya. Mula-mula ingatkan ingin juga anak sulung dibawa bersama tetapi bila telah berada di stadium, barulah saya sedar, mujur sangat tak bawa anak-anak. kalau tidak.....banyak soalan yang perlu saya jawab nanti.

Sepanjang 90 minit perlawanan, nampaknya nasib berpihak kepada pasukan tuan rumah yang mengejutkan pasukan pelawat, KRKM dengan pukulan 3-0. Saya paling suka gol kedua yang dijaringkan oleh George yang bergerak secara solo dan menghasilkan gol yang sangat cantik pada perkiraan saya yang 'buta bola'. Nampaknya PJB mula menunjukkan taring. PJB masih dahagakan gol selepas membelasah Nilai College University pada 12 Mac lalu dengan 6-0. Kemenangan hari ini merupakan amaran kepada pasukan-pasukan lain tentang kemaraan dan isyarat berjaga-jaga dalam pertemuan-pertemuan akan datang.

Perlawanan ini adalah pengalaman pertama saya sebagai wartawan sukan dan juruhebah tidak bertauliah..hihihii...sekurang-kurangnya saya dapat pengalaman ini sebelum saya mencari pengganti secepat mungkin. Rasanya kalau menulis ok lagi bagi saya tetapi kalau nak duduk 90 minit menghadap perlawanan bola............hmmm...saya perlu mencari pengganti kerana ramai lagi pelapis yang perlu dihasilkan kerana saya punya agenda yang lebih penting selepas ini. Tugas sebagai webmaster MSP tetap akan saya teruskan walaupun dalam keadaan cuti belajar. Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan buat sehabis baik. Cuma kalau nak jadi juruhebah sukan bola ni..........hihihihihihihi..fikir dululah......

No comments:

Post a Comment