Followers

Sunday, October 3, 2010

3 juta rakyat Malaysia merupakan pesakit "Split Personality"

Akhir-akhir ni macam-macam berita yang tersiar di akhbar membuatkan kita semakin rasa tak senang, bertambah rasa tak tenang dan semakin membimbangkan jiwa yang dulunya begitu aman dan damai. Mana tidaknya...macam-macam yang kita dengar dan kita tonton hari ini sama ada di akhbar atau di kaca televisyen membuatkan kita menjadi semakin takut dalam persekitaran kita sendiri. Terkini, kisah pembunuhan kejam insan berprofil tinggi. Suspek utama adalah seorang peguam yang secara zahirnya dikenali sebagai seorang individu yang baik di kaca mata masyarakat yang mengenalinya. Siapa sangka di dalam kebaikan yang dipancarkan itu, rupa-rupanya tersimpan sikap yang tidak dijangka dan membahayakan. Boleh dikatakan suspek utama mempunyai dua personaliti atau menghadapi masalah Split Personaliti. Mungkin pada satu ketika insan-insan yang menghadapi masalah ini dilihat sebagai individu yang stabil daripada pelbagai aspek seperti emosi, sosial dan rohaninya. Tetapi, pada suatu ketika pula boleh bertindak di luar jangkaan fikiran manusia yang waras.

Kalau dulu kita tidak asing dengan penyakit schizofrenia iaitu keadaan di mana berlaku ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak manusia, keadaan Split personaliti ini nampaknya mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa. Pesakit lazimnya akan menghidapi halusinasi, mendengar bisikan-bisikan yang mengarahkan untuk berbuat sesuatu, berada dalam keadaan kemurungan, sering bersendirian, bercakap seorang diri dan sering memendamkan segala masalah yang dihadapi.Pesakit juga sering berasa tidak selesa berada di dalam kumpulan yang ramai kerana menyangka semua mata memerhatikan mereka. Selain itu, pesakit akan lebih mudah berubah emosi dalam keadaan-keadaan tertentu.

Amat sedih apabila mendengar kes ayah mengelar leher anak, anak membunuh ibu bapa dan ahli keluarga malah insan yang tidak berdosa juga boleh menjadi mangsa. Kesemua kes yang terpapar ini boleh dikategorikan sebagai kes yang melibatkan pesakit-pesakit Split Personaliti. Angka 3 juta yang dikeluarkan melalui satu kajian yang dijalankan di Malaysia adalah jumlah yang begitu besar dan amat membimbangkan. Gender lelaki dan wanita mempunyai kemungkinan yang sama untuk menghadapi masalah Split Personaliti tetapi dikatakan lelaki lebih cenderung untuk menghidapnya. Semakin hari kes sebegini semakin meningkat. Usaha yang giat dan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berkenaan perlu dipergiatkan bagi membendung gejala Split Personaliti ini daripada terus menular, merebak dan menjadi barah yang sukar dikawal. Keteguhan pegangan agama, sikap individu dan sokongan keluarga amat penting dalam menghadapi saat-saat genting apabila ada ahli keluarga disahkan mengalami Split Personaliti. Usaha, doa dan tawakal akan menjadi senjata paling ampuh untuk mengekang segala gejala yang tidak diingini dalam masyarakat. Mudah-mudahan kita akan terhindar daripada segala bahaya, segala tipu daya dan hasutan syaitan serta sentiasa berada di landasan yang benar...

No comments:

Post a Comment