Followers

Tuesday, October 5, 2010

Gara-gara PTK...

Hari ini tergerak lagi untuk menulis. Ketika entri ini ditulis, saya berada di Suria City Hotel Johor Bahru kerana menghadiri sesi penilaian untuk Penilaian Tahap Kecekapan Siri 2/2010 bagi Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi Gred DH41. Ramai juga teman-teman yang sama-sama sedang berjuang untuk memperbaiki keputusan PTK yang lepas. Kalau dahulu, proses penilaian hanya dibuat di atas kertas sama ada dengan menjawab soalan aneka pilihan dan menjawab soalan-soalan esei, kali ini bentuk pentaksiran telah berubah.

Bagi yang mengambil komponen fungsional dan generik, para calon diwajibkan untuk mempersiapkan diri membentangkan proses pengurusan kerja bagi tahun semasa untuk dinilai yang merangkumi 50% markah keseluruhan. 50% markah lagi akan dinilai melalui tugasan individu yang telah dibuat lebih awal. Selain itu, para calon juga tidak terlepas untuk dinilai melalui kumpulan perbincangan, penilaian personaliti dan juga menjawab soalan aneka pilihan.

Memang terasa hendak pecah kepala dibuatnya sementelah semua kerja dibuat pada saat-saat akhir. Macam-macam insiden yang berlaku. Kesibukan kerja luar selama 3 minggu berturut-turut menyebabkan saya GAGAL fokus dalam proses menyiapkan diri menghadapi PTK. Format tugasan salah, tugasan lewat siap, SKT lupa buat,...macam-macam. Nak marahkan diri sendiri rasanya tak berbaloi pula kerana semuanya bergantung kepada bagaimana pengurusan diri diimplimentasikan. Kalau dulu selalu marahkan pelajar supaya bijak membahagikan masa, rupa-rupanya kadang kala kita sendiri terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa ada masanya kita juga berada dalam kondisi yang sama.

Sang suami hanya boleh tertawa melihat kekalutan saya sebelum bergerak ke hotel di mana tempat kami menginap. Beliau hanya berkata, inilah keadaannya tatkala saya akan melakukan sesuatu perkara penting. Fenomena yang sama sahaja dilihat, kalut, kelam kabut dan tak tentu arah. Apa yang pasti di akhirnya semuanya dapat terlaksana. Mudah-mudahan kali ini juga begitu....

Sampai sahaja di hotel, terlihat ramai juga rakan-rakan sekerja dari institusi yang sama turut serta menyahut cabaran. Sayangnya, hanya dua calon dari Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual. Soalan bermain di fikiran, adakah mereka takut hendak menduduki penilaian ini atau adakah mereka culas hendak membuat tugasan yang dianggap remeh atau adakah mereka sudah tidak kuasa untuk mengambil peperiksaan berulang kali tetapi hasilnya tetap tidak memberangsangkan? Jawapan-jawapan tersebut hanya ada pada mereka dan mereka sahajalah yang lebih layak menjawab setiap persoalan tersebut.

Saya teringat kata seorang teman, apa yang kita buat ini adalah pengalaman yang mungkin tidak akan kita temui di mana-mana. Pada ketika inilah kita akan bertemu rakan-rakan baru, kita akan berkongsi-kongsi maklumat dan pengetahuan, kita akan cuba memberikan yang terbaik, justeru, nikmati momen-momen ini dan bergembiralah......Kata-kata itu nampak indah namun hakikatnya, calon-calon yang berada di sini sukar untuk ditebak apa yang bermain di minda mereka masing-masing. Saya percaya, ketakutan akan hilang apabila kita berjaya melalui atau melepasi apa yang kita takuti sebelum ini. Kemudian, selepas itu barulah kita akan merasakan kenikmatan dan kegembiraan tersebut....

Petang ini adalah giliran saya sebagai calon pertama untuk membentangkan pengurusan kerja bagi tahun semasa dan sebelah malam akan dimulakan dengan penilaian secara berkumpulan melalui sesi perbincangan berdasarkan tajuk-tajuk yang akan diberikan ketika itu juga. Doakan saya berjaya melalui situasi ini setelah beberapa kali slide pengurusan kerja yang dibuat diedit dan dibuat penambahbaikan....Saya ingin menikmati kegembiraan dan menghilangkan semua ketakutan yang bersarang di hati...Kejayaan hari ini  mungkin akan jadi pemangkin kejayaan untuk episod hari depan. Aminnn.....

No comments:

Post a Comment