Followers

Thursday, December 23, 2010

Debaran hati ibu...

Hari ini genap sebulan lamanya tiada sebarang entri dipaparkan di dalam blog ini. Hari ini juga terdetik di hati untuk meneruskan bait-bait kata yang lama tidak diasah. Tiga hari cuti lebih awal diambil bagi menghadapi hari ini, 23 disember 2010. Kenapa? Hmmmm....menjalani dan melewati hari Orientasi Tahun 1 2011 bagi anak sulung yang baru hendak memasuki alam persekolahan. Diam tak diam dah hampir 8 tahun perkahwinan kami dengan tiga orang cahayamata. Anak yang sulung pun sedar tak sedar dah nak masuk darjah 1 dua minggu lagi. Begitu cepat dan pantasnya masa berlalu. Bak kata pepatah, sekelip mata berubah.....Cuti tahun ini masih berbaki 21 hari. Puaslah memikirkan hendak buat apa kalau cuti tidak dihabiskan, justeru amat tepatlah kiranya mengambil cuti di saat-saat sang anak memang memerlukan kehadiran dan perhatian sang ibu dalam menghadapi detik-detik pertama sebagai pelajar.

Rasanya dah hampir dua minggu jugalah fail kelengkapan dokumen dan peralatan sekolah anak diusung ke sana kemari supaya tidak ada satu pun yang tertinggal. Membeli kelengkapan sekolah, buku-buku tulis, seronok walaupun perlu mengeluarkan belanja yang agak besar. Masa nilah pendapat kawan-kawan yang dah ada pengalaman sangat berguna. Di mana nak dapat barang yang murah, semua dah kena belajar untuk survey...nanti-nanti senang untuk adiknya pulak. Kadang-kadang terasa semacam mamanya pula yang over excited. Si ayah belikan baju-baju, mama pulak tanggungjawabnya meneliti baju-baju yang dibeli, ubahsuai mana yang patut......kalau nak tempah mahal pulak, nak jahit sendiri ilmu tak cukup lagi, jadi kenalah survey dulu kedai-kedai yang tawarkan harga yang berpatutan dan bolehlah dianggap murah. Akhirnya.....BIG 10 Masai menjadi pilihan. Kualiti baju pun ok, harga pun tidaklah membebankan. Masih ada banyak ruang penjimatan...hehehehe....

Bila bercuti, semua orang ingat pergi rehat-rehat, jalan-jalan,hmmm....tak ada maknanya.....kalaulah setiap kali ambil cuti tu dapat betul-betul pergi holiday ke...enjoy-enjoy ke...ok jugak tu tapi semua tu cuma kehendak yang boleh jatuh ke kepentingan yang entah dah ke berapa dah dalam senarai.....pasti ada kepentingan bila ambil cuti. Pastinya keutamaan untuk anak-anak. Kali ini, mama dah bersedia untuk menghadapi bersama hari-hari pertama Rahimi di Sekolah Kebangsaan Kopok.

Hari ini, seawal pagi mama dah bangun, buatkan sarapan dan bergegas ke sekolah sebelum jam 8.00 pagi. Ada agenda yang perlu dihormati. Terserempak Wahyuni, Marina, Khalida, Enab, Johari dan Linda, Kak Shila dan ramai lagi. Selepas mengambil nombor giliran, kenalah beratur pulak untuk mendaftar. Suasana pula sejuk, hujan renyai-renyai, semua berpusu-pusu nak masuk ke dalam khemah. Mujur nombor giliran tak terlalu besar. Selepas mendaftar, anak-anak di bawa ke kelas-kelas sementara yang ditentukan untuk mengambil dua jenis ujian bagi menentukan kelas anak-anak apabila memulakan sesi persekolahan nanti. Rupa-rupanya ramai juga kawan-kawan seangkatan yang sama-sama menghantar anak ke sekolah buat kali pertama. Ibu bapa diberikan taklimat oleh guru besar sekolah Kebangsaan Kopok, Puan Rohaya. Taklimat yang simple, jelas dan mudah difahami. Anak-anak berhepas pulas menjawab soalan-soalan. Tepat jam 11.30 pagi, anak-anak dilepaskan dari kelas masing-masing selesai menjawab dua kertas ujian iaitu kertas Bahasa Melayu dan matematik.

Boleh jawab? senang tak? soalan diajukan kepada anak sulung yang keluar dari kelas. "senang jerr..." sangat lancar jawapan itu keluar dari mulutnya. Kita yang berdebar-debar dia tak kira.....ujian ini akan menentukan kelas mana akan diduduki bila sesi persekolahan dimulakan nanti. Harap-harap dapatlah menjawab soalan dengan baik. Soal di kelas mana diletakkan, itu hal nombor dua. Bayangkanlah, 12 kelas bagi darjah 1 tahun 2011 dan setiap kelas dalam anggaran 40 pelajar. Ramai juga tu pesaingnya nanti.........Selesai urusan di sekolah, bergegas pula ke Masai. Terpaksa carikan Rahimi kasut baru sebab kasut sewaktu tadika dulu dah sempit, kasihan pula tengok dia terpaksa pakai kasut ketat....ingatkan muat lagi tetapi pertumbuhan kanak-kanak memang tak terjangka. Rasanya terlalu cepat dia membesar...selepas tu terus balik ke rumah sebab dah tak tahan hendak tidur. Al-maklumlah kurang tidur malam sebelumnya disebabkan kodisi anak yang kecil tidak begitu menyenangkan. Hampir setiap 10 minit terjaga. Rasanya dah hampir pagi baru dapat melelapkan mata................

Selepas ini debaran akan terus bersarang di hati...bagaimana hari pertama anakku nanti, bagaimana pergaulan dengan guru dan rakan-rakannya, bagaimana jadual hantar dan mengambilnya dari sekolah dan macam-macam lagi tetapi penuh yakin anakku pasti akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Anak-anak zaman sekarang memang sudah terkehadapan dan kelihatan lebih cepat matang dan memahami persekitaran. Semoga terus menjadi anak yang cemerlang dan terbilang, membahagiakan kedua orang tua dan sentiasa berjaya di dunia dan di akhirat.........Hilangkan debar di hati mama, gantikan ia dengan bunga bangga, duhai anak belahan nyawa, pastikan jaya membina bahagia...............

No comments:

Post a Comment