Followers

Wednesday, June 15, 2016

Kisah Hamil (Part 1)

Assalamualaikum semua...

Waktu catatan ini ditulis, saya sedang menunggu hari. Sudah masuk 37 minggu. Tak sabar pula rasanya menunggu kelahiran yang istimewa ini, almaklumlah tahun lepas dikejutkan dengan pemergian anak bongsu, tahun ini Allah gantikan dengan begitu cepat untuk memulihkan duka hati. Alhamdulillah. Yang itu dah pasti tempatnya di syurga, di bawah jagaan Ibrahim yang mulia dan sedang berbahagia.

Saja nak kongsi betapa unik dan mencabarnya sepanjang tempoh kehamilan ini. Anakanda saya pergi pada pagi Jumaat 8 Mei 2015 sewaktu tangan saya sedang menyuapkan makanan ke mulutnya. Serangan sawan selepas tersedak menjadi asbab dia dijemput Allah. Sekelip mata tanpa tanda dan semuanya bagaikan sebuah mimpi. Apabila pipi dicubit, ya..ia bukan mimpi sebaliknya hakikat yang perlu dihadapi.

Awal November 2015, saya teringin benar hendak makan laksa Penang di sebuah kedai makan di hadapan institusi tempat saya bekerja. Sedap. Esoknya saya ulang lagi. Sehingga hari ketiga. Saya pun jadi pelik mengapa selera saya begitu, sehingga tiga hari berturut-turut! Hati mula berdetak. Adakah itu satu petanda? Dalam debar saya membeli alat ujian kehamilan dan sah! dua garisan merah jelas dan terang! Saya dan suami berpandangan. Syukur dan tidak percaya. Begitu cepat ianya hadir sedang kami belum benar-benar bersedia waktu itu namun tetap merasa bersyukur. Selepas 7 tahun, kami bakal menerima kehadiran orang baru!

Awalnya ada kerisauan yang muncul di hati. Bagaimana agaknya keadaan bayi yang bakal lahir nanti. Adakah bakal sama seperti abangnya? Meskipun kami boleh menghadapinya sekiranya apa yang dibimbangi itu berlaku, kerisauan itu tetap muncul sesekali. Redhalah walau apa yang akan kita lalui, kata suami. Jadi bermulalah satu lagi fasa baru dalam kehidupan keluarga kecil kami.

Hari makin hari dilalui dengan gembira. Alhamdulillah, kehamilan kali ini saya tidak mengalami alahan yang teruk. Tiada morning sickness seperti kehamilan-kehamilan lepas. Seingat saya, sepanjang 37 minggu kehamilan, tidak pernah saya muntah beserta makanan tetapi, saya muntah mengeluarkan air kuning hijau yang paling pahit tu. Bila dah tak ada apa dalam perut. Ya, sangat perit hingga kapilari darah di muka pecah dan timbul bintik-bintik merah di sekeliling mata dan pipi. Alhamdulillah, cuma 6-7 kali sahaja. Selebihnya alhamdulillah, selera makan seperti biasa.

Rupa-rupanya kehamilan kali ini banyak juga cabarannya walaupun secara kasarnya nampak mudah. Seawal kehamilan saya memasuki usia 3 bulan, saya menyertai sebuah jawatankuasa Sukan IPT yang berlangsung di UTM Skudai. Dua minggu berulang alik ke Skudai. Cuma, berlaku satu kejadian yang mencemaskan sewaktu sedang mahu bersedia memulakan tugas. Ketika itu hari pertama saya bertugas sebagai emcee bagi upacara penyampaian pingat Acara Taekwando di Dewan Sultan Ismail. Menuju ke hadapan pentas dengan perlu melalui kerusi penonton di pintu dewan. Saya menuruni tangga dengan berhati-hati. Sayangnya saiz tangga yang tidak sama membuatkan saya tidak perasan bahawa ada anak tangga yang agak rendah. Keadaan dewan yang agak gelap menghadkan lagi jarak pandangan.

Sedar-sedar, saya sudah terjatuh dan lutut sudah berada di tangga. Alhamdulillah tangan kanan saya sempat menahan tubuh daripada tergolek sedang tangan kiri masih kejap memegang plastik berisi makanan goreng-goreng untuk dimakan bersama-rakan-rakan setugas. Malu gila waktu itu sebab semua mata memandang. Pantas beberapa pelajar cuba membantu dan saya berterima kasih untuk itu. Lantas saya bangun dan memastikan saya boleh berdiri. Dalam hati pada waktu itu, bukan saya yang difikirkan, tetapi anak yang saya kandung. Hati mula cemas. 

Keesokannya saya terus ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan scan keadaan bayi. Alhamdulillah...semuanya baik-baik sahaja. Lega hati dan dapatlah saya meneruskan tugas dalam tempoh dua minggu yang diamanahkan. Rupanya ujian kehamilan ini bukan setakat itu sahaja. Allahurobbi...ada lagi yang menunggu rupanya. Apa yang berlaku seterusnya? Saya ceritakan pada Part 2 nanti ya....

Thursday, June 9, 2016

Suka duka 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hampir sembilan bulan saya tidak membuat sebarang coretan di laman blog ini. Terasa begitu lama dibiarkan laman ini kosong dan sepi. Mungkin semangat terbang ke laut, sukar digapai semula. Namun, hari ini di depan PC di pejabat, sementelah tidak terlalu banyak tugasan yang mashu diselesaikan, tangan mula menggodek semula laman blog yang sudah pun mencapai lebih 50k viewers. Alhamdulillah, ianya perjalanan yang panjang sebenarnya, bermula dari tahun 2009.

Semoga setiap entri yang dimuatnaik di dalam laman blog ini selepas ini merupakan entri yang bermanfaat dan menjadi asbab pahala berpanjangan untuk saya dan sesiapa sahaja yang membaca.

Beginilah hidup kita, ada masanya naik dan turun. Ada masanya berduka dan gembira. Begitu juga saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tahun lepas merupakan tahun yang benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan jiwa apabila kehilangan anak istimewa yang amat saya sayangi. Kehilangan tanpa tanda itu bukan mudah untuk dihadapi selepas tujuh tahun menyantuni anak ini. Sangat terkesan di hati. Namun benar, Allah takkan menguji di lura kemampuan hamba-Nya.

Saat melalui ujian tersebut, Allah gantikan serta merta kehilangan itu dengan sebuah kegembiraan. Selepas lima bulan pemergian anakanda tercinta, saya dikurniakan hadiah istimewa, iaitu kehamilan baru yang ditakdirkan menjadi penyejuk hati. Allah jelas tidak mahu saya tenggelam dalam kesedihan, sebaliknya bangun, bangkit dan menerima amanah baru ini dengan penuh syukur.

Hari ini, sewaktu catatan ini dituliskan, saya sedang menghitung hari untuk melahirkan. Mohon doa agar saya sihat dan dapat melahirkan dengan mudah serta dihadiahkan anak yang sempurna fizikal, akal dan semuanya sebagai pengubat hati yang pernah berduka.

Mohon doa agar semua urusan dipermudahkan dan saya dapat terus berkongsi sebuah kisah kehidupan dalam laman blog ini, inshaAllah.

Semoga kita berpeluang bersembang lagi ya!
.
.
Hmm...nak bagi baby nama apa ya kalau lelaki dan kalau perempuan? Ada cadangan?. Bolehlah kemukakan di ruangan komen ya...

Sunday, September 13, 2015

Setahun berlalu

Assalamualaikum sahabat semua...

Punyalah lama tak update blog ni.

Sekali tengok dah nak hampir setahun bersawang. Selak sana sikit, selak sini sikit, rupanya so many things happened in a year.

Terlalu banyak yang berlaku. Sukar mahu diterjemahkan dengan perkataan apatah lagi mahu berkongsikan setiap ujian yang datang.

Fasa paling kritikal dalam setahun setengah ini sebenarnya ialah apabila saya kehilangan anak lelaki bongsu, anak paling istimewa, anak hadiah dari syurga yang akhirnya bertemu Tuhan kembali di syurga, insyaAllah!

Gelombang emosi dalam setahun ini juga sangat hebat. Kalau takut dilanda gelombang, jangan sesekali membina rumah di tepi pantai. Tanpa membina rumah di tepi pantai pun gelombang jiwa itu boleh datang secara tiba-tiba, tidak diduga, tanpa dijangka.

Sangat banyak yang mahu diceritakan namun hendak disusun satu persatu.

Masalah terbaru, tak boleh nak buka blog ceritahaziq!!!

Pening dibuatnya.

Mahu update dan hidupkan semula blog itu dengan entri terbaru namun ada masalah yang perlu saya tangani.

Mungkin saya terlupa paswordnya.

Sudah direset namun page itu tidak boleh dibuka untuk memasukkan entri terbaru.

Seolahnya saya telah setkan satu page baru.

Pening...pusing.

Mahu tarik nafas dahulu....fikirkan penyelesaian.

Doakan masalah ini dapat saya tangani segera ya!

Terima kasih kerana masih sudi menjengah 'tintajemari' saya.

Sayang you all ketat-ketat!