Followers

Sunday, June 19, 2016

Kisah Hamil (Part 2)

Assalamualaikum dan selamat pagi Ahad...

Ha, hari tu kan saya dah janji nak sambung story tentang kehamilan kali ini. Part 2...

Ingat cerita tentang saya jatuh tangga waktu bertugas di UTM tu?. Lepas buat scan di sebuah klinik swasta, alhamdulillah semuanya nampak baik, tak ada apa-apa kelainan dan baby pun aktif di dalam perut. Lega......sekejap huhuhuhu.

Rupa-rupanya beberapa minggu lepas tu, ada ujian lain menunggu. Tiba-tiba je perut rasa semacam. Alamak, ada 'spot' darah cair di pantiliner. Hati dah mula cuak. Bimbang tanda apa lagilah ni. Saya terus hubungi adik yang pernah alami keguguran. Simptom dan signal yang ada menjurus kepada miscarriage. Seminggu jugalah boleh dikatakan bleeding walaupun tak banyak. Saya dinasihatkan supaya 'bedrest' di rumah, tak boleh buat aktiviti lasak, apatahlagi mengangkat benda-benda berat. Risau di hati jangan cakaplah. Doktor berikan ubat untuk menguatkan rahim. Diagnosis, threatened miscarriage, mau tak seram???...

Saya ikut nasihat doktor tetapi apabila bleeding masih ada, saya mendapatkan pandangan kedua. Dos untuk ubat kuatkan rahim dinaikkan dan alhamdulillah, tiada lagi bleeding. Namun hati tetap ada debarnya. Perut boleh dikatakan sering merasa tidak selesa. Selesai satu ujian. Alhamdulillah, baby hebat ini kuat bertahan di dalam rahim Mamanya. Sungguh, kamu budak kuat. Kamulah bakal menjadi penyeri hidup Mama dan Ayah lepas abangmu pergi sayang...Setiap hari tak putus doa agar anak ini kekal bertahan dan berjuang sehingga dapat melihat dunia apabila sampai masanya.
.
.
Selepas buat buku merah di Klinik Kesihatan, saya mula melalui rutin pemeriksaan ibu mengandung setiap bulan. Oh...masih ada lagi yang perlu saya hadapi rupa-rupanya. Scan mendapati kedudukan uri saya berada agak bawah namun tidak menutup laluan serviks (low lying placenta). Saya perlu menjalani ujian MGTT (minum air gula) memandangkan keluarga ada sejarah diabetes dan umur pun sudah melebihi 35 tahun. Alhamdulillah, ujian pertama tidak ada masalah. Saya dirujuk kepada pakar O & G di Hospital Sultan Ismail setelah doktor di klinik kesihatan mendapat makluman bahawa anak ketiga saya yang merupakan anak Cerebral Palsy disahkan meninggal pada tahun lepas.

Mencabar sungguh kandungan kali ini. Ancaman keguguran dan kedudukan uri di bawah bukanlah kondisi yang disukai ibu-ibu hamil. Malah sentiasa dalam doa agar keadaan tersebut tidak berlaku kepada kami. Tatkala ianya berlaku, hanya tawakkal dan berserah diri sahaja jawapannya. Bukan mudah melalui keadaan ini. Pergerakan menjadi terbatas dan adakalanya ianya menjadi satu punca tekanan. Rasa nak marah, sedih, kecewa, takut, semuanya ada tau...

Jadi, apa yang saya buat ialah mencari ilmu dengan mengikuti grup di facebook berkenaan info dan pengalaman ibu-ibu hamil dan melahirkan anak. Banyak perkara baru yang saya pelajari yang tak pernah saya tahu meskipun anak dah nak masuk empat orang. Itu belum lagi kisah seterusnya. Ha...kena tunggu ya.....part 3....akan datang...

Wednesday, June 15, 2016

Kisah Hamil (Part 1)

Assalamualaikum semua...

Waktu catatan ini ditulis, saya sedang menunggu hari. Sudah masuk 37 minggu. Tak sabar pula rasanya menunggu kelahiran yang istimewa ini, almaklumlah tahun lepas dikejutkan dengan pemergian anak bongsu, tahun ini Allah gantikan dengan begitu cepat untuk memulihkan duka hati. Alhamdulillah. Yang itu dah pasti tempatnya di syurga, di bawah jagaan Ibrahim yang mulia dan sedang berbahagia.

Saja nak kongsi betapa unik dan mencabarnya sepanjang tempoh kehamilan ini. Anakanda saya pergi pada pagi Jumaat 8 Mei 2015 sewaktu tangan saya sedang menyuapkan makanan ke mulutnya. Serangan sawan selepas tersedak menjadi asbab dia dijemput Allah. Sekelip mata tanpa tanda dan semuanya bagaikan sebuah mimpi. Apabila pipi dicubit, ya..ia bukan mimpi sebaliknya hakikat yang perlu dihadapi.

Awal November 2015, saya teringin benar hendak makan laksa Penang di sebuah kedai makan di hadapan institusi tempat saya bekerja. Sedap. Esoknya saya ulang lagi. Sehingga hari ketiga. Saya pun jadi pelik mengapa selera saya begitu, sehingga tiga hari berturut-turut! Hati mula berdetak. Adakah itu satu petanda? Dalam debar saya membeli alat ujian kehamilan dan sah! dua garisan merah jelas dan terang! Saya dan suami berpandangan. Syukur dan tidak percaya. Begitu cepat ianya hadir sedang kami belum benar-benar bersedia waktu itu namun tetap merasa bersyukur. Selepas 7 tahun, kami bakal menerima kehadiran orang baru!

Awalnya ada kerisauan yang muncul di hati. Bagaimana agaknya keadaan bayi yang bakal lahir nanti. Adakah bakal sama seperti abangnya? Meskipun kami boleh menghadapinya sekiranya apa yang dibimbangi itu berlaku, kerisauan itu tetap muncul sesekali. Redhalah walau apa yang akan kita lalui, kata suami. Jadi bermulalah satu lagi fasa baru dalam kehidupan keluarga kecil kami.

Hari makin hari dilalui dengan gembira. Alhamdulillah, kehamilan kali ini saya tidak mengalami alahan yang teruk. Tiada morning sickness seperti kehamilan-kehamilan lepas. Seingat saya, sepanjang 37 minggu kehamilan, tidak pernah saya muntah beserta makanan tetapi, saya muntah mengeluarkan air kuning hijau yang paling pahit tu. Bila dah tak ada apa dalam perut. Ya, sangat perit hingga kapilari darah di muka pecah dan timbul bintik-bintik merah di sekeliling mata dan pipi. Alhamdulillah, cuma 6-7 kali sahaja. Selebihnya alhamdulillah, selera makan seperti biasa.

Rupa-rupanya kehamilan kali ini banyak juga cabarannya walaupun secara kasarnya nampak mudah. Seawal kehamilan saya memasuki usia 3 bulan, saya menyertai sebuah jawatankuasa Sukan IPT yang berlangsung di UTM Skudai. Dua minggu berulang alik ke Skudai. Cuma, berlaku satu kejadian yang mencemaskan sewaktu sedang mahu bersedia memulakan tugas. Ketika itu hari pertama saya bertugas sebagai emcee bagi upacara penyampaian pingat Acara Taekwando di Dewan Sultan Ismail. Menuju ke hadapan pentas dengan perlu melalui kerusi penonton di pintu dewan. Saya menuruni tangga dengan berhati-hati. Sayangnya saiz tangga yang tidak sama membuatkan saya tidak perasan bahawa ada anak tangga yang agak rendah. Keadaan dewan yang agak gelap menghadkan lagi jarak pandangan.

Sedar-sedar, saya sudah terjatuh dan lutut sudah berada di tangga. Alhamdulillah tangan kanan saya sempat menahan tubuh daripada tergolek sedang tangan kiri masih kejap memegang plastik berisi makanan goreng-goreng untuk dimakan bersama-rakan-rakan setugas. Malu gila waktu itu sebab semua mata memandang. Pantas beberapa pelajar cuba membantu dan saya berterima kasih untuk itu. Lantas saya bangun dan memastikan saya boleh berdiri. Dalam hati pada waktu itu, bukan saya yang difikirkan, tetapi anak yang saya kandung. Hati mula cemas. 

Keesokannya saya terus ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan scan keadaan bayi. Alhamdulillah...semuanya baik-baik sahaja. Lega hati dan dapatlah saya meneruskan tugas dalam tempoh dua minggu yang diamanahkan. Rupanya ujian kehamilan ini bukan setakat itu sahaja. Allahurobbi...ada lagi yang menunggu rupanya. Apa yang berlaku seterusnya? Saya ceritakan pada Part 2 nanti ya....

Thursday, June 9, 2016

Suka duka 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hampir sembilan bulan saya tidak membuat sebarang coretan di laman blog ini. Terasa begitu lama dibiarkan laman ini kosong dan sepi. Mungkin semangat terbang ke laut, sukar digapai semula. Namun, hari ini di depan PC di pejabat, sementelah tidak terlalu banyak tugasan yang mashu diselesaikan, tangan mula menggodek semula laman blog yang sudah pun mencapai lebih 50k viewers. Alhamdulillah, ianya perjalanan yang panjang sebenarnya, bermula dari tahun 2009.

Semoga setiap entri yang dimuatnaik di dalam laman blog ini selepas ini merupakan entri yang bermanfaat dan menjadi asbab pahala berpanjangan untuk saya dan sesiapa sahaja yang membaca.

Beginilah hidup kita, ada masanya naik dan turun. Ada masanya berduka dan gembira. Begitu juga saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tahun lepas merupakan tahun yang benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan jiwa apabila kehilangan anak istimewa yang amat saya sayangi. Kehilangan tanpa tanda itu bukan mudah untuk dihadapi selepas tujuh tahun menyantuni anak ini. Sangat terkesan di hati. Namun benar, Allah takkan menguji di lura kemampuan hamba-Nya.

Saat melalui ujian tersebut, Allah gantikan serta merta kehilangan itu dengan sebuah kegembiraan. Selepas lima bulan pemergian anakanda tercinta, saya dikurniakan hadiah istimewa, iaitu kehamilan baru yang ditakdirkan menjadi penyejuk hati. Allah jelas tidak mahu saya tenggelam dalam kesedihan, sebaliknya bangun, bangkit dan menerima amanah baru ini dengan penuh syukur.

Hari ini, sewaktu catatan ini dituliskan, saya sedang menghitung hari untuk melahirkan. Mohon doa agar saya sihat dan dapat melahirkan dengan mudah serta dihadiahkan anak yang sempurna fizikal, akal dan semuanya sebagai pengubat hati yang pernah berduka.

Mohon doa agar semua urusan dipermudahkan dan saya dapat terus berkongsi sebuah kisah kehidupan dalam laman blog ini, inshaAllah.

Semoga kita berpeluang bersembang lagi ya!
.
.
Hmm...nak bagi baby nama apa ya kalau lelaki dan kalau perempuan? Ada cadangan?. Bolehlah kemukakan di ruangan komen ya...