Followers

Tuesday, November 23, 2010

JEMARIKU KEMBALI BERAKSI...

Hampir sebulan jari jemari ini tidak mengetuk abjad-abjad di komputer ribaku ini. Petang ni sambil-sambil menonton drama bersiri di TV3,"seribu kali cinta", terasa pula gatal tangan ni nak menulis. Kalau dibiarkan terlalu lama tidak diasah kemahiran menulis, boleh jadi tumpul dibuatnya dan takut pula laman blog ini jadi bersawang. Puas memikirkan apakah bait-bait kata yang hendak ditulis, puas memulas akal fikiran untuk melontarkan baris-baris ayat yang indah namun nampaknya terlalu banyak otak kiri telah digunakan sehingga kemahiran otak kanan ini jadi sedikit terbatas, agaknyalah.....Memang telah lama menyedari bahawa kretiviti yang melibatkan seni yang dulunya berkembang telah semakin merudum. Mungkin dipengaruhi oleh corak kehidupan yang lebih menjurus ke arah aspek-aspek teknikal. Oh tidak.......tidak mahu kebolehan ini terhakis, nampaknya perlu mencari semula apa yang telah mula hilang.....

Tengah hari tadi berkesempatan menziarahi teman yang sedang berhempas pulas, berjuang menyiapkan proses mencanting rekaan batik bagi Pertandingan Piala Seri Iman yang bakal berlangsung minggu hadapan. Sangat mengujakan dan sangat mengkagumi semangat rakan-rakan yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir!!!!! Terasa ingin sekali bersama-sama mereka dalam majlis gilang gemilang itu namun apakan daya, tuntutan kerja lebih memerlukan aku di sini. Mungkin hanya tinggal satu semester buatku untuk mencurah sehabis baik segala sumbangan sebelum melangkah pergi menyambung perjuangan yang masih belum selesai. Satu lagi matlamat dalam hidup yang ingin dicapai. Meskipun agak tersasar daripada matlamat, alhamdulillah Allah masih menyayangiku, memudahkan perjalananku . Aku bersyukur padaMu Ya Allah....

Petang tadi aku memulakan suatu langkah yang hampir aku tinggalkan. Aku ingin kembali bergerak. Tak tahan rasanya duduk di tempat yang sama tanpa sebarang perubahan. Mulakan dengan langkah pertama, pasti akan menyusul kejayaan pada langkah-langkah berikutnya.............

Friday, October 29, 2010

MAJLIS MESRA JIRAN KIARA FASA 3

Apa khabar semua yang mungkin membaca catatan dalam blog saya ni? Mudah-mudahan kalian semua sihat dan sejahtera. Kali ni saya hendak bercerita dan berkongsi rasa berkaitan aktiviti di kejiranan saya. Minggu lepas telah berlangsung Majlis Mesra Jiran Kiara Fasa 3. Dah lama rasanya aktiviti yang menghimpunkan ahli kejiranan seperti ini tidak dilakukan. Kali terakhir rasanya pada tahun 2008 kalau tak silap saya. Ahamdulillah, tahun ini tanpa sebarang perancangan yang betul2 terancang program ini berjaya dilangsungkan dengan begitu berjaya. Kadang-kadang kena akui juga bahawa ada ketikanya aktiviti secara ad-hoc inilah yang akan membuahkan hasil yang tidak dijangka. Kadang-kadang.....kalau ada perancangan yang betul-betul lagi cantik.......

Bila ada anak kecil, lebih-lebih lagi yang semacam Haziq, ralat juga rasanya tak dapat bersama menghulur tangan berganding bahu dengan jiran-jiran menyediakan apa yang patut untuk program ini. Tolong tengok jelah nampaknya.....Bukan senang nak dapat berkumpul macam ni, setahun payah sekali. Raya tahun ini pun sedih tak berkesempatan beraya ke rumah jiran-jiran seperti kebiasaannya. Mana tidaknya, naik cuti raya, 3 minggu berturut-turut terpaksa ke luar daerah atas tuntutan kerja. Bila ada peluang sebegini, inilah peluang terbaik untuk beramah mesra dengan jiran-jiran...Sebelah petang sempat jugalah menjenguk aktiviti persiapan masak-memasak di rumah Saudara Supian. Meriah...ramai bapa-bapa yang turun padang. sejak pagi pasang khemah, sebelah petang rewang pula....

Sebelah malam, kononnya hendak memulakan majlis dengan marhaban tetapi terpaksa dibatalkan memandangkan jiran-jiran berbangsa India dan cina juga turut serta hadir. Tak sesuailah pula rasanya. Terasa macam tema satu Malaysia tu dapat dilihat di kejiranan kami. Seronok.....Tak percaya? Cuba lihat gambar-gambar ini....





Makanan pun boleh tahan sedapnya. Ada satay Wak Radol, nasi kerabu Kak Maziah ada nasi himpit, ikan bakar dan macam-macam lagi makanan sumbangan ahli-ahli kejiranan. Memang tak terlaratlah nak makan!!!!
                                                      Kan..banyak makanan kan...kan..... 


                                                      Ini dia Kak Maziah..sedap nasi kerabunya....

                                                        Ini orang-orang kuat majlis....

                                   Anak siapalah ni, baiknya tolong jaga adik bila mak tengah makan.............

Memang seronok. Budak-budak apatah lagi , lari ke sana ke sini. Ada main mercun lagi!!!. Berdentam dentum bunyi tapi tak kisahlah, bukan selalu pun... Yang penting ikatan kejiranan yang baik mesti dikekalkan tanpa mengira bangsa dan agama. Kalau aktiviti sebegini dapat diteruskan dari tahun ke tahun, pasti ianya akan menjadi budaya yang tidak dapat dipisahkan dalam masyarakat.

Saturday, October 23, 2010

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI 'BAHASA JIWA BANGSA' SEMPENA BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2010 NEGERI JOHOR

Hari ini 23 Oktober 2010 adalah hari yang mencabar dan menguji sejauh mana kemahiran yang ada dapat dimplimentasikan dalam usaha menyokong program yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Bertempat di DBP Wilayah Selatan, saya mencuba nasib menjadi salah seorang peserta deklamasi sayembara puisi. Kali pertamalah katakan, masih setengah tahun jagung, nak bertanding dengan peserta-peserta yang telah berpengalaman. Kalau tak cuba manakan nak tahu kemampuan diri, tak gitu?. Sebenaranya, teringat pada petikan ucapan Tuan Pengarah sewaktu Viscom yang baru saja berlangsung iaitu ada manusia yang tergolong dalam kumpulan right brain thinking dan left brain thinking. Nampak sangatlah saya tergolong dalam kumpulan right brain thinking di mana lebih menjurus ke arah sesuatu yang bersifat seni. Seni itu kan luas pengertiannya....

Sebenarnya tak ramai yang tahu saya terlibat dalam program ini. Adalah seorang dua teman-teman yang tahu. Malu hendak bercerita sebab dah lama sangat tak buat perkara-perkara begini, sejak sekolah menengah lagi ditinggalkan. Bila sampai satu tahap, kadang-kadang kita akan merasa bahawa kita perlu melakukan sesuatu yang menjadi 'passion' atau keghairahan kita yang dapat memberikan kepuasan yang tidak terkira. Soal menang atau kalah bukanlah fokus utama. Apa yang penting, sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan cuba melakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Malu rasanya sebagai insan yang mempunyai sedikit anugerah tetapi tidak mehu menggunakan anugerah yang diberikan. Bukan untuk membangga diri,sebaliknya menguji kemampuan diri sendiri.

Rasanya hampir dua minggu sudah menghantarkan borang. Menghafal?? Bila sempat sahaja. Hendak menghafal depan suami, malu....Bila naik kereta bersendirian, masa itulah dimanfaatkan sebaiknya untuk berlatih. Agaknya pelik orang di kanan dan kiri melihat. Kenapalah pemandu ni bercakap seorang, gila agaknya!!!! Kesibukan yang melanda juga membataskan had masa untuk menghafal. Tawakkal sahajalah....

Bila sampai di DBP, terkejut jugalah melihat senarai peserta kategori terbuka wanita. 33 orang!!!. Peserta lelaki, 38 orang dan peserta pelajar sekolah 51 orang. Sambutan yang sungguh menggalakkan dan teruja melihat kesungguhan peserta masing-masing. Satu Malaysia dapat dilihat di sini. Ada peserta Cina, India, Bumiputera dan Melayu sendiri. Pelbagai gaya dan nada yang keluar. Jelaslah, bukan tandingan saya. Nampaknya kena cuba dan terus mencuba........Paling mengkagumkan apabila melihat peserta yang menghampiri usia emas dan masih lagi mampu menewaskan anak-anak muda seperti saya. Alhamdulillah, walaupun saya tak menang tapi sangat puas kerana dapat memberikan persembahan tanpa sangkut-sangkut. Itulah yang sangat saya harapkan bila memasuki ruangan pertandingan.




Satu perkara lagi yang tak boleh dilupakan, kena SAMAN!!!!! Puncanya kerana tidak meletakkan kupon meletak kenderaan.Sudahlah kali pertama datang ke kawasan tersebut, kena saman pula!! Ibarat hari ini dalam sejarah jadinya. Bayangkanlah, sepanjang menjadi pemandu di atas jalan raya selama 9 tahun, belum sekalipun saya dikenakan sebarang bentuk saman, hari ini menjadi sejarah. Kebetulan rakan penguatkuasa yang menyaman kereta saya ada berdekatan, habis dia saya 'kerjakan'. Membebel jugalah tapi tidaklah dalam keadaan amarah. Kelakar pun ada dibuatnya, akhirnya apa nak buat??? Geleng kepala sahaja yang mampu sambil mentertawakan kesalahan sendiri......

Kerana memperjuangkan Bahasa yang menjadi jiwa bangsa....SAMAN pun samanlah..........hehehehe..

Di sini saya apresiasikan sajak yang telah di deklamasikan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010.

JIKA ESOK AKU TIADA
nukilan: Ishiba, Johor Bahru

Jika takdirnya esok aku tiada
Sirna, lenyap ditelan masa
Tiada lagi citra sebuah bangsa
Menjulang bangga keagungan bahasa
Bukan masanya aku membasahkan pipi
Air mata tidak guna mengalir lagi
Menyesal jangan sesekali

Jika takdirnya esok aku tiada
Jangan kau ungkit jahilnya para pemimpinmu
Sebab kacaunya pendirian dan pemikiran
Mereka benamkan aku ke dasar laut
Dilontarkan jiwa ke langit terbuka
Penuh dengan jerebu globalisasi
Lalu diapungkan lidah yang asing
Dipaksakan menjadi milikmu
Biar hilang peribadimu
Terhimpit di celah-celah batu
Sebuah negara berstatus maju
Mengungkap segugus ilmu

Jika takdirnya esok aku tiada
Bersemadi lesu bersama jiwamu
Usah kau usung lagi kisah pilu
Atau diheret erti rindu
Sebaliknya inilah sekepal hati
Lukanya tidak terperi

Jika takdirnya esok aku tiada
Tanyalah para pemimpinmu
Mereka yang petah bicara
Menghujah tanpa usul periksa
Erti sebuah ungkapan setia
Bahasa Jiwa Bangsa
Hilang perkasa dan wibawa.

BBK oh BBK............................