Semakin hari Ammar Hariz semakin bijak. Sudah mula fokus kepada warna-warna terang. sudah mula pandai menggenggam barang. Sudah mula belajar mengiring malah sudah mula ketawa bila diagah. Satu perkembangan yang tidak boleh dibandingkan dengan arwah abangnya, wildan syurga Aiman Haziq.
Seusia tiga bulan, Aiman Haziq dibelenggu sawan yang tidak berhenti setiap hari. Perkembangannya terbantut. Umpama bayi baru dilahirkan. Apabila hadirnya Ammar Hariz, kadang-kadang saya sendiri tak tahu nak buat macam mana. Seperti dapat anak sulung pula gayanya. Beberapa hari lepas suami mencadangkan supaya saya membelikan mainan untuk merangsang motor kasar Ammar Hariz dan pada ketika itulah saya sedar bahawa ya, anak saya yang satu ini sempurna perkembangannya. Gigihlah kami ke pusat membeli belah untuk belikan Ammar Hariz mainan, haha. Teruk benar rasanya.
Semakin besar dan semakin cerdik. Andai tidur siangnya lena dan panjang, maka bersiap sedialah Mama dan Ayah untuk jadi pengawal keselamatan di sebelah malam. Elok saja Ammar Hariz akan bangun tengah-tengah malam minta dilayan berbual atau mahukana ayunan buaiannya di depan tv. Esok pagi memang bermata pandalah Mamanya.
Makin besar, makin putih pula rasanya Ammar Hariz. Sama seperti abang sulungnya. Setiap orang yang melihat Ammar Hariz pasti mengatakan wajahnya iras suami. Belum adalah seorangpun yang mengatakan Ammar Hariz ada iras Mamanya. Ini tidak adil, tidak adil bagiku....hahaha. Memang diakui semua keempat-empat anak ada iras ayahnya. Berkulit putih seperti orang Cina. Manakan tidak, ada darah Cina di sebelah arwah mak mertua. Kalau ikutkan kulit Mamanya, sawo matang, ala-ala putih Jawa gitu.....
Minum susu pun boleh tahan juga. Setiap hari sudah perlu bekalkan dalam lingkungan 20 aun sebagai bekalan di rumah pengasuh. Gigihlah Mama memerah susu di pejabat. Gigihlah juga cuba mencari pelbagai jenis makanan yang menjadi booster semulajadi untuk memperbanyak kuantiti susu berdasarkan demand setiap hari. Kadang-kadang frust juga bila ada masanya susu drop tetapi cepat-cepat cuba positifkan fikiran. Kita cuba, kalau tak ada rezeki susu banyak, kita terima saja. Jangan stress stress, kata suami. Iyalah, dapat berikan susu badan untuk anak kesayangan juga satu rezeki yang tidak terungkap. Bersyukur sangat diberikan peluang tersebut dan sentiasa berusaha dan berdoa agar dapat memenuhi keperluan susu harian Ammar Hariz.
Bukan apa, ingin merasa bagaimana perasaan dapat menyusukan anak secara eksklusif. Anak sulung dulu hanya dapat menyusu selama dua bulan. Selepas berpantang saya perlu hadir kursus induksi selama 3 minggu di Kelantan. Susu semakin susut dan anak sulung tidak mahu menyusu. Anak kedua direzekikan menyusu sehingga usianya setahun, itupun dicampur dengan susu formula. Aiman Haziq? Tidak direzekikan susu badan untuknya. Dalam dua bulan pertama pun susu saya telah berkurangan. Faktor tekanan dengan kondisinya waktu itu mempengaruhi pengeluaran susu.
Kali ini sebolehnya saya cuba untuk memberikan susu buat Ammar Hariz. Target saya paling kurang pun eksklusif enam bulan dengan susu badan. Andai lebih alhamdulillah rezeki Ammar Hariz. Terasa bonding yang kuat bila menyusukan anak. Nak berpisah sehari pun dah rasa rindu. Tak nampak wajahnya pun dah rasa gelisah. Itulah agaknya the power of breasfeeding. Semoga semua ibu-ibu di luar sana direzekikan nikmat yang satu ini. Andai tidak, berlapang dadalah kerana pasti ada nikmat lain yang lebih besar Allah nak hadiahkan. Tunggu dan sabar. Inshaallah...
Assalam...boleh share cerita dgn saya..saya pun ade anak soleh..pm saya 0123226304
ReplyDelete