Followers

Monday, October 3, 2016

Kisah Hamil (Part 3)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hihihi punyalah lama tak menulis, ini bukan lagi kisah kehamilan, bayi yang di dalam perut pun dah nak masuk tiga bulan umurnya beberapa hari saja lagi. Hmmmm, beginilah kehidupan mak-mak bila ada anak kecil. Macam tak cukup masa je.

Sebenarnya, hari ini secara rasminya saya dah pun mula bekerja selepas tamat cuti bersalin selama tiga bulan. Pejam celik pejam celik cuti pun dah habis. Macam tak percaya pun ada sebab dalam tak sedar bayi membesar. Oh ya, bayi yang saya kandung dan usung ke sana sini tu, selamat dilahirkan sehari sebelum Aidilfitri yang lepas. Mujurlah  bacaan gula dalam darahnya ok. Kalau tidak, menyambut pagi raya di hospitallah kami gamaknya. Nama diberikan kepadanya ialah Ammar Hariz.

Ammar Hariz lahir jam tiga pagi. Siang tu merupakan pemeriksaan saya kali terakhir di klinik ibu mengandung di Klinik Kesihatan Masai. Tanda-tanda mahu bersalin sudah ada antaranya braxton hick atau kontraksi palsu. Saya beranggapan ianya biasa sahaja sebab masih boleh menahan kesakitan. Taklah sakit sangat waktu itu. Oleh kerana usia kandungan sudah 39 minggu, jururawat memeriksa kontraksi seperti yang saya adukan. Katanya, kontraksi saya sudah agak kuat. Mereka buat pula pemeriksaan bukaan serviks. Sudah ada bukaan dua sentimeter! saya diarah bersedia kerana kemungkinan saya akan melahirkan. Ala...baru saja plan esoknya tu saya nak balik ke kampung.

Balik ke rumah, saya masih sempat alter seluar raya suami. Masih lagi gagah berdiri di dapur membuat popia cheese untuk hari raya walaupun sesekali terasa lenguh pinggang dan kaki. Malam itu saya mula rasa lain macam dan tidak sedap hati. Perut sakit sekejap-sekejap. Suami balik dari masjid dalam lingkungan jam 10 malam. saya berbicara sendiri dengan anakanda dikandung supaya memberikan tanda sekiranya mahu keluar pada malam itu.

Lebih kurang jam 11 malam, saya bangun tidur kerana mahu ke tandas. Saya melihat ada lendir dan darah yang keluar, sangat halus. Dalam hati tergerak menyatakan saya akan melahirkan pada malam itu. Saya maklumkan suami yang sedang menonton televisyen untuk bersiap sedia ke hospital. Kami sampai di hospital hampir jam 12 malam. Suami tertidur kemudiannya di kerusi menunggu sementara saya diperiksa di bilik saringan.

Rupa-rupanya bukaan serviks sudah mencecah 4cm! Arahan dikeluarkan untuk saya ditolak masuk ke bilik bersalin. Suami yang tertidur bangun apabila namanya dipanggil berkali-kali untuk mendapatkan pakaian bayi. 1.30 pagi saya dimasukkan ke bilik bersalin sehinggalah air ketuban dipecahkan jam 2 pagi. Maka bermulalah siri kontraksi yang semakin lama semakin kuat, semakin lama semakin rapat malah semakin lama semakin menyesakkan nafas! Hanya zikir menjadi mainan bibir ketika itu. Suami juga setia menemani. Hampir jam 3 pagi saya memaklumkan bidan bertugas bahawa saya ingin meneran. Beliau bersiap sedia untuk menyambut satu kelahiran ke dunia ini. Teran kali pertama, keluar kepala. Saya diingatkan supaya 'jangan push' dahulu sementara bidan membuat urutan perineum bagi mengelakkan berlakunya koyakan. Apa yang saya dengar hanyalah 'push' dan saya terus meneran. Kali ini keseluruhan tubuhnya keluar, alhamdulillah dipermudahkan.

Saya ditahan hampir 24 jam di hospital kerana risiko GDM dan bayi saya perlu dipantau paras gula dalam badannya. Semuanya selamat, alhamdulillah. Akhirnya malam raya sewaktu takbir raya sedang bergema di sini sana, barulah kami berdua dibenarkan keluar. Beraya di bandarlah nampaknya tahun ini.

Tanpa sebarang persediaan, pagi raya kami hanya dengan sebatang lemang dan sepinggan rendang dibeli di tepi jalan. Rezeki kami, jiran sebelah rumah beraya di bandar kali ini. Merasalah makan tengahari dengan ketupat, ayam masak merah. Saya tumpang tengok saja sebab tak berapa berani nak makan. Al-maklum baru saja melahirkan.

Diam tak diam cuti berpantang sudah pun habis. Ammar Hariz juga semakin cerdik, sudah mula mahu mengajak kita bersembang. Sudah semakin riuh mulutnya. lagak macam budak besar. Tegak kepala bila didirikan. Anak-anak zaman sekarang. Macam tak puas lagi mendukungnya dalam bedungan. tahu-tahu saja sudah mula belajar mengiring. Cepat benar kamu membesar duhai anak...

Tunggu sedikit ahri lagi, pasti ada saja yang bakal saya kongsikan tentang perkembangan Ammar Hariz comel tu. Tunggu ya....


No comments:

Post a Comment