Followers

Thursday, March 7, 2013

Semput................................

Assalamualaikum, salam sejahtera.............

Hari ini konon nak menghadap lappy lama sikit. Apakan daya...kepala ni makin berdenyut-denyut. Teringat plak ada lagu siapa tah....."nyut nyut nyut...kepala...rasanya mahu pusing......" Ha, itulah yang sedang saya rasakan saat ini tapi jari jemari ni tetap gatal jugak nak mengetuk abjad-abjad kat keyboard lappy ni. Bukan keje sekolah yang dibuatnya , tapi punyalah taknak laman blog bersawang punya pasal......Beberapa hari lepas, anak syurga demam.....Saya pulak sebenarnya dah dua tiga hari sakit-sakit badan. Betis sakit, bahu sakit....kepala sakit.....angin agaknya. Telan gaviscon, barulah ok sikit....telan panadol dan tidur sekejap barulah pening kepala ni berkurangan. Nak kata stress??? Tak jugak.....tak ada apa yang boleh dijadikan punca stress pun....

Sebenarnya sepagi ni saya dok di rumah dengan anak bujang. Tak sekolah agama hari ni.Sebab apa? Dah dua hari perasan anak bujang ni mula bagi signal macam nak kena asthma...batuk...kohok-kohok bunyinya. Rupanya semalam tanda-tanda tu makin jelas. Dah diberi inhaler pun macam tak berapa menunjukkan kesan  yang positif. Membisinglah mama dan ayahnya. Mana tidaknya, makan jajan, minum air sejuk, makan aiskrim boleh kata hampir tiap-tiap hari. Maunya badan tu tak meraung....Bila cakap, ikut sekejap, eh lepas tu buat semula.....anak bertuah!!!!

Sudahnya, pagi ni mahu tak mahu, suka tak suka ke klinik jugalah sebagai jalan penyelesaiannya. Anak bujang ni sebenarnya dah hampir setahun tak kena asthma....paling akhir bulan Mei tahun 2012 mengikut catatan doktor. Dah lama dah tu....doktor kata agaknya dah sampai masa nak kena. Lepas ni mama memang tegahlah makan benda manis-manis, main lasak-lasak sangat, makan aiskrim.....semualah yang boleh jadi penyumbang kepada 'kesyemputannya" itu. Memuncung aje macam muncung itik bila dibebelkan. Mama tak kira....suka ke  tak suka, kalau rasa nak sihat, dengarlah nasihat mama dan ayah dia ni. Selalu sangat buat 'perasan disorders' tu. Perasan sihat aje......

Bila dah duduk rumah, sebenarnya tak susah pun. Dia kerjanya tengok chanel bola....mama mengadap lappy...Lapar je mama memang dah sediakan roti untuk dimakan...bila ditanya nak makan nasi ke tidak, tak lapar katanya. Leka pula mengulit surat khabar bahagian sukan....ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi kan...anak dengan ayah sama-sama suka bola..janji korang bahagia....
asthma a.k.a SYEMPUT......................

Mudah-mudahan asthmanya tak berpanjangan. Terpaksalah bercuti sekolah hari ini. Nampaknya si adik berkeseorangan hari ni. Si adik pun tak ke sekolah agama sebab ada kursus kepimpinan pengawas di sekolahnya. Cepat sihat ye pemimpin/ketua yang pengasih (Amirul Rahimi)........

Wednesday, March 6, 2013

Alhamdulillah!!!!!

Assalamualaikum dan salam sejatera....

Hari ini 6 Mac 2013. Ini bermakna, sudah 35 tahun Allah kurniakan nikmat umur yang panjang sebagai pinjamanNya kepada saya. Buat pertama kalinya selepas berkahwin, tak ada ucapan selamat hari lahir yang saya terima daripada encik suami mahupun anak-anak. Hanya adik bongsu yang mengucapkan selamat hari lahir pada awal pagi. Terima kasih ye!!!! Langsung tak ada perasaan marah, sedih, mahupun kecewa kerana saya tahu bukannya encik suami tak ingat, tapi saya sendiri mengambil pendekatan tak kisah. Buat pertama kalinya juga saya rasakan yang saya takut apabila usia menginjak tua dari setahun ke setahun. Biasanya orang meraikan sambutan hari jadi kerana bersyukur dipanjangkan usia, sebaliknya saya tidak menyambutnya kali ini bukan kerana tidak bersyukur, malah tetap memanjatkan syukur atas sebab yang sama. Bezanya kali ini, semakin meningkat usia, semakin dekat kematian menghampiri dan saya belum bersedia daripada banyak aspek. Semakin pendek pula usia saya rasakan. Entah sampai bila dapat merasa nikmat pinjaman umur ini. Mudah-mudahan masih diberikan kesempatan pinjaman umur dan dapat melihat anak-anak membesar, bekerja dan berkahwin..Aamiiinnnnn.......

Tiada sambutan langsung dengan memotong kek atau sebagainya. Sesen pun tidak dikeluarkan sempena tarikh kelahiran saya hari ini yang menandakan saya telah lahir pada 35 tahun yang dahulu. Malah hari ini saya penuhi dengan menghadap muka komputer setengah hari dan pada sebelah petang pula berada di hospital untuk sesi fisioterapi anak syurga saya. Itulah rutin setiap bulan. Lebih membahagiakan apabila anak syurga saya berjaya berdiri di standing frame lebih kurang 20 minit dan tidak menangis sepanjang sesi. Sangat membahagia dan mendamaikan dan itu boleh jadi hadiah yang sangat bermakna buat saya.

Semalam juga saya menerima khabar sahabat baik saya selamat menimang cahaya mata ketiga, satu-satunya puteri yang mewarnai hadirnya hero-hero dalam kehidupan mereka sekeluarga. Kalau sang puteri lahir pada hari ini, pasti kami berkongsi sambutan hari lahir. Itu juga hadiah yang indah buat saya. Sahabat baik sejak di zaman universiti dan masih lagi bersahabat hingga ke detik ini. Tahniah buatmu sahabat!!!!!Mohd Fauzi dan isteri, Irfan Idayu. Alhamdulillah, perkara yang baik-baik hadir dalam perjalanan hidup saya. Saya dikurniakan suami dan anak-anak yang membahagiakan. Dugaan yang datang adalah ujian yang mahu menguji sejauh mana saya redha dan berlapang dada dengan ujianNya. In sha Allah, berlapang dada itu adalah ubat yang mujarab.....

Semoga Allah memberikan keberkatan umur kepada saya. Semoga saya terus dapat memberikan yang terbaik kepada insan-insan di sekeliling saya. Alhamdulillah,syukur padaMu Ya Allah di atas kurniaMu menerusi pinjaman usia sehingga pada waktu dan ketikanya dipanggil bertemuMu...

Monday, March 4, 2013

Mereka perwira negara!!

Assalamualaikum,salam sejahtera...

Terpanggil hendak menulis mengenai situasi yang sedang berlaku di Lahad Datu. Sedih yang amat bila melihat 8 anggota keselamatan negara telah gugur demi mempertahankan negara. Kalau kita fikir-fikirkan, kita sedap-sedap duduk di rumah, boleh menonton Astro....boleh pergi shopping, boleh pergi tengok bola, boleh buat itu ini sedang dalam waktu yang sama, kita sendiri tak tahu berapa ramai anggota keselamatan yang menyahut panggilan perjuangan. Menggalas amanah dan tanggungjawab. Meninggalkan isteri, anak-anak, ibu bapa hanya kerana memberi peluang kepada kita untuk bersenang lenang walhal mereka di sana bergelut dengan situasi yang mengancam nyawa mereka.

Menangani penceroboh yang sememangnya pakar dengan taktik gerila, mahir dengan selok belok hutan malah taktik serang dan lari yang mereka praktikkan bukanlah suatu perkara yang enteng untuk didepani. Ada pula pihak-pihak yang cuba mempersendakan perjuangan perwira-perwira kita yang gugur di medan perjuangan. Ada juga yang memprovokasi mentaliti masyarakat dengan mengatakan ianya adalah konspirasi politik. Wallahuaklam. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Namun sekadar pendapat peribadi saya, tidak mungkinlah isu ini direka, dirancang dan diatur sebegini hebat hingga mampu menjadi bahan permainan politik. Ini isu keselamatan negara. Ini isu kehilangan nyawa. Ini isu pencerobohan yang bukanlah agenda yang seronok untuk direka. Kadang-kadang kita terlupa bahawa sebagai manusia, kita dikurniakan hati dan akal untuk berfikir setiap tutur kata dan tindakan kita. Saya langsung tak percaya ini adalah sandiwara. Hebat benarlah pengarah lakon layarnya seandainya ianya sekadar drama yang dilakonkan oleh watak-watak yang perlu membawakan watak secara realiti. Tak masuk akal kan?

Sepatutnya, kita angkat tangan, berdoa agar negara kita terus selamat. Berdoa agar mereka yang gugur ditempatkan di syurga. Berdoa agar kita tidak melalui suatu kehilangan sebagaimana yang dilalui oleh ahli keluarga mereka yang ditinggalkan. Kita memang akan meninggalkan dan ditinggalkan. Caranya bagaimana, kita sendiri tak tahu. Paling tidak, pemergian mereka adalah kerana mempertahankan negara dan kita tahu itu jihad mereka dalam perjuangan. Seandainya syahid sebagai hadiah/ganjaran mereka, syurga sudah pasti tempatnya sedang kita masih tidak tahu ke mana arah kita. Entah berapa ramai lagi yang sedang berada di barisan hadapan di Lahad Datu sana, kita sedang buat apa? Baca blog? Tulis blog? Hanya tengok berita kan? Apa sumbangan kita pada negara? Kalau kita sedar yang kita sendiri mungkin tak ada sumbangan pada negara, janganlah wujudkan 'perasan disorders' yang mengatakan kononnya kita ni lebih bagus daripada mereka yang berjuang di sana. Macam bagus kan........

Mari sama-sama kita doakan semua penceroboh akan dapat ditumpaskan. Mari sama-sama kita doakan benteng negara yang berada di barisan paling hadapan akan dapat menunaikan amanah dan selamat sepanjang misi di Lahad Datu. Mari sama-sama kita doakan agar hati kita terus bersih daripada buruk sangka. Kena ingat tugas mereka mempertahankan negara. Secara tak langsung, mempertahankan keselamatan kita sebagai warga sebuah negara yang merdeka. 

Inilah barisan kita
Yan Ikhlas Berjuang
Siap Sedia Berkorban
Untuk Ibu Pertiwi

Sebelum Kita Berjaya
Jangan Harap Kami Pulang
Inilah Sumpah Pendekar Kita
Menuju Medan Bakti

Andai Kata Kami Gugur Semua
Taburlah Bunga Di Atas Pusara
Kami Mohon Doa
Malaysia Berjaya
Semboyan Telah Berbunyi
Menuju Medan Bakti.............

Cuba bayangkan kalau kita berada di tempat mereka dan menyanyikan lagu ini. Saya pasti hilang semua ketakutan kerana ibarat berjuang di medan perang, kalah dan menang belum lagi pasti. Tertewas atau kembali semuanya tidak dapat dijangka. Mereka perlukan doa kita. Mereka pohon semangat daripada kita untuk mengiringi perjuangan mereka. Ayuh kita doakan yang terbaik buat mereka. Semoga mereka sentiasa dilindungi kerana MEREKALAH PERWIRA NEGARA!!!!!!!!