Followers

Wednesday, January 26, 2011

Mencari kekuatan diri

Baru sebentar tadi membaca laman blog seorang teman yang dikenali sewaktu menghadiri Kursus Penulis Super anjuran PTS Publication pada tahun 2009. Bila diamati betul-betul, barulah aku perasan bahawa sebenarnya aku masih lagi mencari diri, mencari sebuah kekuatan yang masih lagi belum sebati dalam diri ini. Kadang-kadang merasakan yang diri ini telah cukup percaya pada diri sendiri tapi rupa-rupanya masih lagi takut dengan bayang-bayang sendiri. Masih lagi ragu dengan keupayaan diri, masih lagi tidak percaya dengan kebolehan yang ada. Sesungguhnya aku amat bersyukur di atas segala kurniaan Tuhan selama ini. Aku punya keluarga yang bahagia, suami yang sangat memahami, anak-anak yang menjadi buah hati dan pengarang jantung ini, cuma terkadang aku sering merasakan seolah-olah masih mencari. Mencari sesuatu yang aku sendiri tak pasti.Apa yang aku cari? Apa yang dapat memberikan kepuasan pada diri ini?? Adakah ini sebagai tanda aku tidak bersyukur?? Ya Allah, kau jauhkanlah aku dari sebarang rasa yang tidak diingini....

Aku ingin menjadikan tahun ini sebagai tahun transformasi. Tahun yang amat penting bagi membuktikan bahawa aku masih lagi penting bagi insan-insan di sekelilingku. Ada ketikanya hati aku merasakan bahawa mungkin aku sudah tidak penting lagi, dicari apa bila diperlukan, habis manis sepah dibuang. Begitu sekali perasaan jahat yang menguasai diri ini. Namun, setiap apa yang dilakukan adalah kerana aku memang suka melakukannya...i'm enjoying it!!! Tahun ini banyak perkara yang harus diselesaikan mengikut perancangan. Besar harapan agar segalanya berjalan dengan lancar. Semoga tahun ini menjadi tahun pemula bagi kejayaan akan datang...

Apa yang perlu dilakukan pada tahun ini:

1. Mengekalkan kecergasan
2. Menyambung pengajian
3. Menghasilkan manuskrip penulisan pertama.

Sedikit sahaja perancangan bagi tahun ini namun, ianya adalah matlamat yang besar dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Adakah aku mampu melakukan ketiga-tiganya? Iringi daku dengan doa...insyaAllah segala yang dihasratkan akan dapat dicapai........

Siapa kata mereka tak boleh?

Hari ini mendapat mesej daripada bekas pelajar yang membawakan sebuah berita yang sangat menyenangkan, menggembirakan dan mengujakan. Ucapan terima kasih daripada pelajar tersebut membuatkan aku terfikir, apakah yang telah aku lakukan sebagai sumbangan terhadap kejayaan yang diraih oleh  mereka? Mungkin boleh dibilang dengan jari sumbangan yang dikeluarkan namun, itu bukan pokok persoalannya. Soalannya...siapa kata pelajar pekak tidak boleh berjaya? Pelajar ini telah membuktikannya...

Pernah beberapa minggu lalu PM kita membuka ruang masa di dalam laman FB beliau untuk rakyat bertanyakan pelbagai jenis soalan. Macam-macam soalan merapu pun ada. Maka, tangan yang gatal ni pun tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan, mana tahu dapat jawapan......Soalan yang saya tanyakan...kenapa kebanyakan IPTA/IPTS tidak mahu menerima pelajar khas@OKU seperti pekak dan LD sedangkan mereka juga punya potensi untuk ditempatkan di dalam pasaran pekerjaan? kita tak boleh menilai keupayaan mereka secara lahiriah tanpa menguji kemampuan dan kemahiran mereka secara teknikal. Hari ini dengan rasa bangga ingin mengucapkan TAHNIAH kepada UiTM yang telah menerima dua pelajar kembar pekak pertama untuk mengikuti sesi pengajian program Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik.

Perjalanan dua pelajar ini juga bukan mudah. Bermula dengan perjuangan dalam SPM yang terpaksa bersaing dengan pelajar normal, mereka membuktikan kemampuan mereka. Mereka meneruskan pengajian dalam Sijil Rekabentuk Grafik selama dua tahun dan menyambung pengajian di peringkat diploma di aliran perdana. Meskipun tidak berupaya bertutur seperti manusia biasa, tumbs up wajar diberikan kepada pasangan kembar ini yang tak pernah berhenti berjuang. Komited dengan tugasan, cemerlang dalam akademik dan sukan memberikan peluang yang besar buat kedua beradik ini untuk terus mencipta kecemerlangan.Tumpang banggalah jugak kan walaupun tak pernah mengajar mereka........sekurang-kurangnya mereka pernah mendapat perhatianku.......

Siapa kata mereka tak boleh? Mereka membuktikan pandangan masyarakat umum silap. Hasil kerja mereka lebih baik daripada pelajar normal yang lain. Malah salah seorang daripada mereka pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik kursus yang diikuti diatas keupayaan dan kehebatannya. Wana dan Wanie, dua beradik kembar tidak seiras yang pastinya telah membahagiakan kedua ibu bapa mereka. Sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka. Biarpun tanpa suara, mereka tetap memburu jaya.......

Sensitif....perasaan yang sukar diungkapkan.........

Manusia lahirnya dengan pelbagai perasaan dan emosi yang kadang-kadang sukar untuk difahami. Rasa ingin dihormati, disayangi, mengasihi, benci, suka, duka dan macam-macam lagi. macam-macam cara juga digunakan untuk melahirkan perasaan tadi. Seandainya perasaan-perasaan ini tidak dizahirkan mengikut saluran yang betul pada masa yang tepat beserta kaedah yang sesuai, pastinya pemilik-pemilik perasaan ini akan merasa seolah-olah ada sesuatu yang hilang, tak lengkap dalam diri masin-masing.

Tatkala hidup di dalam lingkungan insan-insan istimewa ini, sesuatu wajar diakui...berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, bukanlah nak kata mereka ni tak ada perasaan malah, perasaan mereka mungkin lebih daripada apa yang kita rasakan, lebih daripada apa yang kita jangkakan dan mungkin lebih payah untuk kita menyelami dan memahaminya dalam keadaan biasa. Mereka adalah golongan yang memiliki nilai rasa sensitif yang tinggi. Jiwa mereka mudah terusik, hati mereka senang tersentuh, perasaan  mereka cepat terguris dan tercalar, malah akal mereka agak lambat untuk meneutralkan semula emosi yang melanda diri. Bagi kita mungkin mudah untuk mengendalikan emosi sewaktu dilanda masalah atau cabaran yang datang tetapi bagi golongan ini , ianya seolah-olah suatu tamparan yang hebat untuk ditangani. Ada masanya sebahagian  daripada mereka menjadi tegar, namun tidak dinafikan, ada sebahagiannya tewas dalam mengendalikan situasi.

Kadang-kadang kita yang melihat berasa kasihan, ingin membantu tetapi kita juga tidak tahu bagaimana. Perasaan hanya boleh dikendalikan oleh empunya perasaan itu sendiri sahaja. Bagaimana pengendaliannya adalah bergantung kepada kekuatan individu dalam mengatur emosi, mengendalikan dengan sebaik mungkin. Kita mungkin sekadar boleh memberi nasihat, bukan pemutus keputusan apa yang perlu atau tidak perlu dilakukan. Memang berat hendak meluahkan perasaan, memang sukar hendak mengendalikan hati yang satu tetapi kepuasan akan datang sekiranya perasaan itu terkendali dengan begitu baik. Mungkin juga ada ketikanya kita sebagai orang ketiga terpaksa memberikan keputusan, bukan sekadar penasihat namun takut juga seandainya keputusan yang diberikan itu mendatangkan impak yang kurang menyenangkan. Lebih banyak perkara yang harus direnungi dan dipertimbangkan semula.

Kesensitifan seseorang itu adalah berbeza. Ada orang langsung tak sensitif, ada pula yang terlebih sensitif. Rasanya kita perlu belajar mengenali emosi yang lahir daripada perasaan ini. Kita kena belajar bagaimana cara mengendalikan  perasaan yang satu ini supaya kita tidak terbawa-bawa dengan emosi yang keterlaluan.........