Followers

Wednesday, January 26, 2011

Sensitif....perasaan yang sukar diungkapkan.........

Manusia lahirnya dengan pelbagai perasaan dan emosi yang kadang-kadang sukar untuk difahami. Rasa ingin dihormati, disayangi, mengasihi, benci, suka, duka dan macam-macam lagi. macam-macam cara juga digunakan untuk melahirkan perasaan tadi. Seandainya perasaan-perasaan ini tidak dizahirkan mengikut saluran yang betul pada masa yang tepat beserta kaedah yang sesuai, pastinya pemilik-pemilik perasaan ini akan merasa seolah-olah ada sesuatu yang hilang, tak lengkap dalam diri masin-masing.

Tatkala hidup di dalam lingkungan insan-insan istimewa ini, sesuatu wajar diakui...berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, bukanlah nak kata mereka ni tak ada perasaan malah, perasaan mereka mungkin lebih daripada apa yang kita rasakan, lebih daripada apa yang kita jangkakan dan mungkin lebih payah untuk kita menyelami dan memahaminya dalam keadaan biasa. Mereka adalah golongan yang memiliki nilai rasa sensitif yang tinggi. Jiwa mereka mudah terusik, hati mereka senang tersentuh, perasaan  mereka cepat terguris dan tercalar, malah akal mereka agak lambat untuk meneutralkan semula emosi yang melanda diri. Bagi kita mungkin mudah untuk mengendalikan emosi sewaktu dilanda masalah atau cabaran yang datang tetapi bagi golongan ini , ianya seolah-olah suatu tamparan yang hebat untuk ditangani. Ada masanya sebahagian  daripada mereka menjadi tegar, namun tidak dinafikan, ada sebahagiannya tewas dalam mengendalikan situasi.

Kadang-kadang kita yang melihat berasa kasihan, ingin membantu tetapi kita juga tidak tahu bagaimana. Perasaan hanya boleh dikendalikan oleh empunya perasaan itu sendiri sahaja. Bagaimana pengendaliannya adalah bergantung kepada kekuatan individu dalam mengatur emosi, mengendalikan dengan sebaik mungkin. Kita mungkin sekadar boleh memberi nasihat, bukan pemutus keputusan apa yang perlu atau tidak perlu dilakukan. Memang berat hendak meluahkan perasaan, memang sukar hendak mengendalikan hati yang satu tetapi kepuasan akan datang sekiranya perasaan itu terkendali dengan begitu baik. Mungkin juga ada ketikanya kita sebagai orang ketiga terpaksa memberikan keputusan, bukan sekadar penasihat namun takut juga seandainya keputusan yang diberikan itu mendatangkan impak yang kurang menyenangkan. Lebih banyak perkara yang harus direnungi dan dipertimbangkan semula.

Kesensitifan seseorang itu adalah berbeza. Ada orang langsung tak sensitif, ada pula yang terlebih sensitif. Rasanya kita perlu belajar mengenali emosi yang lahir daripada perasaan ini. Kita kena belajar bagaimana cara mengendalikan  perasaan yang satu ini supaya kita tidak terbawa-bawa dengan emosi yang keterlaluan.........

No comments:

Post a Comment