Followers

Monday, August 3, 2009

CATATAN 29 JULAI 2009

29 Julai 2009.

Pagi-pagi lagi aku dah kelentong anak sulungku. Aku katakan aku hendak ke pejabat. Kalau tidak, liat sungguh hendak di hantar ke rumah ibunya sejurus habis waktu persekolahan. Aku pun tak tahu kenapa hari ini anak sulungku begitu ‘gembeng’ sekali. Puas dipujuk baru berjaya. Konon hendak ke pejabat tapi tak sempat. Mencari tukang urut pun mengambil masa. Aku pergi ke rumah nyai yang sering mengurutku, tetapi nampak gayanya seperti tak ada orang di rumah. Aku merancang untuk ke pejabat semula.

Dalam perjalanan, aku berbincang dengan suamiku tentang talian internet. Suamiku bersetuju. Kami terus melencong arah menuju ke celcom centre untuk mendaftar talian broadband. Macam tak percaya bila suamiku mengizinkan aku memasang talian internet tapi adalah syaratnya. Mendengar syarat itu, aku terdiam seketika tapi aku yakin aku dapat melaksanakannya secara beransur-ansur. Itu rahsia… Kalau dah cerita, hilang pula kerahsiaannya. Yang penting, syarat itu akan aku dapat tunaikan kalau suamiku terus memberikan sokongan.

Selesai satu urusan, kami berkejar balik untuk mengambil anak di rumah penjaga. Pada sebelah petang, ada temujanji untuk occupational terapi di HSI pula. Kebetulan sudah ke sana, terus sahaja aku buat chest fisio untuk anakku. Banyak betul kahak yang keluar. Menangis berjurai-jurai air matanya tapi nak buat macam mana, selagi chest fisio tidak dibuat, selagi itulah dia akan berasa tidak selesa.

Di OT, hari ini nampaknya tak ada sebarang latihan fizikal dibuat, sebaliknya sesi pembuatan dan pemakaian spling di buat untuk kedua-dua belah tangan dan kaki anakku. Aku katakan padanya yang dia akan mendapat ‘kasut cinderella’. Nampak gayanya dia selesa dan tidak mengamuk berbanding spling yang pernah dipakainya satu ketika dulu. Waktu itu dia masih ditahan di HKL. Kali ini, spling yang dipakai Nampak lebih selesa dan sesuai dengan tangan dan kakinya. Aku pakaikan sewaktu dia tidur.Alhamdulillah, nyenyak tidurnya.

Bila dia tidur, aku terus memulakan catatan harian. Bila dah ada blog walaupun tak ada lagi talian internet, itu bukan masalah. Yang penting motivasi untuk terus menulis. Aku takut kalau rasa hendak menulis itu mati. Aku bercadang hendak kongsikan ilmu yang aku terima bersama sesiapa sahaja yang berminat untuk menulis. Setakat yang aku mampu. Tidaklah sehebat En Fauzul, cuma hendak berkongsi apa yang aku tahu, takkan nak lawan taukeh pulak…..tak berkat nanti.

Kita ni belajar kan mestilah berguru. Mencari guru pun perlu dilihat pada ciri-cirinya. Biarlah kena pada tempat dan ajarannya. Tersilap pilih nanti jadi seperti Ayah Pin pula. Satu masalah lagi…..Bagi yang berminat menulis, carilah insane-insan yang benar-benar dapat memandu kita untuk menulis dengan baik. Biarpun menulis sebaris ayat, ia tetap dianggap penulisan seandainya dizahirkan, bukan disimpan sebagai impian dan anganan……

CATATAN 28 JULAI 2009

28 Julai 2009.

Masih berkurung di rumah kerana H1N1. Hendak keluar berjalan-jalan pun aku berfikir banyak kali. Hendak meletakkan anak-anak dalam risiko yang tidak terjangka? Pasti aku mengambil keputusan berkurung sahaja di rumah daripada membiarkan anak-anakku terdedah dengan virus yang boleh berada di mana-mana. Hari ini aku rasa seperti tidak sedap badan. Setelah menelan 2 biji panadol dan sebiji ubat selsema, barulah aku rasa sedikit lega. Suamiku mula risau kerana aku melibatkan diri dengan saringan H1N1 pada 27 Julai lalu.

Seperti biasa, bila duduk di rumah, ada sahaja kerja yang hendak dibuat. Sempat juga aku membaca beberapa halaman buku yang baru aku beli. Tip menjadi penulis bestseller. Apa yang menariknya, aku berjaya mendapatkan tandatangan penulisnya. Apa yang lebih menarik, kata-kata yang dituliskan oleh beliau. Bukan kata-kata semangat untuk menulis, tetapi kata-kata yang sepatutnya keluar apabila dah ‘confirm’ jadi penulis bestseller.

“Saya menjadi Penulis Bestseller”. Mula-mula aku tak perasan signifikan kata-kata itu. Tetapi bila aku ulang beberapa kali, baru aku tersedar. Ianya motivasi yang cukup besar untuk menjadikan seorang penulis itu adalah penulis yang berjaya. Kata-kata yang sering diulang-ulang akan menjadi doa sekiranya kita bertawakkal dan bersungguh-sungguh mendapatkannya. Di dalam mindaku mula berlegar-legar satu idea penulisan yang baru yang aku harap dapat direalisasikan. Buku yang aku rancang untuk tulis tu dah habis musimnya tapi boleh kot tangguh untuk musim seterusnya. Bolehlah aku focus untuk penulisan proposal yang lain as soon as possible. Cuma, ada satu lagi kekangan, sukarnya bila tak ada talian internet di rumah. So….what should I do???

SEMINGGU YANG PANJANG

Seminggu yang lalu adalah minggu yang membosankan. Dengan tiada talian jalur lebar di rumah, premis kerja ditutup,dua situasi yang membuatkan aku lelah. Namun, aku terus menulis dan aku hanya mahu 'copy and paste' sahaja buat hari ini untuk tatapan pengunjung blog yang seadanya ini
27 Julai 2009, jam 3.00 petang, institusi pengajian di mana aku mengajar diarahkan ditutup berikutan terdapat lebih kurang 80 pelajar disyaki mempunyai simptom H1N1 yang mula merebak dengan begitu pantas di negara kita. Lebih kurang 10 orang daripada mereka dikesan mempunyai suhu badan melebihi 39’C. Dua jam selepas itu, kesemua pelajar mula meninggalkan kampus. Panik agaknya. Tak pernah-pernah aku melihat bas sebanyak 4 hingga 5 buah telah bersedia di pintu belakang kampus untuk membawa para pelajar ke Larkin untuk pulang ke kampung masing-masing.

Tengah hari itu, aku pun terjebak sekali di dewan besar sewaktu saringan H1N1 dibuat ke atas pelajar-pelajar yang didapati mempunyai simptom penyakit tersebut. Semuanya kerana terdapat juga 2 orang pelajar pekak yang dikesan mempunyai simptom yang sama. Waktu itu aku tak terfikir apa pun. Apa yang ada di minda adalah untuk menjadi perantara sebagai pemudahcara komunikasi. Keadaan di dalam dewan tersebut benar-benar membuatkan aku berpeluh sakan. Penghawa dingin tidak dipasang. Musykil aku dibuatnya. Setahu aku dewan tersebut telah dilengkapi penghawa dingin sebagai penyejuk cuaca panas namun apabila aku pandang ke arah bilik konti yang gelap gelita, aku menghela nafas. Hmmm…patutlah, tak ada sesiapa standby di sana. Terasa ibarat udang kena bakar pula keadaannya. Berpeluh-peluh dibuatnya. Namun aku gagahkan juga untuk berada di dewan tersebut.

Taklimat H1N1 diberikan kepada para pelajar. Hampir sesak nafas aku dibuatnya apabila berada di kalangan para pelajar yang mempunyai simptom virus yang semakin digeruni saat ini. Hendak melarikan diri, bermakna aku lari daripada tanggungjawab. Jadi aku memilih berhadapan dengan risiko. Aku sememangnya telah bersedia dengan mask sebelum melangkah kaki ke dalam dewan meskipun aku masih tak pasti keberkesanan pemakaiannya. Aku hanya mampu bertawakkal. Mudah-mudahan aku tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko.

Rupa-rupanya berita penutupan institusi tersebut begitu cepat tersebar hingga tersiar di dalam Buletin Utama pada hari yang sama. Itu pun setelah dimaklumkan oleh bapa saudaraku yang sedang dikuarantin di rumah. Anak perempuan sulungnya juga positif H1N1 dan diarahkan dikuarantin di rumah selama seminggu. Aku berdoa agar aku tidak diserang virus tersebut kerana ia akan melibatkan anakku yang kurang upaya. Antibodi badan yang lemah memungkinkan virus tersebar dengan begitu pantas. Semakin hari semakin banyak kes dikesan. Aku juga hairan mengapa pelajar dibenarkan pulang ke rumah memandangkan virus ini akan merebak melalui sentuhan, batuk dan juga bersin. It can happen anywhere and to anybody out there. So, I thought precaution is better than cure. Aku tidak menyalahkan sesiapa yang berhadapan dengan situasi sebegini. Namun, langkah bijak perlu difikirkan sebelum bertindak. Pro dan kontra perlu ditimbangkan sebelum tindakan rasional menjadi keputusan paling tepat dilaksanakan.

Aku tetap di sini. Hendak ke mana? Anak sulungku bersekolah. Hendak pulang ke kampung? Sayang pula hendak ‘cutikan’ anak. Sudah beberapa hari dia tidak bersekolah kerana lelah. Sedang aku berkursus di Kuala Lumpur, anak sulungku menjadi penghuni di Hospital Penawar. Nampak seakan aku ibu yang tidak bertanggungjawab, namun tanggungjawab dan pengorbanan berjalan senada. Aku perlu menjadi insan yang cekal dalam meneruskan titian perjalanan yang masih panjang.