Followers

Monday, August 3, 2009

SEMINGGU YANG PANJANG

Seminggu yang lalu adalah minggu yang membosankan. Dengan tiada talian jalur lebar di rumah, premis kerja ditutup,dua situasi yang membuatkan aku lelah. Namun, aku terus menulis dan aku hanya mahu 'copy and paste' sahaja buat hari ini untuk tatapan pengunjung blog yang seadanya ini
27 Julai 2009, jam 3.00 petang, institusi pengajian di mana aku mengajar diarahkan ditutup berikutan terdapat lebih kurang 80 pelajar disyaki mempunyai simptom H1N1 yang mula merebak dengan begitu pantas di negara kita. Lebih kurang 10 orang daripada mereka dikesan mempunyai suhu badan melebihi 39’C. Dua jam selepas itu, kesemua pelajar mula meninggalkan kampus. Panik agaknya. Tak pernah-pernah aku melihat bas sebanyak 4 hingga 5 buah telah bersedia di pintu belakang kampus untuk membawa para pelajar ke Larkin untuk pulang ke kampung masing-masing.

Tengah hari itu, aku pun terjebak sekali di dewan besar sewaktu saringan H1N1 dibuat ke atas pelajar-pelajar yang didapati mempunyai simptom penyakit tersebut. Semuanya kerana terdapat juga 2 orang pelajar pekak yang dikesan mempunyai simptom yang sama. Waktu itu aku tak terfikir apa pun. Apa yang ada di minda adalah untuk menjadi perantara sebagai pemudahcara komunikasi. Keadaan di dalam dewan tersebut benar-benar membuatkan aku berpeluh sakan. Penghawa dingin tidak dipasang. Musykil aku dibuatnya. Setahu aku dewan tersebut telah dilengkapi penghawa dingin sebagai penyejuk cuaca panas namun apabila aku pandang ke arah bilik konti yang gelap gelita, aku menghela nafas. Hmmm…patutlah, tak ada sesiapa standby di sana. Terasa ibarat udang kena bakar pula keadaannya. Berpeluh-peluh dibuatnya. Namun aku gagahkan juga untuk berada di dewan tersebut.

Taklimat H1N1 diberikan kepada para pelajar. Hampir sesak nafas aku dibuatnya apabila berada di kalangan para pelajar yang mempunyai simptom virus yang semakin digeruni saat ini. Hendak melarikan diri, bermakna aku lari daripada tanggungjawab. Jadi aku memilih berhadapan dengan risiko. Aku sememangnya telah bersedia dengan mask sebelum melangkah kaki ke dalam dewan meskipun aku masih tak pasti keberkesanan pemakaiannya. Aku hanya mampu bertawakkal. Mudah-mudahan aku tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko.

Rupa-rupanya berita penutupan institusi tersebut begitu cepat tersebar hingga tersiar di dalam Buletin Utama pada hari yang sama. Itu pun setelah dimaklumkan oleh bapa saudaraku yang sedang dikuarantin di rumah. Anak perempuan sulungnya juga positif H1N1 dan diarahkan dikuarantin di rumah selama seminggu. Aku berdoa agar aku tidak diserang virus tersebut kerana ia akan melibatkan anakku yang kurang upaya. Antibodi badan yang lemah memungkinkan virus tersebar dengan begitu pantas. Semakin hari semakin banyak kes dikesan. Aku juga hairan mengapa pelajar dibenarkan pulang ke rumah memandangkan virus ini akan merebak melalui sentuhan, batuk dan juga bersin. It can happen anywhere and to anybody out there. So, I thought precaution is better than cure. Aku tidak menyalahkan sesiapa yang berhadapan dengan situasi sebegini. Namun, langkah bijak perlu difikirkan sebelum bertindak. Pro dan kontra perlu ditimbangkan sebelum tindakan rasional menjadi keputusan paling tepat dilaksanakan.

Aku tetap di sini. Hendak ke mana? Anak sulungku bersekolah. Hendak pulang ke kampung? Sayang pula hendak ‘cutikan’ anak. Sudah beberapa hari dia tidak bersekolah kerana lelah. Sedang aku berkursus di Kuala Lumpur, anak sulungku menjadi penghuni di Hospital Penawar. Nampak seakan aku ibu yang tidak bertanggungjawab, namun tanggungjawab dan pengorbanan berjalan senada. Aku perlu menjadi insan yang cekal dalam meneruskan titian perjalanan yang masih panjang.

No comments:

Post a Comment