Followers

Thursday, August 27, 2009

Anakku mula belajar berpuasa


Kasihan anakku...sudah dua hari rupanya dia cuba menahan lapar sehingga tengahari. Aku tahu pun bila ibunya memberitahu sewaktu mengambilnya dari rumah pengasuhnya. Hari pertama, mampu bertahan hingga pukul 12.00 tengahari. Bila dah lapar, kuih yang dibuat ibunya dicuit-cuit...dah tak tahan sangatlah tu... Hari kedua, berjaya tahan hingga pukul 1. Dapat makan je tengahari tu, senyum lebar sampai ke telinga!! Apa yang membuatkan aku cukup terharu ialah dia tak beritahu pun dia nak puasa, jadi..tidaklah dia bersahur!!!!

Aku pun terus teringat kata seorang ustaz yang aku lupa namanya. Itupun waktu menonton tv Singapura. Ustaz tersebut ada mengatakan, tak salah kalau kita sebagai ibu bapa memberikan ganjaran kepada anak-anak sebagai galakan untuk mereka berpuasa. Jadi, sebagai memotivasikan anak sulungku yang baru berusai 5 tahun itu....aku pun menabur janji padanya. Kalau puasa dapat bertahan hingga ke waktu berbuka, dia akan menerima RM1 sehari. Dah dua hari berpuasa setengah hari, jadi aku berhutang RM1 dengannya. Punyalah bersemangat dia mendengarnya!!. Sanggup pula mengoyakkan bahagian tepi surat khabar, lepas tu ditulisnya berapa hari dia telah berpuasa dan di letakkannya dalam beg tanganku, supaya aku tak terlupa katanya. Jadi, setiap hari dia akan update kejayaannya berpuasa.

Entri terdahulu aku menyatakan sahurku hanya dengan 2-3 biji buah kurma. Hari ini, budaya makan kurma yang diamalkan telah berubah, makan juga tapi demi anak....seawal 4 pagi aku dah bangun menyiapkan juadah untuk bersahur. Bila buka peti ais, ternampak telur yang menjadi kegemaran anak sulungku itu. Nampaknya sayur minggu lepas masih ada yang belum dimasak. Telur masak kicap, sayur campur, cukuplah sebagai alas perut. Tak apalah, demi anak........


Bila mengejutkan anakku itu, agak liat pula dia nak bangun pagi tadi. Puas kupujuk, menawarkan ganjaran...akhirnya dia ku dukung sahaja ke meja jepun yang menjadi tempat makan kami sekeluarga. Terpisat-pisat juga dia. Kusuruh dia membasuh muka dan makan bersama. Banyak juga dia makan. Mudah-mudahan dia boleh bertahan. Aku tak memaksa dia berpuasa, dia sendiri yang ingin mencuba. Alhamdulillah. Lepas makan, aku ajarkan dia membaca niat berpuasa. Ingatkan dia nak tidur semula, rupanya galak pula bermain tanah liat. Apa-apalah.....


Mudah-mudahan amalan yang dipelajari sejak kecil ini akan terus konsisten. Kalau hendak melentur buluh, memang wajar dari rebungnya. Mudah-mudahan hatinya terus terbuka dan mudah menerima segala apa yang diajarkan kepadanya sebagai seorang pemimpin masa depan.Amin....

No comments:

Post a Comment