Followers

Monday, August 3, 2009

SEMPURNAKAH AKU?

Perasaan aku cukup puas hari ini bila dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Meskipun menghadap klien hanya seramai empat orang untuk menerima ilmu yang aku curahkan, aku gembira. Melihat wajah-wajah mereka ini menjadikan aku lebih tenang. Hilang keletihan serta duka lara yang ada. Aku sudah mula memikirkan bentuk-bentuk ganjaran yang boleh kuberikan kepada para pelajar dalam meningkatkan motivasi mereka untuk belajar. Meskipun mereka pekak, mereka tetap punya hati dan jiwa. Aku mahu mereka gembira apabila keluar daripada kelasku.
Biarpun isi pengajaranku tidak sebanyak mana, aku hanya mengharapkan mereka faham. Kefahaman mereka adalah kejayaan sebenar buatku. Aku yang sempurna daripada aspek fizikal perlu memikirkan yang terbaik untuk mereka. Mata aku betul-betul mengantuk. Terlelap juga akhirnya aku. Sejurus solat zohor, aku mula menghadap komputer riba di atas meja di ruang kerja. Rakanku menunjukkan satu laman blog yang membuatkan aku beristighfar panjang. Aku bukan manusia yang sempurna. Begitu juga insan lain pada pandanganku. Tetapi, siapa kita untuk menghukum dan menggelarkan insan lain dengan gelaran yang begitu hina?
Aku tak ingin menyebut laman blog milik siapa. Cuma, ia benar-benar menyentap naluri kemanusiaanku. Aku teringat zaman kanak-kanakku. Waktu itu aku memang kuat berceloteh, banyak cakap hingga digelar Joyah, seperti watak dalam drama Opah yang cukup popular kira-kira 15 tahun lalu. Aku cukup pantang bila mendengar gelaran itu ditujukan pada aku. Kalau adik-adikku berani menggunakan gelaran itu, sudah pasti penangan naik ke muka. Aku cukup tidak suka digelar dengan panggilan yang aku tidak suka. Begitulah aku hingga kini. Aku tidak suka menggelar orang lain dengan gelaran yang tidak baik kerana aku juga tak ingin diperlakukan begitu.
Macam-macam ragam manusia. Memang benar kata pepatah, don't judge the book by its cover tetapi dewasa ini, dengan melihat luaran manusia, kita dapat menilai tingi rendah nilai moral yang dimiliki. Biarpun tingkah laku yang diperbuat tidak sesuai dengan tatasusila dan penerimaan masyarakat, golongan ini tetap berada di dalam dunianya tersendiri. Mudah-mudahan mereka ini dibukakan pintu hatinya untuk berubah. Mudah-mudahan juga aku diberi kekuatan untuk meneruskan perjaanan hidup yang penuh dengan dugaan ini.Aku cukup bahagia dengan perjalanan hidup yang kulalui setakat ini. Cukuplah bagi aku sekiranya aku dapat melakukan yang terbaik untuk diri aku, membahagiakan keluarga, mendapat restu suami dan ibu bapa, bahagia itu kupohonkan akan terus menjadi milikku.
Seharusnya kita bersyukur. Manusia adalah sebaik-baik kejadian ciptaan Tuhan yang maha Esa. Kita adalah yang terbaik di kalangan terbaik. Mengapa mesti kita merendahkan diri kita dengan tingkah laku yang boleh mencetuskan rasa tidak selesa orang lain. Gembirakah kita dengan tindakan kita? Bersediakah kita untuk menjawab segala persoalan di 'sana?'. Renung-renungkanlah agar kita mendapat hidayah bersama.

No comments:

Post a Comment