Followers

Monday, August 3, 2009

CATATAN 29 JULAI 2009

29 Julai 2009.

Pagi-pagi lagi aku dah kelentong anak sulungku. Aku katakan aku hendak ke pejabat. Kalau tidak, liat sungguh hendak di hantar ke rumah ibunya sejurus habis waktu persekolahan. Aku pun tak tahu kenapa hari ini anak sulungku begitu ‘gembeng’ sekali. Puas dipujuk baru berjaya. Konon hendak ke pejabat tapi tak sempat. Mencari tukang urut pun mengambil masa. Aku pergi ke rumah nyai yang sering mengurutku, tetapi nampak gayanya seperti tak ada orang di rumah. Aku merancang untuk ke pejabat semula.

Dalam perjalanan, aku berbincang dengan suamiku tentang talian internet. Suamiku bersetuju. Kami terus melencong arah menuju ke celcom centre untuk mendaftar talian broadband. Macam tak percaya bila suamiku mengizinkan aku memasang talian internet tapi adalah syaratnya. Mendengar syarat itu, aku terdiam seketika tapi aku yakin aku dapat melaksanakannya secara beransur-ansur. Itu rahsia… Kalau dah cerita, hilang pula kerahsiaannya. Yang penting, syarat itu akan aku dapat tunaikan kalau suamiku terus memberikan sokongan.

Selesai satu urusan, kami berkejar balik untuk mengambil anak di rumah penjaga. Pada sebelah petang, ada temujanji untuk occupational terapi di HSI pula. Kebetulan sudah ke sana, terus sahaja aku buat chest fisio untuk anakku. Banyak betul kahak yang keluar. Menangis berjurai-jurai air matanya tapi nak buat macam mana, selagi chest fisio tidak dibuat, selagi itulah dia akan berasa tidak selesa.

Di OT, hari ini nampaknya tak ada sebarang latihan fizikal dibuat, sebaliknya sesi pembuatan dan pemakaian spling di buat untuk kedua-dua belah tangan dan kaki anakku. Aku katakan padanya yang dia akan mendapat ‘kasut cinderella’. Nampak gayanya dia selesa dan tidak mengamuk berbanding spling yang pernah dipakainya satu ketika dulu. Waktu itu dia masih ditahan di HKL. Kali ini, spling yang dipakai Nampak lebih selesa dan sesuai dengan tangan dan kakinya. Aku pakaikan sewaktu dia tidur.Alhamdulillah, nyenyak tidurnya.

Bila dia tidur, aku terus memulakan catatan harian. Bila dah ada blog walaupun tak ada lagi talian internet, itu bukan masalah. Yang penting motivasi untuk terus menulis. Aku takut kalau rasa hendak menulis itu mati. Aku bercadang hendak kongsikan ilmu yang aku terima bersama sesiapa sahaja yang berminat untuk menulis. Setakat yang aku mampu. Tidaklah sehebat En Fauzul, cuma hendak berkongsi apa yang aku tahu, takkan nak lawan taukeh pulak…..tak berkat nanti.

Kita ni belajar kan mestilah berguru. Mencari guru pun perlu dilihat pada ciri-cirinya. Biarlah kena pada tempat dan ajarannya. Tersilap pilih nanti jadi seperti Ayah Pin pula. Satu masalah lagi…..Bagi yang berminat menulis, carilah insane-insan yang benar-benar dapat memandu kita untuk menulis dengan baik. Biarpun menulis sebaris ayat, ia tetap dianggap penulisan seandainya dizahirkan, bukan disimpan sebagai impian dan anganan……

No comments:

Post a Comment