Followers

Saturday, October 9, 2010

Kembara mencari ubat masalah tulang.....

Hari ni saya ingin kongsikan berkenaan kembara untuk mencari tempat bagi rawatan masalah tulang. Mana tempat yang paling best nak buat rawatan tersebut berdasarkan pengalaman....Kita kena akui, bila bekerja,sedar tak sedar sebenarnya kita ni banyak juga bergerak, angkat barang-barang, kadang-kadang tak beringat. Kalau pergi kelas pulak, bangunan memang dah confirm tinggi. Kalaulah kelas tu di tingkat paling atas, tak ke gigil kaki dibuatnya naik ke atas tu. kalau ada lif lainlah cerita. Sampai-sampai tingkat atas, kena pegang palang yang ada di tepi laluan, dah tak 'balance'...hehehe...bila duduk lama pulak, nak bangun punyalah payah..pinggang terasa sangat sakit hinggakan kena berpegang pada sesuatu seperti kerusi atau meja supaya dapat berdiri tegak dan berjalan. Kalau bangun  tidur pun macam tu jugak, mesti terasa sakit pinggang yang amat. Alhamdulillah,semua tu cerita dulu dan penuh harapan moga-moga ianya tidak berulang. Ngeri rasanya menanggung sakit pinggang kerana punca yang kita tak pasti.. 

Raya keenam yang lalu, saya pergi ke Pulau Pinang, ke Ayer Itam membawa adik bongsu untuk mendapatkan rawatan berkenaan masalah 'sleep disc' yang dihadapinya. Kesian, anak dara baru 24 tahun, tangan dah menggigil, kaki dah tak berapa kuat, masalah dah naik hingga ke tengkuk. Doktor memang dah sarankan supaya jalani pembedahan tetapi kami 'hold'kan dahulu. Kebetulan, saya ada seorang teman yang mempunyai masalah yang sama, juga telah mendapat saranan supaya dibedah. Beliaulah yang mencadangkan saya ke tempat rawatan tersebut. Saya terkejut yang amat melihat teman tu dah boleh berjalan dengan laju!!!! Mengapa tidak saya mencuba?? Maka bermulalah perjalanan kami 7 beranak ke Pulau Mutiara...saya, adik (pesakit), nenek, abah, dua orang sepupu dan anak sulung saya. habis duit raya guna buat bayar tiket kapal terbang....Sebab tak pernah naik flight, siap tutup-tutup muka lagi anak bujangku itu!!!!

Kami sampai di Pulau Mutiara dah petang. Mujur dapat homestay yang murah, rumah 3 bilik, fully furnished dengan harga RM200 semalam. Pengangkutan disediakan cuma kena bayar ikut jamlah...Malam tu juga kami terus ke tempat rawatan. Di Flat 7E-G-06,Desa Intan, Ayer Itam. Kena tengok betul2 alamatnya sebab di aras yang sama ada 3 kedai. Nama kedainya HOR CHIN SENG Tradisional Massage and Bone Setting. Memang ramai orang. Kami pun suspen juga apa kaedah rawatan yang akan diberikan. Bila dah masuk tu, rupa-rupanya tak sakit pun. Memang betullah, mereka adjust tulang sahaja. Bab urut, kalau perempuan, ada perawat perempuan yang akan uruskan. Kos rawatan pun sangat berpatutan, paling mahal pun RM40.00 untuk satu badan. Kos nak ke sana lebih mahal daripada kos rawatan!

Orang datang memang tak putus-putus. Alang-alang dah sampai, saya pun ikut sekali buat rawatan. Mereka kata tulang-tulang saya perlu di 'set' semula. Relakan aje lah. Esoknya kami datang sekali lagi. . Kebetulan dapat jumpa owner pusat rawatan tersebut iaitu Uncle Hor tu sendiri. Dia kata rupa-rupanya tulang pinggang saya dah jauh terkeluar. Ni semua kesan-kesan terlalu aktif zaman-zaman sekolah, jatuh tak hengat.......angkat benda-benda berat pun tak kisah, bila dah meningkat umur baru terasa kesannya. Suspen, datang perawat yang tegap badannya tolong Uncle Hor tu rentap tulang pinggang. "Brak....", Hmm..tulang pinggang kamu sudah keluar.....kata Uncle Hor. Sekali lagi  Brak.......'Ok, sudah masuk,"...Macam tu aje dia betulkan tulang. Tapi tak sakit..............Dapat juga betulkan masalah tulang buku lali yang terseliuh dua kali sebelum tu. Siap kena pakai ankle guard, lebih-lebih lagi kalau banyak berjalan katanya.

Alhamdulillah, sejak rawatan tu hingga ke hari ini, masalah pinggang dah lenyap sama sekali. Macam tak percaya tapi itulah kenyataannya. Cuma sesekali tu kena juga pergi buat rawatan susulan, macam buat maintenance berkala. Datang hari tu buat overhaul, datang lain kali buat service sahaja, hihihihi....Pusat rawatan tu memang tak ada ambil temujanji. Konsepnya, first come first serve. Pesakit-pesakit yang datang pun dah tau rules and regulationnya. Tak akan jumpalah sesiapa yang berani potong barisan. Memang sangat berdisiplin...... Apa salahnya sebar-sebarkan tempat rawatan yang baik. Saya memang percaya kaum Cina adalah kaum yang memang terkenal pakar dalam membetulkan masalah tulang. Kalau mereka dapat membantu, mengapa kita takut untuk mendapatkan bantuan???? Sekadar berkongsi daripada pengalaman yang sedikit. Adik saya sendiri merasakan perubahannya tetapi keadaannya agak lewat untuk pulih kerana kondisinya yang sudah agak teruk. Maka, perlu membuat ulangan lagi ke sana. Mudah-mudahan masalah yang dihadapi akan beransur hilang sedikit demi sedikit. Doakanlah ye...

Banyak pengalaman yang dikutip sepanjang kembara tersebut. Saya juga berpegang kepada apa yang telah dinyatakan di dalam Kalam Allah iaitu setiap penyakit itu pasti ada ubatnya melainkan MATI. Maka kita wajib berusaha selagi ada daya untuk mencari penawar kepada penyakit yang datang selain sentiasa mengingati bahawa setiap penyakit yang datang itu adalah ujian atau kifarah atas dosa-dosa lampau kita atau Allah telah sediakan hikmat dan kemanisan yang kita tidak jangka. Percaya itu, insyaAllah kita bukanlah tergolong dalam golongan yang mudah berputus asa.....

Tuesday, October 5, 2010

Gara-gara PTK...

Hari ini tergerak lagi untuk menulis. Ketika entri ini ditulis, saya berada di Suria City Hotel Johor Bahru kerana menghadiri sesi penilaian untuk Penilaian Tahap Kecekapan Siri 2/2010 bagi Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi Gred DH41. Ramai juga teman-teman yang sama-sama sedang berjuang untuk memperbaiki keputusan PTK yang lepas. Kalau dahulu, proses penilaian hanya dibuat di atas kertas sama ada dengan menjawab soalan aneka pilihan dan menjawab soalan-soalan esei, kali ini bentuk pentaksiran telah berubah.

Bagi yang mengambil komponen fungsional dan generik, para calon diwajibkan untuk mempersiapkan diri membentangkan proses pengurusan kerja bagi tahun semasa untuk dinilai yang merangkumi 50% markah keseluruhan. 50% markah lagi akan dinilai melalui tugasan individu yang telah dibuat lebih awal. Selain itu, para calon juga tidak terlepas untuk dinilai melalui kumpulan perbincangan, penilaian personaliti dan juga menjawab soalan aneka pilihan.

Memang terasa hendak pecah kepala dibuatnya sementelah semua kerja dibuat pada saat-saat akhir. Macam-macam insiden yang berlaku. Kesibukan kerja luar selama 3 minggu berturut-turut menyebabkan saya GAGAL fokus dalam proses menyiapkan diri menghadapi PTK. Format tugasan salah, tugasan lewat siap, SKT lupa buat,...macam-macam. Nak marahkan diri sendiri rasanya tak berbaloi pula kerana semuanya bergantung kepada bagaimana pengurusan diri diimplimentasikan. Kalau dulu selalu marahkan pelajar supaya bijak membahagikan masa, rupa-rupanya kadang kala kita sendiri terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa ada masanya kita juga berada dalam kondisi yang sama.

Sang suami hanya boleh tertawa melihat kekalutan saya sebelum bergerak ke hotel di mana tempat kami menginap. Beliau hanya berkata, inilah keadaannya tatkala saya akan melakukan sesuatu perkara penting. Fenomena yang sama sahaja dilihat, kalut, kelam kabut dan tak tentu arah. Apa yang pasti di akhirnya semuanya dapat terlaksana. Mudah-mudahan kali ini juga begitu....

Sampai sahaja di hotel, terlihat ramai juga rakan-rakan sekerja dari institusi yang sama turut serta menyahut cabaran. Sayangnya, hanya dua calon dari Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual. Soalan bermain di fikiran, adakah mereka takut hendak menduduki penilaian ini atau adakah mereka culas hendak membuat tugasan yang dianggap remeh atau adakah mereka sudah tidak kuasa untuk mengambil peperiksaan berulang kali tetapi hasilnya tetap tidak memberangsangkan? Jawapan-jawapan tersebut hanya ada pada mereka dan mereka sahajalah yang lebih layak menjawab setiap persoalan tersebut.

Saya teringat kata seorang teman, apa yang kita buat ini adalah pengalaman yang mungkin tidak akan kita temui di mana-mana. Pada ketika inilah kita akan bertemu rakan-rakan baru, kita akan berkongsi-kongsi maklumat dan pengetahuan, kita akan cuba memberikan yang terbaik, justeru, nikmati momen-momen ini dan bergembiralah......Kata-kata itu nampak indah namun hakikatnya, calon-calon yang berada di sini sukar untuk ditebak apa yang bermain di minda mereka masing-masing. Saya percaya, ketakutan akan hilang apabila kita berjaya melalui atau melepasi apa yang kita takuti sebelum ini. Kemudian, selepas itu barulah kita akan merasakan kenikmatan dan kegembiraan tersebut....

Petang ini adalah giliran saya sebagai calon pertama untuk membentangkan pengurusan kerja bagi tahun semasa dan sebelah malam akan dimulakan dengan penilaian secara berkumpulan melalui sesi perbincangan berdasarkan tajuk-tajuk yang akan diberikan ketika itu juga. Doakan saya berjaya melalui situasi ini setelah beberapa kali slide pengurusan kerja yang dibuat diedit dan dibuat penambahbaikan....Saya ingin menikmati kegembiraan dan menghilangkan semua ketakutan yang bersarang di hati...Kejayaan hari ini  mungkin akan jadi pemangkin kejayaan untuk episod hari depan. Aminnn.....

Sunday, October 3, 2010

3 juta rakyat Malaysia merupakan pesakit "Split Personality"

Akhir-akhir ni macam-macam berita yang tersiar di akhbar membuatkan kita semakin rasa tak senang, bertambah rasa tak tenang dan semakin membimbangkan jiwa yang dulunya begitu aman dan damai. Mana tidaknya...macam-macam yang kita dengar dan kita tonton hari ini sama ada di akhbar atau di kaca televisyen membuatkan kita menjadi semakin takut dalam persekitaran kita sendiri. Terkini, kisah pembunuhan kejam insan berprofil tinggi. Suspek utama adalah seorang peguam yang secara zahirnya dikenali sebagai seorang individu yang baik di kaca mata masyarakat yang mengenalinya. Siapa sangka di dalam kebaikan yang dipancarkan itu, rupa-rupanya tersimpan sikap yang tidak dijangka dan membahayakan. Boleh dikatakan suspek utama mempunyai dua personaliti atau menghadapi masalah Split Personaliti. Mungkin pada satu ketika insan-insan yang menghadapi masalah ini dilihat sebagai individu yang stabil daripada pelbagai aspek seperti emosi, sosial dan rohaninya. Tetapi, pada suatu ketika pula boleh bertindak di luar jangkaan fikiran manusia yang waras.

Kalau dulu kita tidak asing dengan penyakit schizofrenia iaitu keadaan di mana berlaku ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak manusia, keadaan Split personaliti ini nampaknya mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa. Pesakit lazimnya akan menghidapi halusinasi, mendengar bisikan-bisikan yang mengarahkan untuk berbuat sesuatu, berada dalam keadaan kemurungan, sering bersendirian, bercakap seorang diri dan sering memendamkan segala masalah yang dihadapi.Pesakit juga sering berasa tidak selesa berada di dalam kumpulan yang ramai kerana menyangka semua mata memerhatikan mereka. Selain itu, pesakit akan lebih mudah berubah emosi dalam keadaan-keadaan tertentu.

Amat sedih apabila mendengar kes ayah mengelar leher anak, anak membunuh ibu bapa dan ahli keluarga malah insan yang tidak berdosa juga boleh menjadi mangsa. Kesemua kes yang terpapar ini boleh dikategorikan sebagai kes yang melibatkan pesakit-pesakit Split Personaliti. Angka 3 juta yang dikeluarkan melalui satu kajian yang dijalankan di Malaysia adalah jumlah yang begitu besar dan amat membimbangkan. Gender lelaki dan wanita mempunyai kemungkinan yang sama untuk menghadapi masalah Split Personaliti tetapi dikatakan lelaki lebih cenderung untuk menghidapnya. Semakin hari kes sebegini semakin meningkat. Usaha yang giat dan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berkenaan perlu dipergiatkan bagi membendung gejala Split Personaliti ini daripada terus menular, merebak dan menjadi barah yang sukar dikawal. Keteguhan pegangan agama, sikap individu dan sokongan keluarga amat penting dalam menghadapi saat-saat genting apabila ada ahli keluarga disahkan mengalami Split Personaliti. Usaha, doa dan tawakal akan menjadi senjata paling ampuh untuk mengekang segala gejala yang tidak diingini dalam masyarakat. Mudah-mudahan kita akan terhindar daripada segala bahaya, segala tipu daya dan hasutan syaitan serta sentiasa berada di landasan yang benar...