Followers

Friday, March 5, 2010

Motivasi diri

Dua minggu kebelakangan ini, HKL menjadi rumah kedua kerana rawatan susulan Aiman Haziq yang masih belum selesai. Selagi punca penyakitnya tidak ditemui, macam-macam ujian akan dilakukan ke atasnya. Dua minggu lalu, HAziq menjalani MRI namun hasil ujiannya masih belum diperolehi. HArap-harap pertemuan hujung bulan jun nanti akan dapat memberikan jawapannya. Pertemuan dengan doktor Januari lalu betul-betul meruntun hati seorang ibu. Mana tidaknya, doktor memberi perkhabaran bahawa ada masalah dengan kromosom anakku itu. Kemungkinan ada masalah Rett Syndrome. Penyakit ini jarang dihidapi oleh kanak-kanak lelaki, mungkin anakku adalah insan-insan terpilih. Puaslah aku search di internet berkaitan penyakit ini dan hasilnya....kalau siapa yang tak mampu nak belajar menghadapi kenyataan, usah dicari berkenaan penyakit ini. Aku sendiri belum tentu betul-betul mampu dan bersedia menghadapinya.

Kemudian, minggu ini pun aku baru sahaja balik dari HKL untuk pertemuan dengan doktor neuro dan metabolik di HKL. Perkhabaran agak baik pula aku dengar. Ujian darah kedua pula mengatakan kebarangkalian mungkin tak ada Rett Syndrome itu tapi doktor tak berani menyatakan 100% tak ada. Sekurang-kurangnya aku sedikit lega. Doktor neuro pun dah tak kisah kalau aku nak mencuba apa jenis rawatan sekali pun. Usaha tu yang penting kan.

Dua minggu lagi aku dikehendaki datang semula untuk ambil darah dan urin sekali lagi untuk dihantar ke Australia. Kali ini ujian untuk mengesan sama ada terdapat kekurangan enzim dalam sel darh putih anak kesayanganku itu. Sekiranya hampir kesemua ujian telah dibuat dan kesemuanya jawapannya negatif, langkah terakhir adalah pengambilan air tulang belakang atau Lumbar Puncture Procedure akan dibuat dan ujian akan dilakukan sama ada di Australia atau Switzerland untuk mengesan penyakit neurotransmitter. Penyakit yang ini, aku pun amsih blur-blur lagi, kabur..terlalu banyak perkara yang nak diingat..

Mudah-mudahan ada sesuatu yang akan dapat ditemui oleh kumpulan doktor-doktor pakar ini. Walaupun prosesnya memakan bertahun-tahun, aku sanggup turun naik ke HKL kerana di sanalah rawatan terbaik untuk pesakit seperti Aiman Haziq. Kalau hendak memotivasikan diri, menguatkan semangat dan menanamkan sifat ketabahan, jemputlah berkunjung ke Institut Pediatrik HKL.

Di sana anda akan dapat melihat pelbagai jenis rupa bentuk kanak-kanak dengan pelbagai jenis penyakit. Boleh melihat ketabahan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang dirundung malang ini. Anda boleh melihat kanak-kanak microchephalus (kepala kecil), down sindrom (merat-rata), tulang rapuh, hydrocephalus (kepala besar), penyakit-penyakit pelik, datang dengan kereta sorong, kepala, tangan, kaki, kejang,...dan ketika itu apabila anak-anak kita sakit yang tidak seberapanya, kita akan mengangkat tangan tanda syukur kerana rupa-rupanya ada lagi kanak-kanak lain yang lebih menderita.

Suka hendak dikongsikan bersama, satu keluarga Cina yang mempunyai 3 orang anak lelaki yang lebih kurang umur 8 tahun, menghidap peyakit tak boleh berjalan. Lembik, dua daripada anak mereka itu meninggal dunia dalam tempoh dua hari. Bayangkan perasaan mereka. Mereka masih ada seorang lagi anak yang berkeadaan begitu dan seorang lagi anak lelaki mereka pula terlampau aktif. MAcam mana agaknya mereka melalui semua ini sukar untuk dibayangkan. Sewaktu anakku menjadi penghuni HKL selama dua minggu tahun 2008, adik itu menjadi teman di sebelah katilku. Dan ketika lawatan terakhir minggu ini, kebetulan bertemu semula dengannya, jadi banyak cerita yang dikongsikan bersama.

Suamiku pula bertemu seorang wanita Cina. Mula-mula kami melihat begitu sayangnya dia pada kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 2-3 tahun. Diberi makan, disediakan tempat duduk khas dibeli dari Toy's R Us, dilapkan..penuh aksih sayang. Bila aku bertemu doktor, suamiku sempat berbual-bual dengannya. Subhanallah....besar nikmat kasih sayang yang Allah berikan padanya walaupun berbangsa Cina. Anak yang dibela hanyalah anak angkat yang telah ditinggalkan ibu kandungnya di sebuah hospital di Ampang sewaktu usianya 8 bulan.Wanita ini belum berkahwin tetapi sanggup memikul tanggungjawab yang kurasakan belum tentu kita dapat melakukannya!!!..

Semoga pengalaman yang dilalui ini dapat terus menyuntik semangat dan memberi kekuatan buat kami sekeluarga. Kita kena bersyukur kerana sebesar mana dugaan ang dilalui, harus diingat bahawa ada insan lain yang sedang melalui dugaaan yang lebih hebat dan besar.MasyaAllah.....

No comments:

Post a Comment